Oleh pada 15 Nov 2017 kategori

kebaikan berpuasa menurut sains

Umat Islam diwajibkan berpuasa sekali setahun pada bulan Ramadhan tapi tahukah anda berpuasa sebenarnya mempunyai kebaikan dari segi sains? Sebenarnya puasa bukan sahaja diamalkan oleh umat Islam tetapi juga diamalkan oleh mereka yang beragama lain atas faktor kesihatan. Puasa yang disebutkan ini adalah berpuasa dengan kadar yang betul.

Ada sebab kita tidak boleh berpuasa setiap hari kerana akan mendatangkan kemudaratan kepada kita sendiri. Berpuasa bagus jika diamalkan dengan kadar sekali sekala seperti yang kita ketahui iaitu puasa Isnin dan Khamis. Berpuasa dua kali seminggu mampu meningkatkan tahap kesihatan kita. Mari kita lihat kenapa berpuasa baik untuk kesihatan berdasarkan kajian sains.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Badan membaiki sel dan menukar hormon

Apabila kita tidak makan untuk seketika, beberapa perkara akan berlaku dalam badan kita. Contohnya badan kita akan memulakan proses membaiki sel-sel yang rosak dan berlakunya perubahan dari segi tahap hormon dalam badan. Perubahan tahap hormon ini akan merangsang lemak dibadan untuk digunakan.

Berikut merupakan perubahan yang berlaku dalam badan semasa berpuasa:

  1. Tahap Insulin: Kandungan insulin dalam badan akan menurun secara ketara dan ini akan meningkatkan proses pembakaran lemak.
  2. Hormon Pembesaran Manusia: Hormon ini akan meningkat 5 kali ganda dan ini bukan sahaja akan membantu dalam proses pembakaran lemak, ia juga merangsang pembesaran otot dan macam-macam lagi.
  3. Membaiki Sel: Sel-sel anda diperbaiki dan semua bahan toksik dalam badan akan dibuang daripada sel.
  4. Perubahan Gen: Perubahan ini berlaku dalam beberapa gen dan molekul yang membantu meningkatkan jangka hayat dan perlindungan daripada penyakit.

2. Menghilangkan berat dan perut tidak lagi buncit

kebaikan berpuasa renew sel badan

Kebanyakkan orang mengamalkan puasa apabila mereka mahu menghilangkan berat. Secara amnya orang memahami puasa mampu menghilangkan berat kerana tidak makan apa-apa tapi ada juga sebab lain di sebalik puasa. Puasa akan meningkatkan hormon noradrenalin iaitu hormon yang akan meningkatkan proses pembakaran dan merangsang penggunaan tenaga. Ia akan meningkatkan kadar metabolisma dalam badan sebanyak 3.6-14% yang memudahkan pembakaran kalori dalam badan.

3. Mengurangkan risiko mendapat Diabates jenis ke-2

lelaki diabetes bersama kekasih

Diabetes jenis ke-2 ini sudah menjadi perkara biasa dalam beberapa dekat terbaru ini kerana tahap gula yang tinggi dalam darah dalam konteks rintangan insulin. Semua benda yang mengurangkan rintangan insulin akan mengurangkan kandungan gula dalam darah kerana ia akan membantu memudahkan fungsi insulin. Puasa telah terbukti mampu mengurangkan kandungan gula sebanyak 3-6% dan mengurangkan rintangan insulin sebanyak 20-31%

4. Mengurangkan tekanan oksidatif dan radang dalam badan

Tekanan oksidatif merupakan salah satu sebab terhadap peningkatan umur dan penyakit kronik. Proses ini melibatkan molekul tidak stabil yang akan merosakkan molekul lain seperti protein dan DNA anda melalui proses tindak balas antara kedua-kedua molekul ini.

Menurut beberapa kajian, puasa mampu meningkatkan ketahanan terhadap tekanan oksidatif. Selain itu, kajian juga menunjukkan berpuasa akan membantu anda untuk melawan radang dalam badan kerana radang ini merupakan salah satu pemangkin penyakit-penyakit biasa.

5. Baik untuk kesihatan jantung

kebaikan berpuasa kurangkan risiko penyakit jantung

Penyakit jantung merupakan penyakit paling banyak membunuh manusia di seluruh dunia terutama bagi mereka yang sudah lanjut usia. Berpuasa baik untuk kesihatan jantung anda kerana ia akan menambah baik tekanan darah, jumlah kolestrol dan LDL kolestrol, penanda keradangan dan tahap gula badan. Walau bagaimanapun, kajian ini dibuat ke atas haiwan dan kajian lebih perlu dilakukan untuk manusia jadi pastikan anda mendapat pendapat doktor untuk kadar puasa anda.

6. Mempercepat proses pembaikan selular

Puasa akan memulakan proses pembuangan sisa selular yang dipanggil sebagai autophagy dan proses ini melibatkan sel-sel dalam badan. Sel-sel ini akan bertindak untuk memecahkan protein tidak berfungsi yang sudah lama terbina di dalam badan kita dari semasa ke semasa. Peningkatan proses ini akan memberi perlindungan terhadap beberapa penyakit seperti kanser dan Alzheimer.

7. Membantu menghalang penyakit kanser

kelebihan berpuasa kurangkan risiko kanser

Kanser merupakan penyakit akibat daripada pembesaran sel-sel yang tidak terkawal dan ini merupakan penyakit paling bahaya yang kita ketahui. Penawar kepada kanser masih lagi belum dijumpai namun kita mampu mencegah ini daripada berlaku dengan berpuasa.

Berpuasa akan mempengaruhi kesan baik ke atas metabolisma badan yang mana ia akan mengurangkan risiko seseorang daripada mendapat kanser. Walaupun kajian ke atas masih diperlukan, bukti-bukti ke atas kajian haiwan sudah menunjukkan bukti positif dalam mencegah kanser melalui berpuasa. Ada juga bukti berdasarkan kajian ke atas pesakit kanser bahawa puasa akan mengurangkan kesan sampingan rawatan kemoterapi.

8. Baik untuk kesihatan otak

berpuasa baik bagus untuk otak

Seperti yang disebutkan di atas, puasa mampu mengurangkan tekanan oksidatif, radang dalam badan, rintangan insulin dan tahap gula dalam badan. Kesemua ini amat penting bagi kesihatan otak anda kerana ia sangat berkait antara satu sama lain. Beberapa kajian dibuat ke atas tikus makmal* bahawa puasa boleh meningkatkan pembesaran sel-sel saraf yang baik untuk fungsi otak.

Puasa juga meningkatkan tahap sejenis hormon otak yang dikenali sebagai BDNF. Kekurangan BDNF akan menyebabkan anda mudah mendapat tekanan perasaan dan juga penyakit otak lain. Kajian ke atas haiwan juga menunjukkan bahawa puasa akan melindungi kerosakan otak akibat daripada strok.

*Tikus makmal banyak digunakan dalam kajian kesihatan manusia kerana kita mempunyai banyak persamaan dengan tikus makmal.

9. Mencegah daripada mendapat penyakit Alzheimer

kelebihan berpuasa alzheimer

Penyakit Alzheimer merupakan sejenis penyakit yang popular bagi mereka yang sudah lanjut usia kerana sel-sel otak telah mati dan tidak lagi diganti menyebabkan otak seseorang itu mengecik. Sel-sel otak ini mati dalam beberapa jangka masa sehingga satu tahap pesakit Alzheimer akan lupa siapa ahli keluarga mereka sendiri.

Tiada penawar untuk Alzheimer buat masa kini seperti kanser jadi proses pencegahan amat diperlukan. Kajian yang dilakukan ke atas tikus makmal menunjukkan bahawa puasa mampu melambatkan permulaan penyakit Alzheimer selain mampu mengurangkan tahap keparahan penyakit ini. Namun, banyak lagi kajian diperlukan jadi sebaiknya anda harus mendapat cadangan daripada doktor.

10. Meningkatkan Jangka Hayat

kebaikan berpuasa menurut sains hidup lama

Puasa mampu meningkatkan jangka hayat disebabkan banyak faktor seperti yang diterangkan berdasarkan 9 kebaikan di atas. Kehidupan untuk orang yang berpuasa amat penting kerana penyakit-penyakit boleh dielak dan lemak serta kandungan gula dalam darah juga akan berkurangan.


Kebaikkan di atas hanya dapat diperoleh jika puasa anda dilakukan dengan kadar yang betul. Berpuasa setiap hari bukanlah sesuatu yang baik untuk kesihatan dan anda disarankan untuk berpuasa 2 kali seminggu. Untuk penerangan lebih saintifik, boleh rujuk ke sumber. 

sumber: Healthline




Hakcipta iluminasi.com (2017)