Oleh pada 21 Apr 2023 kategori

Berpuasa adalah amalan yang diamalkan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Ibadah wajib ini menguji kesabaran seseorang individu Muslim menahan diri daripada makan dan minum dari waktu fajar hingga waktu maghrib setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Dalam bahasa Inggeris, istilah "berpuasa" digelarkan sebagai "fasting". Pernahkah anda terfikir kenapa?

Kenapa 'fast'?

BESARKAN TEKS     A-  A+

fasting amalan tahan diri

Sebut perkataan 'fast', pasti kita akan membayangkan tentang pergerakan yang laju. Mungkin anda akan membayangkan pelari Usain Bolt, watak adiwira Flash atau siri filem Fast and Furious.

Jadi kenapa istilah 'fast' turut sama digunakan untuk tujuan yang jauh berbeza? Ini kerana kedua-dua istilah ini dikatakan berasal daripada satu istilah yang sama. Anehnya, daripada aspek kajian bahasa - istilah 'fasting' untuk berpuasa dipercayai diamalkan terlebih dahulu!

Istilah 'fast' terawal berasal daripada istilah adjektif dalam bahasa Proto Hindu Eropah past yang membawa makna sesuatu yang kuat dan tegar.

Bagaimana fast menjadi fasting

orang norse fasting

Penggunaan konsep istilah ini mula diperkembangkan dalam bahasa Norse kuno, apabila masyarakat Eropah di sana mula menggunakan fast bagi menggambarkan sikap seseorang yang konsisten dalam melakukan sesuatu. 

Bila seseorang itu mempunyai sikap yang tegar dan tidak mudah berundur daripada sesuatu perbuatan, perbuatan itu digelarkan sebagai sikap fastanan.

Oleh kerana pada zaman itu usaha penyebaran amalan Kristian memerlukan penganut mereka menahan diri daripada makan dan minum beberapa jenis santapan yang ada demi tuntutan agama, perbuatan menahan diri dengan sabar dan tekun itu mula dikaitkan dengan istilah awal yang mewakili sikap.

Musim di mana tuntutan agama ini perlu dipenuhi mula digelarkan masyarakat Eropah sebagai musim fasta, direkodkan dalam bahasa kuno orang Norse. Penggunaannya walaupun berkait dengan amalan agama, tidaklah semestinya mesti dilakukan atas tuntutan tersebut. 

Istilah ini kemudiannya dipinjam ke dalam bahasa Inggeris lama, ditulis sebagai fæsten yang menjadi asas kepada istilah fasting yang ada sekarang.

Dari mana pula datangnya istilah fast berkait kelajuan?

kenapa puasa digelarkan fasting

Masih ingat bagaimana istilah fast pada awalnya berkait dengan sikap seseorang yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu?

Di kalangan masyarakat Scandinavia, mereka mula memperkembangkan penggunaan istilah tersebut ke dalam konteks yang berbeza yang lebih umum sifatnya. 'Fast' mula digunakan untuk merujuk perbuatan bersifat am yang dilakukan dengan tegar dan bersungguh-sungguh.

Tak kiralah apa saja perbuatannya baik berlari, bercakap, tidur atau sebagainya - apabila seseorang itu melakukannya dengan sepenuh hati, mereka akan melabelkannya sebagai perbuatan yang fast.

Dalam merujuk perbuatan berlari, masyarakat Eropah menggunakan istilah fast bagi merujuk kepada kemampuan seseorang berlari dengan pantas serta mampu mengejar apa yang sedang mereka kejar. Dari sinilah asal-usul fast yang menggambarkan seseorang atau sesuatu yang bergerak pantas, secara konsisten dan dilakukan sedaya upaya mula diamalkan. 

Masyarakat Inggeris kemudiannya meminjam istilah sama diubah kepada fæste, yang membentuk istilah fast yang ada sekarang menyumbang kepada siri filem Fast and Furious, yang semakin lama semakin mengarut dan merapu lagak aksinya. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)