Oleh pada 09 Sep 2021 kategori

Cheetah adalah spesies haiwan dari keluarga kucing dan dikenali sebagai haiwan terpantas di darat. Manusia terpantas iaitu Usain Bolt, memegang rekod dunia pecut 100 meter dengan masa 9.58 saat.

Jika dibandingkan dengan cheetah, haiwan itu mampu menghabiskan larian yang sama dalam masa hanya 5 saat sahaja. Berikut adalah 10 perkara yang mungkin anda tidak ketahui mengenai cheetah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kelajuan sebenar cheetah

Sebagai haiwan terpantas di darat, seekor cheetah mampu memecut sehingga 112 km sejam. Mereka boleh memecut sehingga 96 km dalam masa tiga saat sahaja.

Cakar mereka berfungsi seperti paku pada kasut bola ketika berlari sementara ekornya yang panjang dan berotot pula bertindak sebagai kemudi yang membantu mereka membelok tajam.

Pada 2012, seekor cheetah bernama Sarah dari Zoo Cincinnati membuat larian 100 meter dalam masa 5.95 saat sahaja.

2. Dicipta untuk kelajuan sahaja

Tubuh cheetah sememangnya dicipta untuk kelajuan sahaja. Ia memiliki kepala yang lebih kecil, saluran hidung yang lebih besar, dada lebih mendalam, kaki lebih panjang dan tulang belakang yang lebih lembut berbanding "big cat" yang lain.

cheetah usain bolt

Selain kelajuan, cheetah kekurangan beberapa ciri lain. Cheetah tidak mempunyai stamina yang tinggi dan hanya mampu membuat pecutan kurang daripada seminit atau bawah 300-500 meter sahaja.

Bahkan, gigitan cheetah pula tidaklah begitu kuat dan cakarnya juga tidak begitu tajam jika dibandingkan dengan spesies big cat yang lain.

3. Tidak memecut laju sepanjang masa

Ketika memburu, cheetah biasanya menghendap mangsa terlebih dahulu dalam jarak 100-300 meter sebelum melakukan serangan. Mereka secara puratanya berjaya memburu mangsa hanya menggunakan kelajuan purata 64 km sahaja.

Jika ia gagal mengejar mangsanya bawah dari seminit, ia akan menyerah. Cheetah biasanya mempunyai kadar kejayaan memburu mangsa antara 40 hingga 50 peratus.

Cheetah yang cepat penat ini juga biasanya akan menyimpan tenaga jika tidak memburu. Satu kajian mendapati cheetah hanya menggunakan 12% daripada waktu jaganya untuk bergerak.

4. Sering dibuli pemangsa lain

Cheetah memerlukan masa untuk berehat selepas membuat pecutan. Ini merupakan satu kekurangan jika ia terlepas daripada mengejar mangsanya. Mangsanya mungkin akan "dirompak" haiwan karnivor lain.

cheetah memburu

Dengan tubuh yang ringan, gigitan yang tidak begitu kuat dan kuku yang tumpul, cheetah sukar mempertahankan sasarannya daripada pemangsa lain.

Cheetah mungkin menyerah kalah kepada karnivor yang lebih kuat seperti singa, harimau bintang, dubuk atau anjing liar. Cheetah biasanya kehilangan 10 hingga 15 peratus sasarannya kepada pemangsa lain.

5. Kehidupan sosial yang unik

Kehidupan sosial cheetah berbeza jika dibandingkan dengan spesies big cat yang lain. Cheetah betina hidup bersendirian sementara cheetah jantan hidup dalam kawanan.

Cheetah betina akan membesarkan anaknya bersendirian. Cheetah jantan pula akan bekerjasama dengan adik beradik jantannya atau membentuk gabungan dengan kumpulan lain untuk mempertahankan wilayahnya atau memburu mangsa yang lebih besar.

6. Jangka hayat yang pendek

Secara puratanya, jangka hayat seekor cheetah hanyalah antara lima hingga enam tahun sahaja. Anak cheetah yang baru lahir mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi.

anak cheetah

Satu kajian yang dilakukan pada 1994 di Serengeti, Tanzania, mendapati hampir 77 peratus anak cheetah mati sebelum mencapai usia lapan minggu dan 83 peratus mati sebelum mencapai usia 14 minggu.

Cheetah adalah spesies big cat yang paling diancam kepupusan di Afrika. Seabad yang lalu, dianggarkan terdapat sekitar 100,000 ekor cheetah tetapi jumlahnya menurun sehingga 6,674 pada hari ini menurut pemantauan IUCN.

Mereka menghadapi ancaman daripada kehilangan habitat akibat penerokaan manusia, pemburu haram dan jangkitan penyakit.

7. Cheetah bukan hanya di Afrika sahaja

Ramai orang menganggap cheetah hanya terdapat di Afrika sahaja. Namun, terdapat satu subspesies cheetah yang dikenali sebagai Cheetah Asia di Iran. Ia satu-satunya spesies cheetah yang masih wujud di Asia dan jumlahnya mungkin kurang daripada 50 ekor.

Dahulu, cheetah banyak terdapat di negara-negara Asia lain seperti Turki, Asia Tengah, Afghanistan, Pakistan dan India. Malah, nama "cheetah" berasal daripada perkataan hindi iaitu "chita" yang bermaksud "yang berbintik".

8. Kurang kebolehan berbanding big cat lain

Selain kelajuan, cheetah kekurangan dari banyak segi berbanding big cat lain. Cheetah tidak cekap memanjat pokok seperti harimau bintang. Walaupun boleh berenang, cheetah tidaklah sehebat harimau atau jaguar.Biasanya, cheetah akan mengelak daripada memasuki air.

cheetah lari

Cheetah juga tidak boleh mengaum seperti singa atau harimau. Sebaliknya, cheetah hanya membuat bunyi kicauan, purr dan meow sahaja (seperti kucing peliharaan).

Kekuatan, tenaga dan stamina cheetah boleh dikatakan paling bawah dalam semua spesies big cat.

9. Cheetah memerlukan kawasan yang luas

Cheetah adalah haiwan yang memerlukan kawasan yang luas. Walaupun ada kawanan cheetah yang tinggal di wilayah seluas 30 km persegi, seekor cheetah dapat berkeliaran sejauh 3,000 kilometer persegi.

Cheetah menyukai kawasan di mana haiwan mangsa kurang padat. Ia bagi mengelakkan persaingan dengan pemangsa lain yang lebih besar dan kuat. Penerokaan manusia menjadikan kawasan cheetah semakin mengecil.

Kawasan yang suatu masa dahulu mampu menampung ribuan cheetah kini hanya mampu menampung ratusan atau puluhan sahaja.

10. Dianggap sebagai haiwan diraja dan suci

Pada zaman Mesir kuno, cheetah dibela dan dijadikan peneman Firaun ketika berburu. Banyak patung cheetah dihasilkan dan imej haiwan itu dilukis di makam-makam diraja.

bela cheetah

Penduduk Mesir kuno percaya bahawa dewa bernama Mafdet yang digambarkan memiliki kepala seperti cheetah akan mempercepatkan perjalanan roh seseorang Firaun itu ke alam selepas kematian.

Mungkin disebabkan itu juga, cheetah merupakan salah satu haiwan eksotik yang paling mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap sebagai haiwan peliharaan terutamanya di negara-negara Arab.

Sumber:

1. CGTN News

2. ZSL Wildlife

3. Uganda Safari




Hakcipta iluminasi.com (2017)