Oleh pada 16 Dec 2021 kategori

Biasanya, seseorang yang banyak berjasa akan diberi penghormatan yang sewajarnya sama ada dari pihak kerajaan, tentera atau organisasi tertentu. Begitu juga dengan pingat keberanian bagi mereka yang menjadi wira atau penyelamat dalam situasi getir.

Namun, jarang kita dengar sesuatu penghormatan atau pingat itu diberikan kepada haiwan. Hakikatnya, ada haiwan yang memberi sumbangan atau berjasa sehingga diberi penghormatan.

Berikut adalah beberapa haiwan yang diberi penghormatan atas jasa mereka.

1. Magawa

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tikus secara amnya bukanlah haiwan yang digemari. Namun, seekor tikus yang diberi nama Magawa telah dianugerahkan dengan pingat emas kerana "keberaniannya menyelamatkan nyawa dan berdedikasi terhadap tugas".

Magawa adalah seekor tikus yang mempunyai tugas berbahaya membersihkan periuk api di Kemboja. Magawa dilatih untuk menghidu alat letupan dan dia terlalu ringan untuk membuatkan periuk api meletup apabila memijaknya.

Setakat ini, Magawa telah membantu membersihkan kawasan yang lebih besar daripada 20 padang bola sepak di mana ia berjaya menemui 71 periuk api dan 38 bahan letupan lain.

Magawa telah bersara pada bulan Jun 2021 tetapi beberapa tikus lain telah dilatih bagi menggantikan tempatnya.

2. Lucca

Pingat Dickin adalah anugerah tertinggi yang diberikan kerana keberanian haiwan. Seekor anjing bernama Lucca yang dilatih oleh Marine Corps Amerika adalah anjing A.S pertama yang menerima anugerah British ini.

Lucca telah 'bertugas' selama enam tahun di Afghanistan dan melakukan lebih daripada 400 rondaan. Dia menyelamatkan banyak nyawa apabila berjaya menghidu banyak perangkap bahan letupan.

Letupan terakhir yang berjaya dihidu Lucca adalah seberat 30 kg. Namun, Lucca tercedera tidak lama kemudian akibat letupan lain sehingga salah satu kakinya terpaksa dipotong.

Setelah sembuh, Lucca diterbangkan ke London untuk menerima Pingat Dickin. Anjing ini turut menerima Pingat Purple Heart yang biasanya diberikan kepada tentera yang cedera semasa bertugas atau dalam pertempuran.

3. GI Joe

gi joe

Haiwan Amerika yang pertama dianugerahkan Pingat Dickin adalah seekor burung merpati yang diberi nama GI Joe. Ketika tentera Bersekutu (Allied) masuk ke Itali dalam Perang Dunia Kedua, satu pasukan tentera telah mara terlalu laju daripada apa yang dirancang.

Mereka kemudian telah menawan sebuah kampung yang dikuasai Jerman. Namun, mereka khuatir akan dibom oleh pesawat sendiri kerana tiada siapa di pangkalan tahu mereka berada di situ.

Apabila radio juga gagal menghubungi pangkalan udara, kumpulan tentera itu menaruh harapan mereka pada seekor burung merpati bernama GI Joe. Burung itu berjaya sampai di pangkalan tepat pada waktunya dan operasi mengebom dibatalkan.

GI Joe telah menyelamatkan lebih daripada 100 nyawa. Burung yang diberi Pingat Dickin itu merupakan burung merpati A.S terbaik dalam WWII apabila berjaya terbang sejauh 20 batu dalam masa 20 minit untuk menghentikan pengeboman.

4. Kuno

kuno

Anjing kedua dalam senarai ini adalah Kuno yang berkhidmat untuk Royal Navy United Kingdom. Ketika dalam satu rondaan di Afghanistan, satu pasukan Royal Navy telah diserang hendap oleh penembak al-Qaida.

Pasukan Royal Navy itu terperangkap tetapi Kuno berjaya menerkam salah seorang penembak al-Qaida dan membuat mereka kucar-kacir. Serangan Kuno telah mengubah keadaan dan pasukan Royal Navy berjaya menumpaskan penembak al-Qaeda. Malangnya, kedua-dua kaki belakang Kuno terkena tembakan.

Kedua-dua kaki anjing itu terpaksa dipotong tetapi Kuno menjadi anjing tentera British pertama yang menerima kaki palsu khas. Atas keberaniannya, Kuno dianugerahkan dengan Pingat Dicken dan bersara daripada perkhidmatan tentera tidak lama kemudian.

Menurut Setiausaha Pertahanan British, keadaan mungkin berbeza jika tidak kerana tindakan berani Kuno dan tindakannya berjaya menyelamatkan nyawa tentera British.

5. Sarjan Reckless

sarjan reckless

Pasukan Marine Corps Amerika Syarikat memberikan pangkat rasmi hanya sekali sahaja kepada haiwan. Ketika Perang Korea, seekor kuda yang dinamakan Reckless diberikan pangkat rasmi sebagai Sarjan.

Reckless adalah seekor kuda yang sangat bijak dan mudah dilatih. Apabila pasukan tenteranya menjerit "Incoming!", kuda itu akan berlari ke arah kubu. Reckless juga dilatih untuk mengelak kawat berduri dan berbaring ketika dihujani peluru musuh.

Namun, kehebatan yang membolehkan Reckless menerima penghormatan ialah ia boleh bertindak tanpa seliaan manusia. Dalam satu pertempuran sengit, Reckless berulang-alik sebanyak 51 kali ke barisan hadapan untuk menghantar bekalan peluru dan membawa balik tentera yang cedera.

Reckless sendiri terkena dua tembakan tetapi terselamat. Kuda itu akhirnya bersara dengan dua Pingat Purple Hearts, dua anugerah Navy Presidential Unit, satu Navy Unit Commendation, empat pingat Perkhidmatan Korea dan satu pingat Marine Corps Good Conduct.

6. Bucephalus

bucephalus

Alexander the Great adalah seorang penakluk hebat yang menubuhkan empayar terbesar dalam sejarah dunia. Dia lakukan semua kempen penaklukannya bersama-sama kudanya, Bucephalus.

Bucephalus adalah hadiah yang diberikan kepada bapanya. Kuda itu begitu liar dan tiada siapa berjaya menjinakkannya selain Alexander yang masih muda. Sejak itu, ia menjadi teman setia Alexander the Great.

Apabila Bucephalus mati, Alexander bukan sahaja mengadakan majlis pengebumian besar-besaran tetapi menamakan sebuah bandar sempena nama kudanya yang terletak di bahagian timur Sungai Indus.

7. Cher Ami

cher ami

Ketika WW1, Mejar Charles White Whittlesey bersama-sama 550 tentera Amerika Syarikat di bawah pimpinannya telah dikepung oleh pihak musuh. Mejar Charles menghantar utusan untuk meminta bantuan tetapi semuanya terkorban. 

Lebih teruk lagi, mereka dibom oleh pasukan senegara yang tidak tahu di mana kedudukan tepat mereka. Mejar Charles akhirnya bergantung harapan pada burung merpatinya.

Dua ekor merpati yang dihantarnya telah ditembak mati. Dengan hanya 194 orang masih hidup, mereka bergantung kepada burung terakhir bernama Cher Ami.

Malangnya, Cher Ami telah ditembak oleh pihak Jerman tetapi berjaya terbang semula dengan mesej yang dibawa. Merpati itu berjaya menghantar mesej walaupun putus satu kaki dan buta sebelah mata.

Cher Ami telah dirawat dan diberikan penghargaan tertinggi Perancis iaitu Croix de Guerre dan dihantar pulang ke Amerika untuk upacara penghargaan di sana pula.




Hakcipta iluminasi.com (2017)