Sebenarnya terdapat banyak penempatan di dunia ini yang dahulunya meriah dengan penghuni dan aktiviti normal kehidupan. Namun, atas sebab-sebab tertentu, kawasan-kawasan ini telah ditinggalkan kosong menjadi ghost town.

1. Pripyat, Ukrain  

Pernah dahulu menjadi menjadi lokasi penempatan untuk para pekerja di Stesen Jana Kuasa Nuklear Chernobyl di Pripyat, kawasan ini menempatkan sekitar 50,000 orang. Hari ini, kawasan tersebut langsung tidak berpenghuni. Semua mereka yang tinggal di kawasan berkenaan telah diarahkan berpindah keluar selepas berlakunya insiden letupan stesen jana kuasa nuklear pada tahun 1986. Kini, lokasi tersebut menjadi kunjungan para daredevil yang berani dan mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi tentang kawasan berkenaan. Walaupun tahap radiasi kini sudah berkurangan, namun ianya masih tidak selamat untuk dijadikan sebagai tempat tinggal. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

2. Pulau Larangan - Gunkanjima, Jepun

pulau larangan gunkanjima japan

Nagasaki Prefecture adalah sebuah kawasan yang terletak di Pulau Kyushu, Jepun. Ia mempunyai sekitar 505 buah pulau yang tidak berpenghuni, dan terletak kira-kira 15 km daripada bandar Nagasaki. Turut digelar sebagai Battleship Island atau Gunkanjima, pulau tersebut telah dibeli pada tahun 1890 oleh syarikat Mitsubishi untuk dijadikan sebagai lombong arang batu. Pangsapuri dan rumah kediaman telah dibina sebagai penempatan kepada para pekerja lombong

Lombong arang batu tersebut akhirnya terpaksa ditutup pada tahun 1974 kerana kurangnya permintaan, yang semakin beralih kepada sumber petroleum sekitar tahun 1960an. Akhirnya, pulau tersebut terus ditinggalkan. Bagi penggemar permainan video Battle Royale II dan Killer 7, pulau ini telah diadaptasi sebagai sebahagian daripada lokasi aksi dalam games berkenaan. 

3. Kolmanskop, Namibia

bandar hantu kolmanskop namibia

Kolmanskop adalah definisi sebenar sebuah ghost town, atau bandar hantu, yakni bandar yang telah ditinggalkan kosong tanpa penghuni. Terletak di Namibia, kawasan tersebut dahulunya dipenuhi dengan orang ramai kerana penemuan berlian di sana. Ramai pemburu harta karun memenuhi padang pasir Namibia, dan Kolmanskop menjadi semakin berkembang, mempunyai sekolah, hospital dan struktur penempatan sendiri. 

Selepas Perang Dunia Pertama, permintaan terhadap berlian menjadi semakin berkurangan, dan penduduk Kolmanskop terpaksa menceburi bidang lain untuk menyara kehidupan mereka. Sekitar tahun 1950an, bandar tersebut terus ditinggalkan kosong, dan kini, alam semulajadi menenggelamkan sebahagian daripadanya dengan pasir.

4. Bodie, California, AS

ghost town bodie california as

Ketika penemuan emas pada sekitar tahun 1800an, Bodie menempatkan populasi seramai 10,000 orang di dalamnya. Nama pekan tersebut diambil bersempena nama individu pertama yang menemui serpihan emas di kawasan tersebut, iaitu WS Bodey. Ribuan manusia mula mengunjungi kawasan tersebut bagi mencuba nasib untuk mendapatkan logam berharga tersebut. Lama-kelamaan, jumlah emas di kawasan itu semakin berkurangan, dan orang ramai secara beransur meninggalkan pekan tersebut. 

5. St. Elmo, Colorado, AS

st elmo colorado bandar ditinggalkan

Seperti pekan Bodie, St. Elmo juga menarik orang ramai ke kawasan berkenaan setelah penemuan emas di sana. Pekan tersebut 'hidup' antara tahun 1880an hingga awal 1900an. Turut dikenali sebagai Forest City kerana lokasinya yang terletak di kawasan hutan padat, kawasan ini terus ditinggalkan selepas industri perlombongan emas menjadi semakin pasif. Kini, ghost town ini terdiri daripada rumah-rumah kayu di sekitar sebatang jalan utamanya. 

6. Kowloon Walled City, China

bandar kosong kowloon walled city

Sekali lihat, Kowloon Walled City di Hong Kong dilihat seperti masih berpenghuni. Ketika Perang Dunia ke-2, kawasan penempatan telah dikuasai oleh tentera Jepun. Selepas tamatnya perang, bandar tersebut kelihatan seolah-olah tiada undang-undang, dan penduduknya bertindak sesuka hati. Lama kelamaan, struktur demi struktur bangunan tambahan telah dibina, sehingga menghalang pencahayaan semula jadi sinaran matahari. Rumah pelacuran dan rumah judi dibina secara berleluasa, dan aktiviti haram berlaku sepanjang masa sehinggalah pada tahun 1993, Britain dan China menghentikan segala aktiviti di sana dan mengosongkan bandar tersebut.  

7. Craco, Itali

bandar kosong craco itali

Craco terletak di sebuah daerah Itali yang bernama Matera. Dahulunya kawasan ini menempatkan banyak rumah batu di hilir bukit, namun akibat kerap kali berlakunya kejadian tanah runtuh yang menyebabkan kematian penduduknya, kawasan tersebut mula dikosongkan secara beransur-ansur. Sehingga tahun 1963, Craco menjadi sebuah ghost town dengan kelibat beberapa struktur rumah yang runtuh sebahagian daripadanya. 

8. Oradour Sur Glane, Perancis

bandar kosong oradour sur glane

Oradour Sur Glane yang terletak di Perancis telah menjadi saksi kepada kekejaman yang berlaku ketika Perang Dunia ke-2. Sebuah bandar kecil, kawasan ini pernah menyaksikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Perancis oleh tentera Nazi pada tahun 1944 sebagai pembalasan kepada French Resistance yang berlaku sebelumnya. Penduduknya ditembak dan dibunuh manakala rumah dan bangunan dibakar, dan sesetengan struktur yang tinggal seolah-olah menceritakan kejadian yang berlaku dahulunya. Kawasan tersebut kini dijadikan sebagai sebuah memorial peringatan kepada kejadian yang berlaku itu. 

9. San Zhi, Taiwan

bandar kosong san zhi taiwan

San Zhi di Taiwan dibina sebagai lokasi percutian untuk golongan yang kaya, dengan binaan rumah yang mempunyai reka bentuk yang futuristik. Skandal kewangan dan kontroversi menyebabkan projek yang hampir siap itu terhenti di tengah jalan. Hari ini, kawasan tersebut kelihatan seperti kawasan adegan filem yang telah diserang oleh makhluk asing. Ada khabar angin yang mengatakan bahawa roh para pekerja yang mati ketika pembinaan kawasan tersebut masih berkeliaran di sana. 

10. Plymouth, Montserrat

bandar hantu plymouth montserrat

Terdapat beberapa sebab mengapa penduduk Plymouth, Montserrat meninggalkan kawasan berkenaan dan membuat pilihan untuk tidak lagi tinggal di sana. Pada tahun 1995, telah berlaku sebuah letusan gunung berapi yang kuat, menyebabkan orang ramai berpusu-pusu meninggalkan rumah mereka. Dua tahun kemudian, Soufriere Hills Volcano sekali lagi meletus dan menenggelamkan sebahagian bandar itu dengan ketinggian kira-kira 12 m abu. Kini, pelancong boleh mengunjungi bandar berkenaan, namun bergantung kepada kebenaran oleh penguatkuasa tempatan berkenaan keselamatan kawasan tersebut. 

Rujukan:

  1. thevintagenews.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)