Saban hari, kita baca di akhbar atau tonton di televisyen mengenai kebanjiran pendatang asing ke Malaysia. Kebanyakan dari mereka ingin mencari rezeki di negara luar yang lebih banyak peluang. Kemajuan sesebuah negara itu akan mengundang kepada pertambahan populasi, tidak kira atas tujuan apa sekalipun.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur kerana kita masih lagi mempunyai ruang yang cukup di negara ini untuk hidup selesa. Dengan mengambil kira kepadatan populasi dari seluruh dunia, kami telah mengumpulkan 10 negara dengan kepadatan penduduk paling tinggi (tidak termasuk tanah jajahan seperti Macau atau Hong Kong).

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Mauritius

mauritius

Apabila menyebut tentang Mauritius, rata-rata orang akan menggambarkan pantai yang bersih dan air laut yang jernih berwarna biru, akan tetapi Mauritius juga merupakan salah satu negara terpadat di dunia. Dengan hanya keluasan 2,040km persegi, negara ini mempunyai populasi penduduk sebanyak 1,262,132 yang diambil pada tahun 2016. Ini menjadikan kepadatan penduduk di sini ialah sebanyak 618 orang untuk kawasan 1 km persegi.

Namun, kebanyakan mereka bukan tinggal di bandar kerana ibu negerinya iaitu Port Louis hanya mempunyai populasi seramai 148,000 sahaja. Lebih dari sejuta yang lain bertaburan di pelbagai pulau di Lautan Hindi ini. Negara ini juga terkenal kerana salah satu penduduknya yang telah pupus, iaitu burung Dodo. Semasa orang Eropah menemui pulau ini pada kurun ke-17 terdapat hanya 50 orang penduduk sahaja di sini dan banyak burung Dodo yang jinak. Ia pupus akibat pendatang baru yang memburunya untuk makanan dan hobi.

9. Taiwan

taiwan

Dikenali sebagai Repulic of China sebelum ini, timbul persoalan sama ada Taiwan merupakan sebuah negara atau tidak. Namun, apa yang dipersetujui adalah negara ini merupakan sebuah negara yang padat populasinya. Ia adalah hasil daripada pembangunan perindustrian yang mendadak naik dan menjadikan Taiwan negara ke-19 ekonomi terbesar dunia.

Dengan populasi penduduknya yang kini mencecah 23,550,077 berdasarkan bancian yang dibuat pada tahun 2017 dengan keluasan hanya 36,197 km persegi! Cuma sedikit lebih besar dari negeri Pahang. Ini menjadikan kepadatan penduduk di sini ialah 650 orang/1 km persegi. Apa yang lebih mengejutkan ialah sebahangian besar populasi mendiami kawasan bahagian barat pulau ini. Bayangkan betapa sesaknya kawasan ini dengan manusia.

8. Barbados

barbados

Seperti Mauritius, pulau ini juga merupakan syurga percutian dan perlancongan. Negara yang kecil ini berkeluasan hanya 439km persegi, tetapi mempunyai populasi penduduk sebanyak 277,821 orang yang diambil pada tahun 2010. Ini menjadikan kepadatan penduduk di sini ialah sebanyak 660 orang/1km persegi.

Dengan kepadatan yang tinggi, ia mengundang pelbagai permasalahan kepada alam sekitar. Pengurusan sistem kumbahan yang tidak dapat menampung begitu ramai orang dan pencemaran manusia yang menyebabkan batu karang mati serta pelbagai lagi. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif bagi menyelesaikan permasalahan itu dan akan menjadikan pulau ini lebih bersih.

7. Bangladesh

bangladesh

Walaupun Bangladesh menduduki tempat ke-7 di dalam senarai ini, namun ia mempunyai populasi yang paling tinggi di antara yang lain iaitu sebanyak 162,951,560 orang penduduk pada tahun 2016 dengan keluasan negara 147,579km persegi. Ini menjadikan Bangladesh mempunyai purata kepadatan penduduknya seramai 1106 orang/1km persegi.

Negara ini merupakan salah sebuah negara paling miskin di dunia walaupun kadar kemiskinan dilihat semakin menurun di sana dan Forbes pernah menggelarkan Bangladesh sebagai Next Eleven, iaitu senarai negara yang akan mencapai tahap superpower ekonomi masa hadapan. Walau bagaimanapun, ia tidaklah semudah yang disangka apabila Bank Dunia mengatakan “Di antara halangan Bangladesh untuk maju ialah kerajaan dan perlembagaan rakyat yang lemah”.

6. Maldives

maldives 858

Terdapat beberapa pulau cantik di dalam senarai ini namun tidak ada yang lebih terjejas akibat kepadatan penduduk jika dibandingkan dengan Maldives. Bukan itu sahaja, Maldives juga dijangka mungkin pupus pada 100 tahun yang akan datang. Dengan populasi penduduk seramai 427,756 orang pada tahun 2016, negara yang hanya mempunyai keluasan 298km persegi ini purata jumlah kepadatan penduduk sebanyak 1,102 orang/1km persegi.

Penduduk di sini nampaknya perlu mencari tempat tinggal baru kerana aras laut yang sudah meningkat naik sebanyak 59cm. Dijangkakan bahawa ibu negerinya, Male, akan tenggelam pada 2100. Pihak kerajaan Maldives kini sedang dalam usaha membeli sebahagian tanah di Australia, India, dan Sri Langka untuk diduduki kelak. Lawatilah pulau ini sementara ia masih wujud.

5. Malta

malta

Salah satu lagi pulau dengan masalah kesesakan manusia. Terletak di tengah lautan di antara kepulauan Sicily dan Afrika Utara, Malta ialah sebuah negara yang mempunyai populasi dianggarkan sebanyak 445,426 orang dengan hanya keluasan sebesar 316km persegi sahaja. Ini menjadikan kepadatan penduduk di sini ialah seramai 1,410 orang/1km persegi.

Negara di lautan Mediterranean ini juga merupakan tumpuan para pelancong disebabkan 7 tempat tarikan di negara itu yang dinamakan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia dan juga beberapa tarikan lain. Dengan purata lebih dari 1.2 juta pelancong setahun ia, ia juga menjadi tempat kebanyakan warga luar seperti Britian yang memilih Malta sebagai tempat persaraan jadi tidak hairanlah jika 20.3 % penduduk di sini berusia dalam lingkungan 50-64 tahun. Malta mungkin akan mengalami masalah kekurangan rumah suatu masa nanti.

4. Bahrain

bahrain

Terletak di Teluk Parsi, negara Islam Bahrain ini mempunyai keluasan sebanyak 765.3 km persegi, dengan populasi penduduk seramai 1,425,171 orang pada 2016. Ini menjadikan kepadatan penduduk di sini ialah seramai 2007 orang/1km persegi. Yang lebih mengejutkan ialah 89% dari jumlah populasi ini mendiami 2 kota sahaja iaitu Manama dan Al-Muharraq.

Ini adalah disebabkan 92% kawasan di negara ini terdiri dari padang pasir. Bukan sahaja dengan masalah kepadatan penduduk malah ia juga menerima sejumlah lebih 8-9 juta pelancong setahun, yang kebanyakan terdiri dari negara arab jiran setelah Bahrain dibuka kepada luar pada tahun 2004. Pelbagai tarikan pelancong di negara ini antaranya ialah litar lumba F1. Bahrain suatu masa dahulu sebelum adanya kemajuan pesat, merupakan tempat industri perusahaan dan penternakan tiram.

3. Vatican City

vatican

Berada di tempat ke-3 ialah Vatican City. Sebuah negara kecil yang terletak di dalam sebuah bandaraya dan merupakan tempat kediaman orang penting bagi Gereja Katolik. Walaupun negara ini sangat kecil dengan ukuran hanya 0.44km persegi, namun dengan hampir 1000 orang populasi penduduk membuatkannya agak padat. Kepadatan penduduk di sini ialah 2,272 orang / 1km persegi.

Tempat ini diperintah oleh ketua Bishop Rom yang juga dikenali sebagai Pope. Bukan sahaja terkenal serta dikunjungi ramai, malah di sini juga terdapat perpustakaan gergasi milik pihak gereja Kristian yang menyimpan pelbagai artifak bersejarah, terutamanya jika mempunyai kaitan dengan Agama Kristian itu sendiri.

2. Singapura

singapura 912

Untuk kepadatan penduduk yang lebih ekstrim mari kita telusuri 2 negara terakhir di dalam senarai ini. Dengan hanya keluasan 721.5km persegi, Singapura mempunyai populasi sebanyak 5,612,300 orang penduduk yang diambil pada 2017. Sebanyak 62% dari jumlah populasi itu tinggal di pusat bandar. Ini menjadikan kepadatan penduduk negara ini sebanyak 7,796 orang/1km persegi.

Negara jiran kita ini juga menerima pelancong seramai 11 juta orang setiap tahun. Disebabkan oleh kekurangan tanah, ramai penduduk yang terpaksa tinggal di kediaman tinggi seperti rumah pangsa dan pangsapuri.

Kini pembangunan untuk menambak laut sebanyak 70km persegi sedang dijalankan. Sementara itu penduduk terpaksa tinggal dan bekerja di bangunan tinggi. Dilaporkan terdapat 59 bangunan dengan ketinggian lebih dari 459 kaki tinggi dan yang paling tinggi ialah 919 kaki tinggi.

1. Monaco

monaco

Monaco merupakan tempat kediaman ramai orang kaya di dunia dan jumlahnya mencecah sehingga 38,400 orang dengan hanya keluasan tanah sebanyak 2.1 km persegi. Monaco juga mempunyai kepadatan penduduk paling tinggi di dunia iaitu sebanyak 18,713 orang/ 1km persegi. Bukan itu sahaja malah merupakan negara dengan pendapatan tertinggi iaitu sebanyak $153,177 per kapita dan mempunyai penggangguran sebanyak 0%.

Sememangnya sebuah negara yang sangat kaya. Walaupun sangat padat berbanding Bangladesh namun yang menghairankan semakin ramai orang kaya yang ingin tinggal di sana. Mereka saling berebut dalam pembelian hartanah yang bernilai ratusan juta USD setiap satu. Sememangnya dunia ini pelik bukan?

Rujukan:

1.  statisticstimes

2. indexmundi

3. smashinglists.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)