Oleh pada 26 Jul 2021 kategori

Dalam beberapa abad terakhir, populasi manusia meningkat daripada anggaran satu bilion pada tahun 1804 menjadi tujuh bilion pada tahun 2017. Timbul persoalan seperti apa yang bakal berlaku sekiranya jumlah populasi melebihi kemampuan manusia menghasilkan makanan.

Sebahagian orang berpendapat akan berlaku kematian besar-besaran akibat kebuluran sehinggalah populasi dunia mencapai satu jumlah yang ideal. Namun, teknologi pertanian yang semakin canggih pada hari ini sebenarnya mampu menampung sehingga 10 bilion orang. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Cuma, bagaimana cara makanan itu diedarkan yang menyebabkan berlakunya kebuluran pada hari ini.

Sementara itu, seorang penyelidik bernama John B. Calhoun (1917-1995) dari Institut Kesihatan Mental Amerika berusaha untuk menjawab persoalan yang berbeza; apa yang berlaku sekiranya semua selera dan keperluan manusia mencukupi? Hasil kajiannya amat mengejutkan.

Eksperimen Universe 25

Calhoun membuat beberapa siri eksperimen untuk menjawab persoalan ini sejak tahun 1947 lagi tetapi kajiannya yang paling terkenal adalah Universe 25. Hampir kesemua eksperimennya menggunakan tikus.

john b calhoun

John B. Calhoun

Dalam kajian Universe 25, Calhoun memilih empat pasang tikus sihat yang ditempatkan di dalam sebuah "utopia" atau "dunia sempurna". Utopia tertutup ini mengandungi 256 ruangan (rumah tikus) serta bahan membuat sarang.

Utopia yang bebas penyakit dan tiada pemangsa ini juga dilengkapi dengan 16 corong saluran makanan dan minuman tanpa had. Malah, suhunya juga disesuaikan mengikut habitat semula jadi haiwan itu.

Pada permulaan eksperimen, tikus-tikus itu hanya menghabiskan masa dengan mengawan. Biasanya, tikus di dunia nyata akan sentiasa sibuk untuk mencari makanan tetapi keperluan itu sudah dipenuhi di dalam utopia. Kira-kira setiap 55 hari, populasi utopia itu akan meningkat sebanyak dua kali ganda.

Pada hari ke-315, populasi utopia itu mencecah 620 ekor tikus dan peningkatan dua kali ganda berlaku setiap 145 hari. Ketika ini, tikus-tikus itu sudah berpecah menjadi beberapa kumpulan. Bagi tikus yang tidak mempunyai peranan dalam kumpulan pula, mereka tiada arah tuju.

Tikus yang terpinggir

Dalam persekitaran semula jadi, tikus-tikus yang tersisa ini akan "berhijrah" dan menjadi lebih matang. Di dalam utopia ini, mereka dipinggirkan.

universe 25

Tikus-tikus jantan yang dipinggirkan "masyarakat" ini menjadi sangat tidak aktif, tidak bersosial dan hanya berkumpul di bahagian tengah ruangan utopia. Badan mereka juga dipenuhi luka dan parut akibat serangan sesama sendiri (tikus terpinggir).

Apabila diserang, mereka tidak melawan. Kemudian, mereka akan melakukan perkara sama (menyerang) terhadap tikus terpinggir lain. Mereka biasanya menyerang kerana berebut kawasan atau makanan.

Bagi tikus betina yang terpinggir pula, mereka banyak mengabiskan masa dengan membersihkan diri, tidak mahu mengawan dan mengelak daripada berlawan. Disebabkan itu, tikus betina yang terpinggir memiliki bulu yang lebih cantik dan lembut.

Bagi tikus jantan alpha, mereka biasanya sangat agresif dan menyerang tikus lain tanpa provokasi atau motif. Mereka juga sering merogol tikus betina mahupun jantan. Ada kalanya, serangan berakhir dengan "kanibalisme".

Behavioral sink 

Berdasarkan eksperimennya, Calhoun mencipta istilah "behavioral sink" atau keruntuhan tingkah laku. Pelbagai masalah yang timbul walaupun tikus ini hidup dalam utopia yang serba mencukupi.

utopia tikus

Universe 25

Sebahagian tikus jantan yang tidak terpinggir menghabiskan masa untuk bersosial dengan tikus lain demi kepentingan seperti mendapat tempat dalam kumpulan atau memonopoli corong makanan.

Ibu tikus pula menjadi agresif apabila ada tikus lain yang menceroboh sarangnya. Di habitat semula jadi, tugas mengawal sarang dilakukan tikus jantan. Kebanyakan ibu tikus mengabaikan anak-anaknya yang baru lahir sehingga ada yang sanggup membunuh anaknya sendiri. Kadar kematian anak tikus mencecah sehingga 90 peratus.

Ini hanyalah fasa pertama kejatuhan utopia ini. Dalam fasa kedua, anak tikus yang terselamat akan membesar berpandukan tingkah laku tidak normal tikus dewasa di utopia itu. Akibatnya, mereka tidak berminat untuk mengawan, suka makan, sering mencantikkan diri dan bersendirian.

Ketika populasi mencapai kemuncak 2,200 ekor (utopia itu mampu menampung sehingga 3,000 ekor tikus), bilangan tikus mula menunjukkan penurunan. Tikus yang ada pada waktu itu sudah tidak berminat untuk mengawan.

Sebahagian tikus hanya duduk di sarangnya sahaja sementara sebahagian lagi menjadi ganas di tengah lantai utopia. Kumpulan tikus ganas ini sering menyerang atau memakan kumpulan lain serta sesama sendiri.

Kadar kelahiran yang rendah, kematian bayi yang tinggi dan keganasan menjadi kehancuran utopia itu sendiri walaupun sumber makanan dan keperluan tersedia sepenuhnya.

Kesimpulan Universe 25

Sebelum populasi utopia itu pupus sepenuhnya pada tahun keempat eksperimen Universe 25, Calhoun mengeluarkan beberapa "tikus cantik" untuk kajian seterusnya. Dia menempatkan tikus-tikus terpilih ini di habitat semula jadi.

Malangnya, tikus-tikus ini tidak berubah dengan "naluri utopia" mereka di mana mereka tidak mahu bersosial atau mengawan. Tikus-tikus itu akhirnya mati disebabkan tua.

populasi tinggi

Ramai pengkaji melihat Universe 25 ini tidak mustahil berlaku pada manusia yang mempunyai akal fikiran. Kepadatan tinggi boleh mempengaruhi tingkah laku yang tidak normal. Sebahagian perkara ini sedikit sebanyak dapat dilihat berlaku di bandar besar yang mempunyai populasi tinggi walaupun segala keperluan mencukupi.

Laporan yang ditulis Calhoun mengenai Universe 25 telah dijadikan kajian dalam pelbagai bidang seperti psikologi, perancangan bandar, kemanusian dan sebagainya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)