Jika difikirkan dari logik, lebih tinggi jumlah populasi sesebuah negara pasti mengakibatkan wujudnya jumlah banduan yang lebih tinggi angkanya.

Bagaimanapun terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam angka tersebut, mengakibatkan sesetengah negara mempunyai kadar individu berstatus banduan lebih tinggi berbanding negara-negara lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sistem kepolisian, mahkamah dan masalah ekonomi di kalangan ahli masyarakat boleh menyumbang kepada tingginya kadar jenayah berlaku mengakibatkan lebih tinggi peluang seseorang untuk bergelar banduan.

Tahukah anda negara manakah mempunyai kadar banduan tertinggi di dunia?

Negara mana paling tinggi kadar banduan?

banduan penjara jfif

Berdasarkan kepada statistik dilaporkan Institute of Crime and Justice Policy Research dengan kerjsama University of London; Amerika Syarikat merupakan negara paling tinggi kadar banduan penjara  berbanding semua negara dunia.

Situasi ini berlaku walaupun populasi penduduk di Amerika Syarikat 'hanya' sekitar 330 juta, jauh lebih kecil berbanding negara-negara besar seperti China dan India.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada situasi ini.

Bermula dengan perubahan dasar bagi mengekang kadar jenayah yang diperkenalkan dekad 1970-an, kerajaan Amerika Syarikat bertindak memanjangkan tempoh hukuman yang dikenakan ke atas pesalah kes melibatkan dadah dan homisid - menyebabkan purata waktu hukuman di negara itu berlangsung lebih panjang.

Walaupun populasi Amerika Syarikat hanya merangkumi kira-kira 4 peratus populasi dunia, jumlah banduan di negara itu merangkumi 22 peratus daripada jumlah keseluruhan tahanan penjara yang ada - meletakkan negara itu di tempat pertama pada kadar 629 banduan berbanding 100,000 populasi.

Walau demikian, angka ini sedang menurun dari tahun ke tahun selepas perubahan dasar yang melonggarkan tahap hukuman dimulakan pada tahun 2010.

Pada tahun 2008, kadar banduan di Amerika Syarikat per 100,000 populasi adalah 756 dan tahun 2019 adalah 655. Namun Amerika Syarikat kekal negara paling ramai tahanan penjara.

Empat negara paling tinggi kadar banduan selepas Amerika Syarikat

banduan hensem

Berbeza dengan Amerika Syarikat, 4 lagi negara yang menuruti negara tersebut dalam perihal kadar banduan penjara adalah negara yang mempunyai jumlah populasi tidak melebihi 15 juta orang.

El Salvador hanya mempunyai penduduk seramai 6.52 juta orang tetapi kadar banduan penjara mereka sangat tinggi iaitu 564 orang untuk setiap 100,000 penduduk, meletakkan mereka di tempat kedua.

Apa yang menakutkan jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat yang mempunyai tahap kapasiti kepenuhan penjara pada kadar 99.8%, negara kecil ini pula tidak mempunyai fasiliti penjara mencukupi untuk menampung jumlah banduan yang ada.

Kadar kapasiti penjara di El Salvador ketika artikel ini ditulis mencapai 135.7% berbanding kapasiti sebenar, mengakibatkan banduan berhimpit-himpit dalam penjara. Kakitangan penjara pula terpaksa berhadapan risiko lebih tinggi menguruskan mereka.

Masyarakat El Salvador berdepan masalah pergaduhan kongsi gelap yang meruncing, menyumbang kepada kepadatan banduan ini.

Apa yang sedikit melegakan beberapa program reformasi banduan yang telah diperkenalkan kerajaan baru negara tersebut, dilihat berjaya menguraikan kekusutuan yang timbul dan bakal meredakan masalah kapasiti banduan El Salvador.

3 negara lagi pula adalah Turkmenistan yang menduduki tangga ketiga dengan 552 daripada 100,000 orang (populasi 6.117 juta orang), Rwanda 545 daripada 100,000 orang (populasi 13.28 juta orang) dan Cuba menutup senarai ini pada kedudukan ke lima dengan kadar 510 daripada 100,000 orang dalam populasi 11.32 juta orang.

Negara Asia Tenggara mana paling tinggi kadar banduan penjara?

negara paling ramai tahanan banduan penjara

Dalam laporan terbaru yang dikeluarkan, terdapat satu negara Asia Tenggara terletak dalam kedudukan 10 teratas jumlah banduan penjara per populasi iaitu Thailand.

Dengan jumlah populasi sekitar 69.49 juta orang, Thailand mempunyai kadar banduan 445 daripada 100,000 orang penduduk, meletakkan Thailand di kedudukan kedua dalam senarai negara Asia selepas Turkmenistan dan pertama jika dibandingkan dengan semua negara Asia Tenggara lain.

Jika angka kapasiti penjara di El Salvador tampak membimbangkan, kadar kapasiti penjara di Thailand jauh jauh jauh jauh lebih menakutkan.

Thailand ketika ini perlu menampung hampir 310 ribu orang banduan, tetapi kapasiti keupayaan mereka hanya berada pada tahap maksima 110,000 orang. Ini bermakna dari segi kapasiti, penjara Thailand mencecah kapasiti lebihan had penggunaan 339% berbanding sepatutnya.

banduan penjara wanita

Bencana pandemik yang melanda memang memberi masalah besar kepada sistem penjara Thailand, sehinggakan Thailand merancang untuk membebaskan 50,000 orang banduan lebih awal bagi melegakan kapasiti penjara yang meruncing.

Pasti ramai nak tahu kita di mana kan?

Malaysia mempunyai kadar 212 banduan penjara daripada 100,000 orang populasi, duduk pada kedudukan 63 di seluruh dunia, ke 8 dalam senarai negara Asia dan kedua dalam senarai negara Asia Tenggara.

Kalau Sukan SEA, kira kita pemenang pingat perak lah kiranya.

Rujukan

World Prison Brief




Hakcipta iluminasi.com (2017)