Antara tahun 1961 hingga 1989, sebuah kubu kuat Jerman Timur teguh berdiri sepanjang 156.4km mengelilingi Jerman Barat. Hari ini, hanya sedikit saja bahagian Tembok Berlin yang masih wujud di ibu kota Jerman. Tembok pemisah antara dua wilayah Jerman itu telah dirobohkan, musnah ditelan zaman ataupun berjaya dilelongkan.

Kini, bahagian tembok yang masih utuh berdiri hanyalah di Galeri East Side di Mühlenstrasse iaitu sepanjang kira-kira 1.3 kilometer dan boleh habis dilihat dengan berjalan kaki dalam masa 20 minit sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selepas penyatuan kedua-dua bahagian Timur dan Barat itu, sebanyak 65 kren, 175 trak dan 13 jentolak digunakan untuk membuang pemisah ini di bahagian tengah bandar raya pada penghujung tahun 1990 dan diteruskan ke bahagian luar ibu kota pada tahun 1992.

Lebih 40,000 bahagian dihancurkan untuk digunakan sebagai bahan membina jalan, namun ada juga bahagian yang masih kekal dalam rupa bentuk asal. Bahagian-bahagian ini sering dilelong sebagai objek kesenian, dibeli atau didermakan kepada muzium dan pelbagai institusi di seluruh dunia seperti Muzium Perang Diraja di London dan juga Perpustakaan Presiden Ronald Reagan di California.

banyak kren dan jentolak yang diperlukan untuk merobohkan tembok berlin

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa bahagian Tembok Berlin yang dijumpai di lokasi yang tidak disangka-sangka. Ada yang terletak begitu jauh dari Jerman. Kami kongsikan antara 10 bahagian Tembok Berlin yang dapat dikenal pasti di serata dunia:

10. Madison Avenue, New York City

tembok berlin terdapat di madison avenue

Kebanyakan pekerja pejabat yang kerap lalu-lalang di sini mungkin terlepas pandang lima segmen Tembok Berlin yang berdiri di Paley Park berhampiran 520 Madison Avenue di Manhattan. Bersaiz 3.6 meter tinggi dan 6 meter panjang, tembok ini dibeli daripada kerajaan Jerman pada tahun 1990 oleh pemilik taman, Tishman Speyer Properties. Untuk pengetahuan anda, Tishman Speyer juga merupakan pembangun Sony Center iaitu sebuah kompleks komersial besar di Potsdamer Platz yang merupakan bekas kawasan persempadanan di Berlin.

9. Vatican Gardens, Vatican City

Sebahagian Tembok Berlin dipasang di Vatican City pada bulan Ogos 1994. Ia terletak di dalam sebuah taman bunga di mana paderi telah bermeditasi dan berehat sejak kurun ke-13 lagi. Tembok itu kini dihias dengan lukisan Gereja St. Michael.

tembok berlin vatican city tempat paderi berehat dan bermeditasi 498

Menurut ITN Source, bekas pengarah sukan lumba kereta Ferrari dan pengurus pasukan Formula 1 iaitu Marco Piccinini yang telah membida dan memenangi lelongan tembok tersebut di Monte Carlo pada tahun 1990 dan memberikannya sebagai hadiah kepada Vatican City pada tahun 1994.

8. Stesen Western, Laluan Coklat, Chicago

tembok berlin di stesen western brown line

Di stesen pengangkutan awam Western laluan Coklat yang terletak di kawasan kejiranan Lincoln Square yang bertradisikan Jerman, terletaknya segmen Tembok Berlin bersaiz 1.2 meter. Ia didirikan di stesen ini pada 19 Januari 2008.

Menurut CTA, segmen tembok itu telah diberikan kepada bandar Chicago oleh Dewan Senat dan Kota Berlin untuk dipamerkan sebagai peninggalan peringatan bagi penduduk Chicago dan orang awam.

7. Sungai Cheonggyecheon, Seoul

Sejak tahun 2005, tiga bahagian saki-baki Tembok Berlin telah didirikan di pinggir bandar Seoul berdekatan Sungai Cheonggyecheon. Ia adalah sebahagian daripada Dataran Berlin iaitu sebuah plaza terbuka yang dibina pada tahun 2005 dan dibiayai oleh Kota Berlin dengan harapan ia akan menjadi sebuah lokasi di mana penduduk Seoul akan berdoa atau mempertimbangkan penyatuan Semenanjung Korea.

tembok berlin di seoul korea selatan 2

Menurut Korea Times, lebar dinding di sini adalah berukuran 3 meter dengan lukisan grafiti memenuhi satu bahagian manakala sebelah lagi dibiarkan kosong. Kawasan tembok ini dihiasi dengan lampu gas tradisional ala Jerman dan juga tugu beruang biru yang merupakan simbol kebanggaan bandar Berlin.

6. Hilton Anatole, Dallas

tembok berlin hotel hilton di dallas

Dua segmen Tembok Berlin menjadi perhiasan utama bagi Hotel Hilton Anatole yang terletak di Dallas. Hotel yang mempunyai 1,606 bilik ini menempatkan lebih seribu koleksi kesenian di kesemua 27 tingkat hotel. Tembok bersaiz 1.2 meter yang terdapat di sini dilukis oleh artis Jerman terkenal bernama Jurgen Grosse pada tahun 1990. Ia dihadiahkan oleh salah seorang rakan kongsi dan pada mulanya ditempatkan di taman bunga. Pada tahun 2011, tembok 'seni' ini dipindah masuk ke kawasan Koridor Triniti di hotel tersebut.

5. Parque Europa, Madrid

Kawasan berkeluasan 233,000 meter persegi yang dinamakan Parque Europa di pinggir Madrid mempamerkan 17 replika mercu tanda dari seluruh Eropah dalam skala yang lebih kecil termasuklah sedikit bahagian asal Tembok Berlin. Serpihan Tembok Berlin ini diberikan oleh majlis perbandaran Torrejón de Ardoz iaitu wilayah di mana Parque Europa berada.

tembok berlin parque europa

Sebahagian besar bahagian bawah tembok telah rosak dan mendedahkan bahagian rod-rod keluli di dalamnya. Di belakang segmen tembok ini pula terdapat model kecil Pintu Masuk Brandenburg yang menjadi simbol bandar Berlin selama beratus tahun lamanya sebelum dihalang oleh kewujudan Tembok Berlin.

4. Wilshire Boulevard, Los Angeles

Segmen paling panjang daripada serpihan Tembok Berlin yang berada di Amerika Syarikat terletak berhadapan dengan Bangunan Variety di Wilshire Boulevard di Los Angeles. Struktur seberat 25 tan ini bersaiz 11.6 meter dan mempunyai 10 segmen.

Mural yang terdapat pada empat segmen di sini adalah hasil kerja asal dari era Tembok Berlin termasuklah lukisan beruang hijau oleh seorang seniman jalanan bernama Bimer. Karya lain yang agak baru dihasilkan oleh artis seperti RETNA dari Los Angeles dan Herakut dari Jerman.

tembok berlin segmen terpanjang di los angeles

Pada tahun 2009, segmen tembok ini didirikan oleh The Wende Museum, iaitu sebuah institut penyelidikan dan pendidikan yang memelihara artifak dan sejarah dari Perang Dingin dengan bantuan kerajaan Jerman serta majlis bandar raya Los Angeles dalam usaha menyempurnakan projek yang dinamakan "Projek Tembok".

Muzium terbabit telah membiayai projek itu untuk memperingati ulang tahun ke-20 kejatuhan Tembok Berlin dan menyambung legasinya sebagai sebuah kanvas seni konkrit dan ungkapan politik. Segmen tembok terpanjang ini dijumpai di bekas kawasan tembok berhampiran Kreuzberg di Berlin.

3. Schengen, Luxembourg

Perkampungan Schengen yang terletak di tenggara Luxembourg mempunyai tidak sampai 2,000 penduduk namun serpihan Tembok Berlin telah didirikan di sini untuk mengabadikannya sebagai satu cebisan dalam sejarah Eropah.

tembok berlin schengen

Perjanjian Schengen (yang kini mempunyai 26 negara anggota) ditandatangani di sini pada tahun 1985 untuk memberikan kebenaran kepada rakyat dari negara anggota untuk membuat perjalanan tanpa halangan di sempadan. Untuk memperingati ulang tahun ke-25 perjanjian itu, tembok ini dipindahkan ke sini bersama-sama hari pelancaran Muzium Eropah. Ia juga didirikan sebagai satu simbol sempadan yang sudah tidak lagi wujud.

2. Bangunan Kumpulan Perfil, Buenos Aires

tembok berlin di lobi pejabat berita di argentina

Sebahagian blok Tembok Berlin boleh dijumpai di ruang lobi Kumpulan Perfil iaitu sebuah syarikat berita Argentina yang berpangkalan di Buenos Aires. Pada tahun 1991, syarikat ini telah membeli dan memindahkan sebanyak 20 segmen tembok dari Jerman. Laman web syarikat menjelaskan yang pembelian itu dibuat untuk menandakan kepentingannya sebagai simbol kebebasan, sama seperti nilai syarikat berita itu sendiri yang mempraktikkan hak kebebasan.

1. Kasino Main Street Station, Las Vegas

Dalam senarai ini, mungkin lokasi ini agak aneh untuk menempatkan serpihan bersejarah seperti Tembok Berlin. Namun, Kasino Main Street Station di Las Vegas telah menyimpan segmen-segmen tembok ini selama 20 tahun di dalam tandas lelaki.

Tiga tempat kencing lelaki dipasang pada papak konrit tembok yang mempunyai lukisan grafiti. Setiap satunya berukuran sekitar 3 meter lebar dengan ketinggian 1.8 meter. Dinding ini kemudian dilindungi pula oleh lapisan kaca.

tembok berlin tandas lelaki kasino

Tiada siapa yang tahu bagaimana tembok ini boleh tiba dan dipasang di lokasi yang agak meragukan ini. Menurut Boyd Gaming Corporation yang memiliki Main Street Station, tembok itu sudahpun berada dalam tandas semasa syarikat ini membeli bangunan tersebut pada tahun 1990 daripada sebuah kasino lain yang telah diisytiharkan muflis sebelum dibuka.

Tembok Berlin ini merupakan salah satu tarikan popular di Main Street Station sehinggakan pihak pengurusan terpaksa mengubah suai ruang tandas itu beberapa tahun lalu untuk menampung bilangan pengunjung tandas yang luar biasa. Pengunjung wanita yang berminat untuk melihat tembok ini boleh memohon untuk ditemani oleh pengawal keselamatan dan boleh masuk ke tandas tersebut semasa tiada orang lelaki lain yang sedang 'sibuk dengan urusan mereka'.




Hakcipta iluminasi.com (2017)