sejarah tunnel 57 tembok berlin

Pada tahun 1963, sekumpulan pelajar (kira-kira 20 ke 25 orang) di Jerman Barat telah menggali terowong di bawah Tembok Berlin. Antara mereka adalah seorang pemuda bernama Joachim Neumann yang telah melarikan diri dari Jerman Timur beberapa tahun sebelumnya.

Ketika melarikan diri pada tahun 1961, dia menggunakan pasport yang dipinjam dari seorang pelajar Switzerland dan meninggalkan sebahagian besar keluarga dan rakannya termasuk kekasihnya yang lama, Christa Gruhle.

Sebilangan besar rakan-rakan yang bersetuju untuk mengorek terowong bawah tanah tersebut mempunyai niat yang sama yakni untuk bersatu kembali dengan orang yang disayangi. Mereka telah dipisahkan oleh penghalang Tembok Berlin sejauh 155 kilometer yang telah dibina.

proses menyiapkan terowong tunnel 57

Projek membina terowong rahsia ini mengambil masa beberapa bulan. Pembinaannya juga bukannya mudah memandangkan kesemua pelajar ini tidaklah mempunyai kepakaran dalam bidang pembinaan terowong bawah tanah. Malah, usaha secara rahsia ini juga telah gagal beberapa kali.

Percubaan membina terowong rahsia ini buat pertama kalinya gagal apabila terdapat seorang pengintip yang telah membocorkan maklumat kepada pihak Stasi, iaitu unit polis rahsia Jerman Timur. Akibatnya, beberapa orang telah ditahan termasuklah beberapa orang pelarian yang cuba melarikan diri melalui terowong tersebut.

Pembinaan "Tunnel 57"

lelaki muda turun masuk ke terowong gua

Kegagalan demi kegagalan tidak mematahkan semangat kumpulan pelajar ini. Mereka akhirnya berjaya menggali terowong baru yang mempunyai sebuah laluan masuk yang bermula daripada sebuah kedai bakeri terbiar  di bahagian Jerman Barat pada tahun 1964.

Terowong ini mempunyai kepanjangan sebuah padang bola sepak dan diberi gelaran "Tunnel 57". Mereka akan bekerja secara bergilir-gilir dengan 6 hingga 8 orang pada satu-satu masa bagi membolehkan sebahagian yang lain hadir ke sekolah bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu.

Pada mulanya, mereka mengorek terowong tersebut secara menegak (vertical) ke dalam tanah sebelum mengorek secara mendatar (horizontol). Pintu masuknya di kedai bakeri terbiar itu hanya muat untuk dimasuki oleh 1 orang pada satu-satu masa.

makcik gembira dapat rentas tembok berlin

Usaha mengoreknya juga bukanlah mudah kerana kekurangan bekalan oksigen di dalam terowong yang menjadikannya cukup berisiko untuk mati lemas kerana kekurangan oksigen. Untuk mengatasi masalah ini, mereka menyalurkan udara ke dalam terowong ini dengan menggunakan alat penyedut habuk (vacuum cleaner).

Secara keseluruhannya, proses mengorek terowong ini mengambil masa kira-kira 5 bulan sebelum ianya diteruskan pula dengan mengorek secara menegak ke atas di bahagian Jerman Timur. Kebetulan, pintu keluar yang dikorek itu berakhir di sebuah rumah kecil.

Talian hayat bagi penduduk Jerman 

infografik ringkas tunnel 57

Pada 3 Oktober 1964, kumpulan pelajar ini mula menghantar mesej atau arahan kepada rakan dan kenalan mereka di Jerman Timur mengenai lokasi dan masa mereka akan bertemu. Apabila kata laluan "Tokyo" diberikan, rakan atau kenalan di Jerman Timur ini akan dibawa ke satu lokasi rahsia yang menempatkan pintu terowong rahsia ini.

Maka bermulalah proses menyelamatkan atau menyeludup ahli keluarga atau kenalan ini melalui Tunnel 57 ini. Memandangkan terowong ini cukup sempit, maka seorang demi seorang akan melaluinya. Secara keseluruhannya, perjalanan melalui terowong rahsia ini akan mengambil masa sekitar 15 minit.

Konfrontasi dengan pihak polis

joachim neumann

Joachim Neumann bergambar di hadapan Memorial Tembok Berlin pada tahun 2019

Walaupun mengambil masa lebih 5 bulan untuk pembinaannya, jangka hayat terowong ini tidak lama - hanya 2 hari. Pengawal sempadan yang bertugas mulai curiga dan telah menghantar 2 orang polis yang menyamar dengan berpakaian biasa. Tidak lama kemudian, mereka telah menemui pintu masuk terowong ini.

Lebih ramai polis telah dipanggil untuk menyerbu terowong ini. Salah seorang pelajar ini, Reinhard Furrer yang melihat kedatangan polis-polis ini telah memberikan amaran kepada para penyelamat ini untuk melarikan diri. Untuk beberapa ketika, telah berlaku adegan tembak menembak antara pasukan penyelamat dan pasukan polis ini. 

tembok berlin 304

Terowong ini akhirnya dimusnahkan. Secara keseluruhannya, hanya 57 orang yang berjaya diseludup dari Jerman Timur. Disebabkan itulah, terowong ini telah digelar "Tunnel 57". Jumlah ini bersamaan kira-kira 20% daripada jumlah keseluruhan manusia yang berjaya diseludup melalui terowong bawah tanah sepanjang 30 tahun kewujudan Tembok Berlin.

Walaupun terdapat banyak risiko dalam usaha menyelamatkan ini, kisah "Tunnel 57" ini dianggap sebagai misi menyelamatkan paling berjaya sepanjang sejarah kewujudan Tembok Berlin.

Joachim Neumann yang berjaya menyelamatkan teman wanitanya di Jerman TImur akhirnya mengahwininya. Sementara itu, Reinhard Furrer pula menjadi angkasawan ketiga Jerman melalui misi roket Challenger pada tahun 1985.

Kredit:

  1. Smitsonian Magazine
  2. NY Times
  3. Wikipedia
  4. The Guardian


Hakcipta iluminasi.com (2017)