Apabila membaca mengenai sejarah Jerman, kita tidak dapat lari daripada binaan ikonik Tembok Berlin yang dikatakan menjadi pemisah konkrit antara Jerman Timur dan Jerman Barat semasa Perang Dunia Kedua.

Sekiranya anda berminat membaca sejarah mengenai pembinaan Tembok Berlin ini, kami di Iluminasi pernah menulis dengan panjang artikel yang bertajuk Sejarah Perpecahan Jerman Timur dan Jerman Barat disebabkan Pembinaan Tembok Berlin.

Sebenarnya, terdapat beberapa lagi fakta, sejarah atau kesan menarik daripada pembinaan Tembok Berlin ini. Kali ini, kami ingin berkongsi beberapa fakta menarik mengenai Tembok Berlin ini yang kami yakin tidak ramai tahu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Ianya Tidak Memisahkan Jerman Timur dan Jerman Barat

Tembok Berlin terkenal kerana menjadi tembok konkrit yang memisahkan Jerman Timur dan Jerman Barat. Walaubagaimanapun, fakta ini kurang tepat sebenarnya. Tembok Berlin sebenarnya hanya memisahkan Berlin kepada Berlin Timur dan Berlin Barat.

Terdapat sebuah lagi tembok yang dipanggil Innerdeutsche Grenze atau Inner German Border yang sebenarnya memisahkan Jerman kepada Jerman Timur dan Jerman Barat. Menariknya, tembok Innerdeutsche Grenze ini sebenarnya mempunyai kepanjangan 1300 km, iaitu kira-kira 8 kali ganda panjang Tembok Berlin.

2. Mempunyai 2 Lapisan

kawasan larangan tembok berlin

Ramai daripada kita mempercayai bahawa Tembok Berlin ini hanya mempunyai 1 lapisan sahaja. Walau bagaimanapun, tembok ini sebenarnya mempunyai 2 lapisan dibina selari antara satu sama lain dimana jarak antara keduanya adalah kira-kira 100 meter.

Lapisan pertama dibina pada tahun 1961 dan lapisan kedua dibina kira-kira setahun kemudian. Jarak antara kedua lapisan tembok ini adalah kawasan larangan dan sesiapa yang melintasinya akan ditembak mati. Mana-mana bangunan yang terletak antara kedua lapisan tembok ini juga dirobohkan agar memudahkan pasukan pengawal tembok mengesan sesiapa sahaja yang cuba menyeberangi tembok ini.

3. Terdapat sebuah geraja antara kedua lapisan Tembok Berlin

gereja di tembok berlin

Apabila kedua-dua lapisan Tembok Berlin siap, mana-mana bangunan yang terdapat antara keduanya dimusnahkan sama sekali termasuklah sebuah gereja. Pada awalnya, gereja ini merupakan satu-satunya bangunan yang terselamat dan terdapat kisah menarik mengapa bangunan ini tidak dirobohkan.

Apabila tembok ini dibina, kawasan gereja ini terletak betul-betul pada bahagian yang dikuasai Soviet Union manakala kebanyakan penganutnya tinggal di kawasan yang dikuasai Perancis. Maka, penganutnya kekangan untuk menunaikan ibadah di gereja tersebut. Walaupun terdapat pelbagai tentangan dan konflik untuk merobohkan gereja tersebut, ia akhirnya dirobohkan pada tahun 1985 atas alasan keselamatan.

4. Turut memisahkan laluan kereta api bawah tanah

stesyen kereta api berhantu 336

Walaupun Tembok Berlin dibina di atas tanah dan memisahkan kawasan daratan, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ianya turut memisahkan kawasan laluan kereta api bawah tanah atau subway. Masalah timbul apabila adakalanya, kereta api yang bergerak daripada satu kawasan ke satu kawasan di Jerman Timur terpaksa melintasi kawasan di Jerman Barat.

Apabila tembok ini dibina, kedua-dua pihak telah menghantar pengawal di persempadan untuk mengawal kawasan masing-masing bagi mengelakkan pengguna kereta api menyelinap ke sempadan melalui stesyen kereta api ini. Akibatnya, terdapat stesyen kereta api yang telah ditutup dan dikawal ketat. Dalam erti kata lain, kereta api tidak dibenarkan berhenti di stesyen tertentu dan stesyen tersebut dibiarkan sunyi sepi.

5. Sebahagian tembok ini baru sahaja ditemui di kawasan terpencil

saki baki tembok berlin

Bagi tembok yang panjang seperti Tembok Berlin, adalah mustahil untuk memelihara keseluruhan binaan tembok ini. Walaupun Tembok Berlin secara rasminya dirobohkan sekitar tahun 1989 - 1990, terdapat sebahagian tembok ini baru sahaja di temui di sebuah kawasan yang terpencil.

Seorang sejarawan bernama Christian Bormann baru sahaja mengumumkan pada awal tahun 2018 mengenai penemuan bahagian tembok ini sepanjang 80 meter di kawasan Schonholz yang terletak di pinggir bandar Berlin. Beliau mengatakan telah menemui tembok tersebut sekitar tahun 1989 lagi tetapi sengaja tidak mendedahkannya. Memandangkan keadaan tembok tersebut yang semakin usang dan mungkin roboh dalam bila-bila masa, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk mendedahkan bahagian saki baki Tembok Berlin itu.

Kredit:

  1. History.com
  2. The Washington Post
  3. WikiPedia
  4. Atlas Obscura
  5. CityLab



Hakcipta iluminasi.com (2017)