Anda pandu kereta jenama apa? Dan mengapa anda memilih kereta yang anda miliki sekarang? Setiap individu mempunyai citarasa dan kehendak sendiri dalam membeli kereta idaman.
Antara faktor-faktor pemilihan dalam membeli kereta termasuklah harga, jenama, kualiti, kos penyelenggaraan, kos bahan api dan juga harga jual semula. Di Malaysia, kebanyakan pembeli lebih cenderung untuk memilih kereta dengan harga mampu milik dan kos bahan api yang rendah.
BESARKAN TEKS A- A+
Buktinya anda boleh lihat sendiri di jalan kereta-kereta yang bernilai kurang daripada RM100,000 lebih banyak. iluminasi.com ingin berkongsi 10 jenama kereta yang paling laris di Malaysia.
Nota: Jumlah unit jualan adalah sehingga Ogos 2017.
10. Kia
Dengan jualan sebanyak 2,934 unit, jenama Kia berada di tangga ke-10 kereta pilihan rakyat Malaysia. Pengedar rasmi jenama dari Korea Selatan ini adalah Naza Kia Malaysia. Antara sebab Kia menjadi pilihan adalah rekabentuk yang sangat menarik, dan juga harga yang tidak terlalu mahal.
Model-model Kia yang popular di Malaysia termasuklah Rio, Sportage, Cerato, Optima, Sorento dan Picanto. Model Kia Rio hatchback generasi ketiga yang dikuasakan oleh enjin 1.4 MPI DOHC dengan D-CVVT baru sahaja dilancarkan pada Julai 2017, dengan harga RM79,888 tanpa insurans.
Menurut Pengarah Eksekutif, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George, sambutan daripada rakyat Malaysia semakin mengalakkan dan dibuktikan dengan peningkatan jualan sebanyak 14.4% berbanding tahun 2016.
9. Volkswagen
Sekali pandang, pasti jatuh hati dengan kereta keluaran Volkswagen. Jadi, tak hairanlah jika jenama yang berasal dari Jerman ini mampu berada dalam senarai ini. Sehingga kini jualan oleh Volkswagen mencecah 3,164 unit seluruh Malaysia, iaitu 1.12% daripada jumlah jualan kenderaan penumpang di Malaysia.
Walaupun harganya tidaklah begitu murah, namun masih menjadi pilihan. Ia adalah kerana kualiti dan gaya yang dibawa oleh kereta jenama ini sangat eksklusif. Volkswagen mempertaruhkan model-modelnya yang membuatkan ramai orang telan air liur seperti Passat, Polo dan juga Jetta.
Volkswagen juga merupakan pengeluar kereta paling laris di dunia bagi tahun 2017, mengalahkan Toyota.
8. Mazda
Berada di tangga ke-8 adalah jenama yang berasal dari Jepun, iaitu Mazda. Jenama ini merupakan antara jenama terawal yang berada di pasaran Malaysia, dan sudah sememangnya sudah menjadi serasi di Malaysia. Tak dapat disangkal lagi model yang dikeluarkan oleh Mazda sangatlah futuristik dan menarik.
Mazda juga terkenal dengan penggunaan bahan api yang jimat, di samping pengeluaran gas karbon dioksida yang sangat rendah yang mana bagus untuk persekitaran. Perkhidmatan selepas jualan juga merupakan satu fokus utama Mazda dalam mengekalkan prestasi jualan di masa hadapan.
Sebanyak 686 unit terjual dalam bula Julai sahaja menjadikan jualan sehingga ini adalah sebanyak 6,122 unit. Jualan bagi tahun 2016 melebihi 12,000 unit.
7. BMW
Antara jenama kereta yang sangat eksklusif dan mahal, tetapi masih banyak dilihat berada di atas jalan raya di sekitar Malaysia, adalah BMW. BMW mempunyai kelas tersendiri di mana pemiliknya sememangnya datang dari golongan kelas atasan.
Kos penyelenggaraan yang agak mahal membuatkan ia tidak kurang popular dalam kalangan golongan bawahan namun tidak membuatkan ia berada di tangga corot dari segi jualan. Model BMW paling murah setakat ini adalah BMW 118i Sport Hatchback dengan harga RM176,800 manakala model paling mahal tak lain tak bukan iaitu BMW i8 dengan harga RM1,188,800 seunit (termasuk GST).
Jualan BMW sehingga ini adalah sebanyak 6,631 unit dan bagi tahun 2016 pula, jualan keseluruhan mencecah 9,000 unit.
6. Mercedes Benz
Jenama terkemuka ini berada di tangga ke-6 dengan jualan sehingga kini mencecah 7,845 unit. Purata sebanyak 980 unit terjual setiap bulan. Jumlah jualan pada tahun lalu adalah 10,859 unit, bermakna Mercedes harus menjual sebanyak 3,014 unit lagi untuk baki 4 bulan tahun 2017.
Walaubagaimanapun, peratusan pasaran Mercedez di Malaysia hanyalah 1.8%, pada tahun lalu.
5. Nissan
Biasanya, jenama Jepun seperti Nissan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia kerana ia memberikan nilai kepada setiap wang yang dikeluarkan. Selain daripada harga yang berpatutan, Nissan adalah satu jenama yang sangat dipercayai oleh rakyat Malaysia.
Antara sebab utamanya adalah kerana Nissan sering menerima anugerah dan pengiktirafan, termasuklah AutoPacific’s Vehicle Satisfaction Awards, 2016 Best 2-Row SUV for Families” dan "2016 Best Cars for the Money".
Di Malaysia, model Nissan yang paling popular adalah Almera. Dengan harga yang berpatutan iaitu bermula dari RM68,5000 dan penggunaan bahan api yang efisyen iaitu 14.9 kilometer bagi setiap liter, ia dikatakan sebagai model yang sangat berbaloi untuk dimiliki. Jualan Nissan adalah sebanyak 14,060 unit, lebih daripada dua kali ganda jualan BMW.
4. Toyota
Mustahil bagi jenama ini jika tidak disenaraikan dalam senarai ini. Mengapa? Ia kerana Toyota adalah pengeluar kereta ke-2 terlaris di seluruh dunia pada tahun 2016, dan juga merupakan pengeluar paling laris di 49 buah negara di seluruh dunia.
Jumlah jualan Toyota adalah sebanyak 31,426 unit, merangkumi 9.1% daripada jualan keseluruhan di Malaysia. Toyota menjadi pilihan rakyat Malaysia adalah kerana kebolehpercayaannya, ketahanan dan juga nilai jualan semula yang tinggi.
Toyota Vios adalah model yang paling popular di Malaysia.
3. Proton
Proton, jenama keluaran Malaysia berada di tangga ke-3 senarai ini dengan jualan sebanyak 51,799 unit, 15% daripada jumlah jualan keseluruhan. Memang tak dinafikan Proton menjadi pilihan rakyat Malaysia disebabkan banyak faktor.
Dan faktor yang paling utama adalah harga yang murah, barang ganti yang mudah dicari dan juga pengunaan bahan api yang sangat efisyen. Proton menjadi pilihan tak mengira kelas dan peringkat umur. Model keluaran proton yang popular di Malaysia termasuklah Saga, Iriz dan Persona.
2. Honda
Honda adalah jenama kedua paling laris di Malaysia, dan jenama asing nombor satu pilihan rakyat Malaysia. Dan penulis pasti semua pembaca bersetuju dengan kenyataan ini, yang mana telah dibuktikan dengan jumlah unit jualan oleh Honda. Pada tahun 2016, jumlah jualan keseluruhan oleh Honda berada di tangga ke-2 iaitu sebanyak 91,830 unit.
Model-model keluaran Honda adalah satu kombinasi lengkap yang sangat dicari-cari oleh pengguna iaitu harga berpatutan dan juga nilai jualan semula yang tinggi, serta antara jenama dengan penggunaan bahan api terendah. Dan faktor yang paling membuatkan pembeli tidak fikir panjang, adalah rekabentuk yang tak pernah mengecewakan.
Honda Civic dan Honda City adalah model yang paling popular di Malaysia. Jualan Honda mencecah 70,836 unit, 20.5% daripada jumlah jualan kenderaan bukan komersial di Malaysia.
1. Perodua
Gambar kredit paultan.org
Dan seperti yang anda sudah jangkakan, jenama kenderaan yang berada di tangga pertama dengan jualan tertinggi, adalah jenama tempatan iaitu Perodua. Perodua sememangnya tidak dapat ditandingi oleh jenama lain lebih-lebih lagi oleh Proton.
Walaupun kedua-dua jenama Malaysia ini bersaing secara sihat, namun Perodua mempunyai kelas tersendiri berbanding Proton. Jumlah jualan sehingga Ogos 2017 adalah sebanyak 137,225 unit, hampir dua kali ganda jualan pencabar terdekat, Honda.
Model-model keluaran popular Perodua seperti Myvi dan Axia yang sangat berjaya dan menjadi pilihan, dilihat menenggelamkan model keluaran Proton. Antara bukti mudah yang anda boleh lihat adalah anda akan terjumpa dengan kedua-dua model ini ke mana sahaja anda pergi. Itu menunjukkan jenama Perodua sangat berjaya dalam pasaran Malaysia.
Perodua Myvi adalah model paling banyak di atas jalan di Malaysia, manakala Perodua Axia pula mendapat tempat disebabkan harga yang murah, rekabentuk yang menggiurkan serta penggunaan bahan minyak paling efisyen di Malaysia.
Jualan oleh Perodua pada tahun 2016 adalah sebanyak 207,110 unit iaitu 35.7% daripada jumlah jualan kenderaan di Malaysia.
Rujukan: