Meminjam atau mengambil istilah dari bahasa lain, adalah proses perkembangan bahasa semulajadi berlaku kepada semua bahasa.
Dengan berlakunya proses ini, pertambahan istilah dalam bentuk tulisan dan pertuturan, membolehkan sesebuah bahasa berkembang seiring dengan peralihan zaman.
Walaupun masyarakat kita penutur bahasa Melayu, terselit juga penggunaan istilah Latin dalam hidup kita, sama ada kita sedar atau tidak asal-usulnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda apakah istilah Latin yang kerap kita guna? Berikut adalah 10 contoh yang ada.
1. Et Cetera
Biasanya dipendekkan sebagai "etc.," frasa ini bermaksud "dan yang lain-lain" atau "dan selebihnya."
Ia berasal Latin, di mana "et" bermaksud "dan" dan "cetera" merujuk kepada sesuatu yang tertinggal, yang tidak ditentukan dalam senarai.
2. Per Capita
Terjemahan istilah Latin ini adalah kepada "setiap kepala," digunakan kita untuk menyatakan data statistik secara purata per individu.
Per capita sering digunakan dalam konteks ekonomi, dalam membincangkan metrik seperti pendapatan atau pengagihan sumber.
3. Ad Hoc
Bermaksud "untuk ini" dalam Bahasa Latin, "ad hoc" menggambarkan sesuatu yang dicipta atau dilakukan untuk tujuan tertentu
Kini istilah ini lebih kerap diguna merujuk kepada bentuk penyelesaian yang dicipta secara spontan atau sementara.
4. Vice Versa
Dalam bahasa Latin, istilah ini bermaksud "kedudukan yang terbalik," digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang bertentangan dengan suatu kenyataan.
Oleh kerana itu vice versa digunakan untuk menyatakan satu situasi yang boleh berlaku dalam dua-dua arah atau kemungkinan.
5. Status Quo
Status quo mempunyai makna "keadaan semasa, merujuk kepada keadaan situasi yang sedang berlangsung dalam konteks sosial, politik, atau undang-undang.
Orang yang ingin mengekalkan status quo menggambarkan keinginan untuk mengekalkan keadaan seperti apa yang sedang ada, tanpa mengubah apa-apa.
6. Pro Bono
Singkatan untuk "pro bono publico," yang bermaksud "untuk kebaikan awam," istilah ini menggambarkan kerja profesional yang dilakukan secara sukarela dan tanpa bayaran, kebiasaannya berkait dalam bidang undang-undang.
7. Alma Mater
Tidak ramai menyedari istilah ini membawa makna kepada "ibu yang menyusukan" kan?
Frasa ini asalnya merujuk kepada dewi-dewi pada zaman Rom, tetapi kini merujuk kepada sekolah, kolej atau universiti yang dihadiri seorang alumni, yang menjadi tempat dia diasuh dan dididik.
8. Alibi
Dalam Bahasa Latin, istilah ini bermaksud "ada di tempat lain."
Kerana itulah istilah ini popular sebagai bentuk suatu pembelaan undang-undang di mana seseorang yang dituduh melakukan jenayah, 'ada alibi' mendakwa berada di lokasi lain pada masa jenayah itu dilakukan.
9. Alter Ego
Popular kan istilah ini?
Maknanya adalah "aku yang lain" dalam Bahasa Latin, merujuk kepada diri kedua atau personaliti alternatif.
Alter egi juga boleh diguna sebagai saty watak rekaan yang mewakili pandangan penulis atau persona yang diambil oleh seseorang untuk meluahkan aspek yang berbeza dalam personalitinya.
10. Alias
Bermaksud "pada masa yang lain" atau "sebaliknya" dalam Bahasa Latin, alias ialah istilah yang merujuk kepada identiti yang dicipta, untuk menyembunyikan identiti asal eseorang.
Dalam penggunaan formal, alias juga diguna sebagai nama palsu seperti nama pena atau nama pentas.