Oleh pada 13 Aug 2019 kategori

Kredit foto: Instagram @faridkamilz & Instagram @sparkmalaysianclub

    

Pelakon dan sutradara Datuk Farid Kamil menafikan dakwaan dikeluarkan Zul Huzaimy kononnya dia menolak penglibatan pelakon tambahan daripada Kelab Spark Malaysia untuk menyertai filem Remp-It 2.

Malah, Farid berkata, dia mempunyai bukti dan rekod bahawa Zulhuzaimy yang sebenarnya enggan ahli kelab berkenaan terlibat dalam filem terbabit.

“Tuduhan yang dilemparkan ke atas saya sangat melampau. Saya tidak mengetepikan ahli Spark tetapi Zulhuzaimy yang menolak mereka.

“Dalam pertemuan bersama Zulhuzaimy di pejabat penaja baru-baru ini, saya cadangkan bawa ahli Spark tetapi Zulhuzaimy tidak terima. Dia cakap jangan kaitkan mereka dalam filem ini dan biar dia sahaja berlakon,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Zulhuzaimy mendakwa penarikan dirinya daripada Remp-It 2 kerana Farid mengetepikan pembabitan pelakon tambahan di kalangan ahli kelab Spark.

Mengulas tentang skrip filem, Farid berkata, ia merupakan sekuel filem pertama Rempit pada tahun 2006, arahan Ahmad Idham.

     

remp it 2 600

Kredit foto: Instagram @faridkamilz

    

“Saya penulis asal dan berjaya mendapatkan hakcipta daripada David Teo. Kami bersama-sama berlakon dalam Rempit dan sepatutnya menjayakan Remp-It 2,” katanya.

Tambahnya, dia kemudian mendapatkan peluang untuk memperoleh tajaan daripada FKX Film Sdn Bhd selepas membuat permohonan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS).

“Saya tidak tahu kenapa timbul isu pemilikan bagi filem baru. Selaku pengarah, saya mendapati skrip tidak bersesuaian dengan filem aksi berdurasi 95 minit.

“Oleh itu, ia memerlukan jalan cerita baru dan beberapa pelakon lama ketika filem pertama dihasilkan 13 tahun lalu,” katanya.

Farid juga mendedahkan usahanya dalam membawa semula nama Zulhuzaimy ke dunia perfileman dengan bayaran yang lumayan walaupun tidak dipersetujui syarikat produksi.

“Sebenarnya saya cuba mengembalikan semula Zulhuzaimy ke layar perak biarpun ditentang pihak produksi. Sepatutnya dia tidak menguar-uarkan masalah dalaman ini dan menerima tawaran yang diberi,” katanya.

Dalam pada itu, Farid juga menafikan kononnya tidak mengenang budi dan kos mahkamahnya ditanggung oleh dana ahli kelab.

“Saya sendiri membiayai kos mahkamah dan hanya keluarga saya yang dibenarkan datang ke balai polis,” katanya.

   

Sumber berita: Harian Metro

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)