Oleh pada 13 Jan 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Norsiah Ramli

Ibu Datin Diana Danielle, Norsiah Ramli mengaku timbul salah faham apabila ada yang beranggapan dia melarang Datuk Farid Kamil daripada bertemu anak-anak.

Norsiah menjelaskan, dia tidak sesekali menghalang Farid berjumpa Muhammad, 4, dan Nur Aurora, 2, yang tinggal di rumahnya ketika aktor itu dan Diana keluar bekerja.

"Saya sedih apabila keluar kenyataan mendakwa Farid merindui anak-anaknya. Kenyataan itu seolah-olah saya menjadi penghalang Farid bertemu anaknya sehingga menyebabkan dia tertekan," katanya.

Tambahnya, dia hanya memegang peranan menjaga kedua cucunya itu dan tidak mengambil tahu hal ehwal rumah tangga Farid dan Diana.

"Tiada sebab untuk saya berbuat demikian kerana mereka adalah darah dagingnya. Saya hanya memegang amanah menjaga cucu dan tidak pernah mencampuri urusan peribadi Farid serta Diana," katanya

Menurutnya lagi, pasangan suami isteri berkenaan hanya tinggal di tingkat atas kediamannya di kondominium yang sama. Justeru mereka bebas untuk melawat dan mendapatkan anak mereka pada bila-bila masa.

"Saya juga sering berulang-alik ke rumah mereka mengambil barang cucu. Ada juga saya bertemu Farid di rumahnya," kata Norsiah yang turut memberitahu dia terkejut dengan dakwaan Farid tertekan kerana kononnya tidak berpeluang berjumpa anak.

Ditanya tentang penahanan Farid, Norsiah enggan masuk campur dan meletakkan urusan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan. Saya tidak mahu mencampuri urusan mereka," katanya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)