Kredit foto: Instagram Farid Kamil & Instagram Norsiah Ramli
Ibu mertua Datuk Farid Kamil, Norsiah Ramli mengaku tidak mengetahui punca sebenar menantunya membuat laporan polis pada petang Rabu.
Menurutnya, dia terkejut dengan laporan sebuah portal berita yang mendakwa Farid membuat laporan polis berkaitan isu perkahwinannya bersama isteri yang juga anak beliau, Datin Diana Danielle.
"Saya baru tahu dan terkejut. Sumpah saya tak tahu apa-apa," katanya kepada Mstar Online dalam aplikasi Whatsapp.
Portal itu melaporkan kenyataan seorang sumber yang mendakwa, Farid, 37, memohon untuk membenarkan adiknya, Anis Anwar Zahari masuk ke kediaman di Casa Tropicana, Damansara bagi tujuan mengambil barang peribadinya di sana.
Menerusi laporan polis itu, Farid didakwa memaklumkan kedua-dua anaknya iaitu Muhammad dan Aurora sedang berada dalam jagaan beliau pada malam laporan dibuat.
Sementara itu, Norsiah enggan mengulas tentang isu rumah tangga Farid dan Diana.
Terdahulu, Farid menerusi laman sosial Instagram memaklumkan akan membela nasib orang teraniaya, walaupun tidak menyatakan secara jelas maksud sebenar kenyataannya.
Rakan selebriti serta peminat memberikan tanda sokongan dengan menekan butang 'tanda suka' dan melaungkan kata-kata semangat di ruangan komen.
Kiriman itu disertakan sekeping foto memperlihatkannya memegang dokumen yang kelihatan seperti kertas laporan polis di hadapan Balai Polis Mutiara Damansara.
Sumber berita: Mstar