Oleh pada 13 Aug 2019 kategori

Kredit foto: Instagram @sparkmalaysianclub & Instagram @faridkamilz

     

Pelakon dan pengarah Zulhuzaimy menjelaskan tindakannya menarik diri daripada 'Remp-It 2' kerana Datuk Farid Kamil ingin menghasilkan filem sendiri.

Menurut Zulhuzaimy atau nama sebenarnya, Zul Huzaimy Marzuki, 41, Farid juga enggan mengambil pelakon tambahan membabitkan ribuan ahli Kelab Spark Malaysia walhal ia sudah dipersetujui lebih awal.

“Saya sangat kecewa dengan Farid. Dulu kami bersama-sama, tetapi kini dia mahu bergerak sendiri

“Berdasarkan perjanjian, Farid mendapatkan tajaan berjumlah RM3 juta manakala saya menguruskan skrip filem. Perjanjian turut menyatakan keuntungan Remp-It 2 akan dimasukkan ke akaun kelab untuk kebajikan ahli,” katanya kepada portal Harian Metro.

Tambahnya, selepas kes mahkamah Farid berakhir, aktor itu beralih arah mahu menghasilkan filem sendiri dengan judul 'Lagenda Budak Motor Cup Prix'.

    

remp it 2

Kredit foto: Instagram @sparkmalaysianclub

    

“Saya ada menerima jemputan Farid sebagai pelakon dalam filem arahannya. Bayaran yang ditawarkan memang lumayan tetapi jika bersetuju, saya menafikan hak ahli yang bersusah payah dengan filem asal,” katanya.

Justeru, Zulhuzaimy berkata, dia mengambil pendirian menolak tawaran terbabit kerana skrip Remp-It 2 tidak lagi berkisar tentang aktiviti permotoran.

Zulhuzaimy akui kecewa apatah lagi mengenangkan ahli kelab Spark yang mengumpul dana puluhan ribu ringgit demi membantu Farid di mahkamah.

“Tindakan dia menutup periuk nasi ribuan ahli kelab termasuk 15 pelakon,” katanya.

Remp-It 2 dibintangi Dayana Roza, Cat Farish, Achey, Mamat Raja Lawak, Kazar Saisi, Jaa Sazuran, Arin Raja Lawak, Azlan Komeng, Amai Kamaruddin, termasuk penampilan khas Aiman Tino dan Black Hanifah.

Mengikut perancangan asal, filem yang dijadualkan tayangannya pada Mac hadapan itu sepatutnya menjalani penggambaran pada bulan lalu di Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor.

Zulhuzaimy akui ralat kerana telah melancarkan teaser termasuk mengadakan majlis pelancaran pada Mei lalu, malah sudah diwar-warkan di laman sosial.

Beliau menegaskan, tidak mungkin akan meninggalkan kelab itu yang mengamalkan prinsip hidup susah senang bersama.

    

Sumber berita: Harian Metro

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)