Oleh pada 19 Feb 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Badang

Selepas tiga hari tayangan di pawagam, filem adiwira Badang teruk dihentam netizen yang rata-ratanya tidak menggemari teraju utamanya, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Pengarah filem berkenaan, Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen menganggap filem itu dikecam hanya kerana sesetengah peminat tidak sukakan karakter Aliff secara peribadi. 

"Ramai yang mengutuk sebenarnya belum menonton filem itu, dan membuat komen berdasarkan andaian saja.

"Ada juga hanya disebabkan kurang suka perwatakan sebenar Aliff," katanya.

Mengenai kritikan yang mengatakan filem itu tidak berkualiti, Razak menjelaskan Badang merupakan sebuah filem yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak.

filem badang lakonan aliff syukri dihentam ini respon razak mohaideen 1

Kredit foto: Instagram Aliff Syukri

"Oleh itu, jalan cerita Badang tidak boleh berat dan perlu mengandungi elemen disukai kanak-kanak.

"Apabila menyaksikan filem itu, cuba letak diri (anda) sebagai kanak-kanak," katanya.

Dalam pada itu, Razak menepis dakwaan segelintir pihak yang mendakwa kononnya Aliff melaburkan wang untuk filem terbitan FiTA Studios dan UiTM Holdings itu.

"Ada orang ingat Aliff bayar kami untuk buat filem itu. Sebaliknya, pihak kami yang membayar dia untuk berlakon," katanya.

Sementara itu, Razak akui akur dengan lumrah penghasilan filem yang sentiasa mendapat kritikan sesetengah pihak.

“Biasalah apabila menghasilkan filem bukan semua boleh terima dan pasti ada macam-macam perkara timbul," katanya.

Badang antara lain dibintangi Fasha Sandha, Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi dan Azhari Zain.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)