narendra modi islam muslim kesan buruk

Pertukaran tampuk kerajaan di sesetengah negara akan memberikan kesan yang sangat besar pada masyarakatnya. Perubahan demi perubahan yang berlaku, sama ada memang dirancang atau tidak dirancang terjadi, pasti akan memberikan sedikit sebanyak impak kepada sistem sosial masyarakat khasnya.

Perdana Menteri India, Narendra Modi adalah seorang yang dipandang tinggi masyarakat India. Ketokohan beliau dalam memimpin, selain daripada keupayaan menjadi seorang orator yang handal - berjaya membuatkan majoriti rakyat India terpukau, memberikan majoriti besar pada parti yang diwakili beliau iaitu parti BJP.

Walau demikian, Modi kerap dikritik membawa agenda politik peribadi serta berpegang kepada ideologi nasionalis berlatar belakangkan agama Hindu. Masyarakat Islam di India yang mewakili kaum minoriti terbesar sejak lagi mula sudah menyuarakan kebimbangan terhadap nasib mereka, seandainya Modi naik menjadi Perdana Menteri. 

Adakah kebimbangan mereka berasas? Mari kita lihat lima perubahan yang telah berlaku ke atas masyarakat Muslim India selepas hampir 5 tahun berada di bawah pemerintahan Nahendra Modi.

1. Mengiktiraf gerakan Qardiani di India sebagai ajaran Islam

narendra modi di israel

Dalam satu kunjungan kerajaan India ke Tel Aviv, Israel pada Julai 2017, rombongan Narendra Modi disambut oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden kepada Komuniti Muslim Ahmadiya di Israel. Dalam pertemuan singkat itu, komuniti Ahmadiya Israel mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India kerana mula secara terbuka mengiktiraf kedudukan ajaran tersebut sebagai sebahagian daripada Islam.

Berbeza dengan negara jiran seperti Pakistan dan Malaysia yang tidak mengiktiraf gerakan tersebut, India dan Israel secara rasmi menamakan ajaran Qardiani ini sebagai salah satu cabang Islam. Tindakan kerajaan India pimpinannya mengiktiraf gerakan ini mendapat tentangan masyarakat Islam di India namun tidak banyak yang dapat mereka lakukan.

2. Menjadikan 'talak tiga segera' sebagai satu jenayah

orang india berarak sepanduk

Pada September 2018, kerajaan India meluluskan perintah eksekutif bagi mengharamkan golongan suami Muslim daripada menceraikan isteri mereka terus talak tiga. Pada awalnya semasa draf undang-undang ini dimulakan, banyak pihak mengkritik langkah ini kerana dirasakan hanya satu cara untuk kerajaan India di bawah Narendra Modi memperolehi sokongan golongan wanita khasnya wanita Muslim.

Pengkritik turut merasakan tindakan ini sengaja diambil sebagai salah satu cara baru memberi tekanan pada masyarakat Muslim India, kerana kerajaan India dilihat terlalu terburu-buru memperkenalkan larangan ini,. Cadangan untuk memperkenalkan hukuman kepada golongan suami yang dengan sengaja meninggalkan isteri tidak dihiraukan.

Bagi penyokong keputusan ini pula, perkara ini dilihat sebagai satu langkah melindungi wanita daripada terus menjadi janda dengan segera, tanpa ada pilihan lain. Pesalah boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun dan didenda tanpa peluang ikat jamin. (rujukan)

3. Membiarkan 'Cow Vigilante'

cow vigilante india

Golongan radikal Hindu di India semakin berani mengambil tindakan yang lebih ekstrim dalam menyuarakan pendapat mereka. Salah satu golongan yang paling terkesan akibat kebangkitan golongan pelampau Hindu ini adalah penternak-penternak lembu beragama Islam di India.

Walaupun sudah terlalu banyak kes-kes sabotaj serta penganiayaan terhadap individu Muslim yang didapati menternak, menyembelih dan memakan daging lembu berlaku, kerajaan India dilihat tidak bertindak untuk melindungi fenomena buruk yang dilabelkan sebagai 'cow vigilante' ini di negara mereka.

Banyak pihak mengkritik langkah berdiam diri kerajaan sebagai satu bentuk persetujuan terhadap langkah kekerasan yang dilakukan, dengan kritikan paling pedas menyifatkan kerajaan India lebih menyayangi nyawa seekor lembu berbanding nyawa seorang Muslim. (rujukan)

4. Menarik balik subsidi haji untuk masyarakat Muslim

jemaah haji india

Pada bulan Januari 2018, Menteri Hal Ehwal Masyarakat Minoriti mereka, Abbas Naqvi mengumumkan kerajaan India akan memansuhkan subsidi jemaah haji secara berperingkat yang selama ini diberikan. Hujahnya, tindakan ini akan membantu meningkatkan daya saing kelompok minoriti India agar tidak terlalu bergantung dengan kerajaan.

Wang yang berjaya dijimatkan itu menurut kerajaan India, akan digunakan bagi tujuan mempertingkatkan lagi usaha kebajikan di kalangan ahli masyarakat, khasnya golongan kurang berkemampuan. Kerajaan India juga mula membenarkan wanita-wanita Muslim India untuk menunaikan ibadah haji tanpa perlu ditemani seorang lelaki mahram beliau seperti syarat lama, asalkan dia ditemani sekurang-kurangnya 3 wanita lain dalam kumpulan empat orang.

Alasan penarikan subsidi ini dikatakan berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi India pada 2012 (sebelum Modi memegang kuasa), yang memutuskan subsidi itu bersifat tidak adil pada penganut agama lain. Bagaimanapun pengkritik mempersoalkan mengapa tiada pemotongan peruntukan subsidi pada aktiviti-aktiviti penganut agama lain dilakukan. Agama Hindu terus menjadi penerima terbesar peruntukan setiap tahun.

5. Jenayah anti Muslim yang semakin berleluasa

insden gujarat 2002

Kami sudah melaporkan tentang kes rogol dan bunuh seorang kanak-kanak Muslim yang dilakukan oleh ekstrimis Hindu. Kami akui semasa menyelidik dan menulis artikel tersebut, perasaan penulis sangat tidak tenteram. Walaupun begitu, apa yang berlaku selepas kejadian itu jelas menunjukkan wujud satu fenomena yang boleh menjadi masalah besar pada keharmonian India, sekiranya dibiarkan begitu saja.

Kumpulan persatuan peguam yang rata-ratanya beragama Hindu cuba untuk menghalang siasatan kes tersebut daripada dilakukan. Hujah mereka siasatan yang dijalankan cuba memainkan sentimen 'anti Hindu', bertujuan untuk memburukkan imej masyarakat Hindu di India. Apa yang lebih membimbangkan, barisan peguam ini bertindak menuduh komuniti Muslim keluarga kanak-kanak tersebut sebagai dalang perbuatan jahat itu, bagi memburukkan imej penganut Hindu.

Kes-kes penentangan berkait agama seperti ini bukannya berlaku sekali dua, malahan dapat dilihat wujud pola yang konsisten usaha kerajaan India cuba melindungi masyarakat Hindu India daripada dakwaan, dengan meletakkan masyarakat minoriti Muslim di sana sebagai mangsa.

Dalam satu kes insiden lain melibatkan ahli politik, mahkamah tinggi India telahpun membebaskan seorang pemimpin senior parti BJP yang dijatuhkan hukuman penjara 28 tahun pada 2012, ekoran penglibatan beliau dalam insiden rusuhan agama antara penganut Hindu dan Islam di Gujarat tahun 2002. Ketika itu, Narendra Modi adalah Ketua Menteri Gujarat dan beliau dituduh sebagai dalang utama insiden tersebut. Namun, selepas Narendra Modi memegang tampuk pemerintahan, mahkamah telah menyemak semula keputusan yang telah dibuat dan mendapati wujud sebab untuk ahli politik tersebut dibebaskan daripada tuduhan pada April 2018.

Begitulah hebatnya pengaruh Narendra Modi pada negara India dan masyarakat Muslim di sana. (rujukan)


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)