Isu Tabung Haji tidak dapat dielak, akan menjadi isu hangat kerana statusnya yang menguruskan perihal simpanan masyarakat Muslim di Malaysia.

Tidak dapat dinafikan wujud dakwaan yang menyalahkan pihak kerajaan seolah-olah tidak reti menjaga 'adab' dalam menguruskan masalah Tabung Haji, sehingga menyebabkan terlalu banyak spekulasi ditimbulkan.

Hari ini kami kongsikan pandangan perunding kewangan yang agak ternama juga, saudara Afyan Mat Rawi yang sudi menyumbangkan hasil tulisannya untuk kami terbitkan - berkenaan isu Tabung Haji. Amaran! Tulisan beliau sedikit politikal.

BESARKAN TEKS     A-  A+


tabung haji

Banyak persepsi yang berlegar di luar sana berkaitan dengan Tabung Haji atau TH.

Ia bermula daripada pendedahan oleh Menteri Agama tentang kerugian Tabung Haji tahun lepas. Bermula dengan laporan audit oleh PwC, disusuli pengambil alihan pengurusan TH di bawah pemantauan Bank Negara Malaysia, pengambil alihan aset TH oleh SPV dan akhir sekali CEO yang menguruskan SPV ini adalah non-Muslim.

Tabung Haji mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi kepada umat Islam di Malaysia. Ia wujud lebih awal daripada bank-bank Islam di Malaysia. Sekian lama ia memberi banyak sumbangan dalam pelaksanaan rukun Islam ke-5 iaitu menunaikan ibadat haji.

Apabila muncul isu-isu berkaitan dengan TH, umat Islam hendak tak hendak, akan jadi sangat sensitif sehingga ada segelintir yang terkeliru antara fakta dan auta - mana realiti, yang mana hanya persepsi.

Persepsi yang disebar tanpa semakan

berbisik bisik

Persepsi ini sangat mudah untuk disebarkan.

Semacam aktiviti "telefon buruk" sekiranya anda biasa menyertai kem motivasi, apabila A sampaikan satu berita kepada B, kemudian B sampaikan berita C, kemudian C pula kepada D dan begitulah seterusnya, hingga kepada Z, berita yang Z terima jauh berbeza daripada apa yang A ceritakan. Terpesong jauh!

Apa yang sedang dilakukan ke atas TH dan harus dipuji, ialah penambahbaikan sudut pengurusan korporat atau "corporate governance." Sekiranya masyarakat dapat kekal melihat apa yang cuba dilakukan TH ketika ini, jelas sekali isunya sangat lurus. Straight forward habislah.

Namun dalam situasi di mana kerajaan ketika ini dilihat seakan-akan gagal menyeimbangkan kepentingan kaum, mainan persepsi akan timbul menutupi segala usaha penyelamatan korporat yang sedang berlaku.

Kita tidaklah boleh menuding jari kepada parti politik menjadi penyemai api persepsi yang sangat marak ini, kerana percayalah - masyarakat kita khasnya orang Melayu sebenarnya sangat bijak menilai persepsi dan realiti, kalau dipersembahkan dengan betul.

Malangnya...

Kenapa banyak benda merepek berlaku?

mujahid menteri agama

Saya terpaksa berterus-terang menulis dengan menjelaskan pandangan saya - persepsi yang semakin buruk situasinya ini besar sekali beban kesilapannya perlu ditanggung oleh Menteri Agama sendiri iaitu Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Sejak mula dilantik menjadi menteri, menggalas harapan besar banyak langkahnya agak sumbang - menyebabkan perkara-perkara baik yang sedang diusahakan gagal mengawal persepsi orang ramai terhadap setiap tindak tanduk beliau.

Sebagai Menteri Agama yang baru bagi Malaysia, anda masih ingat lagi apakah isu pertama yang berlegar-legar dengan figura tokoh yang terkenal, mewarisi ilmu dan sikap ayahnya?

Isu transgender dan berkongsi tandas dengan wanita.

Disusuli isu tiada lagi tangkapan khalwat. Datang pula isu ICERD menerkam beliau tanpa simpati. Tiba-tiba beliau mengumumkan tindakan kerajaan menghalang Doktor Zakir Naik berceramah, kerana tidak sesuai untuk Malaysia.

mujahid nisha ayub transgender

Dr. Mujahid pada pandangan saya tidak mempunyai ketegasan yang diperlukan dalam menguruskan persepsi negatif terhadap beliau, yang timbul akibat insiden rusuhan kuil yang meragut nyawa seorang anggota bomba yang bertugas.

Kerajian beliau memuatnaik status di media sosial juga seolah membuka pekung sendiri. Kesalahan tafsir ayat al-Quran cuba diperbetulkan namun segala-galanya sudah terlambat. Persepsi buruk sudah menular.

Kemudian sesuatu yang tidak disangka-sangka akan dilakukan seorang berstatus Menteri Agama berlaku. Beliau mengarangkan surat kepada salah seorang ahli Parlimen Malaysia yang berstatus janda, membahasakan dirinya kekanda dan individu wanita itu adinda.

Surat itu pula dikongsikan secara peribadi untuk tatapan dan bacaan jutaan rakyat Malaysia yang seakan tidak percaya itu benar-benar tulisan Menteri Agama.

Professionalisme sebagai menteri harus dipersoalkan

tabung haji dividen 1 25

Jadi kini, selepas mengharungi bermacam jenis kutukan dan cacian yang majoritinya, maaflah - dicipta sendiri oleh Yang Berhormat Menteri, kita tiba pada isu Tabung Haji.

Perlukah seorang ahli Parlimen, berjawatan Menteri dan memegang portfolio yang sangat rapat dengan masyarakat - menimbulkan sebegini banyak kontroversi?

Terlalu banyak kenyataan-kenyataan Menteri Agama kepada orang awam dibuat dengan cara dan kaedah yang menimbulkan keresahan kepada rakyat. Dalam politik, salah langkah memang padah. Hasilnya, agak malu untuk saya menulis bahawa Menteri Agama menjadi bahan untuk buli-siber dan 'troll' kerana semuanya adalah akumulasi persepsi negatif hampir setahun yang telah disaksi sendiri masyarakat kita.

Menteri Agama dilihat pada hemat saya, terlalu mudah dibuai emosi. Mungkin juga akibat tekanan. Tetapi YB, kami yang di luar ini melihat dan menilai setiap kata, tindak tanduk dan tingkah laku YB.

Sangat mengecewakan soalan dalam Parlimen oleh MP Pendang berkenaan pertanyaan siapakah CEO yang menguruskan SPV Tabing Haji, boleh pula Menteri jawab; “Tapi bukan Pendang-lah”?

Viral video tersebut di internet, menampakkan tahap professionalisme pemimpin kerajaan kita.

Silalah berhenti cipta meme untuk kami

afyan mat rawi

Yang berhormat Menteri; ingin saya berpesan - kontroversi yang tidak wajar dan tidak sesuai untuk seseorang yang berjawatan setinggi Menteri adalah kontroversi yang wujud bukan kerana dasar dan isu utama yang di bawah bidang kuasanya.

Saya mendoakan agar YB Menteri dapat lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau mengambil sebarang tindakan. Rakyat Malaysia tidak bodoh seperti yang disangka serta tidaklah semudah itu dipengaruhi pihak pembangkang.

Tetapi bila seorang Menteri Agama secara berseloroh membenarkan transgender masuk ke tandas wanita, kita tak boleh lagi menyalahkan pembangkang bila rakyat mula mengkritik. Lagipun saya pasti, tidak ada MP pembangkang yang menggodam akaun Facebook YB Menteri untuk mengutus surat dari langit Cordoba kepada seorang wanita lain dan dikongsikan untuk semua, secara terbuka.

Sehingga ke hari ini - saya akan tergelak kecil mengingati bait-bait ayat yang terpapar sehingga berlinangan air mata saya. Tolong YB Menteri. Tolong buat kami percaya anda adalah orang yang betul mampu menguruskan Tabung Haji. Cukuplah surat, sindiran, sarkastika, kutukan dan gelaran.

Mula kawal persepsi. Insya Allah akan datanglah kembali kepercayaan masyarakat pada YB.


Afyan Mat Rawi adalah seorang perunding kewangan yang beroperasi bersama kumpulannya Infaq Consultancy.

Beliau aktif menyumbangkan idea dan pengetahuan di media sosial. Ikuti perkongsian beliau melalui akaun Facebook beliau, pasti tak rugi. Klik sini Facebook Afyan Mat Rawi




Hakcipta iluminasi.com (2017)