Oleh pada 21 Apr 2021 kategori

Kisah kehidupan wanita bernama Yoshiko Kawashima ini seumpama sebuah filem. Dia yang dilahirkan sebagai seorang puteri China pada awal abad ke-20 telah dihantar ke Jepun setelah kejatuhan Dinasti Qing.

yoshiko kawashima

Dia dibesarkan sebagai seorang perisik dan sanggup menyamar sebagai seorang lelaki demi mengembalikan kegemilangan keluarganya. Bagi Jepun, Kawashima adalah seorang pahlawan yang penuh inspirasi tetapi bagi China pula, dia adalah pengkhianat terbesar.

Ini adalah kisah benar Yoshiko Kawashima.

Lahir dalam empayar yang hampir lenyap

Dia dilahirkan sebagai Aisin Gioro Xianyu pada tahun 1907 dan merupakan salah seorang anak kepada Putera Shanqi berketurunan Manchu dari Dinasti Qing. 

Keluarganya mula berkuasa sejak abad ke-17 selepas mengalahkan Dinasti Ming. Selama 200 tahun, Dinasti Qing memerintah sebuah negara yang makmur tetapi ketika Xianyu dilahirkan, cengkaman kuasa mereka semakin lemah.

Pada tahun 1911, satu revolusi yang dipimpin oleh Sun Yat-Sen telah menggulingkan Dinasti Qing dan tertubuhnya Republik China. Akibat kejatuhan ini, Xianyu dihantar untuk tinggal bersama rakan ayahnya, Naniwa Kawashima, di Jepun.

yoshiko bersama keluarga angkatnya

Yoshiko bersama keluarga angkatnya

Xianyu kemudian tiba di rumah besar Naniwa di Tokyo dan telah diberi nama baharu sebagai Yoshiko Kawashima.

Mengagumi Joan of Arc

Puteri dalam buangan itu bukanlah seorang yang konvensional. Dia menunggang kuda ke sekolah, memotong rambut pendek dan berpakaian seperti lelaki. Ini merupakan kejutan kepada budaya Jepun yang sopan. Mungkin juga, Kawashima ingin menyembunyikan identiti sebenarnya daripada musuh-musuh ayahnya.

Kawashima ingin menjadi seperti idolanya, Joan of Arc, seorang wanita berpewatakan lelaki yang pernah memimpin pasukan perang di Perancis pada abad ke-15. 

Puteri itu juga pernah memberitahu rakan sekelasnya bahawa jika dia mempunyai 3,000 orang tentera, dia akan menawan semula China. Bapa angkatnya juga memberi dorongan agar Kawashima kembali ke China untuk mengembalikan kekuasaan keluarganya.

Ketika semakin meningkat remaja, Kawashima mula terlibat dalam hubungan dengan beberapa orang lelaki dan menjadi perhatian media. Bapa angkatnya memutuskan untuk mengahwinkan Kawashima dengan seorang putera Mongolia bernama Ganjuurjab. 

perkahwinan yoshiko

Perkahwinan Yoshiko dan Ganjuurjab

Walaupun bergelar seorang isteri, Kawashima enggan dikekang oleh perkahwinan. Dia mula terlibat dalam kehidupan malam di Tokyo sebelum berhijrah ke Shanghai.

Menjelang tahun 1931, puteri berusia 24 tahun itu hilang arah tanpa hubungan, keluarga dan wang. Dia sering dilihat berpeleseran di dewan tarian, bar atau kasino. Ketika inilah dia dihubungi pihak tentera Jepun.

Puteri China menjadi perisik Jepun

Sebenarnya, sudah lama tentera Jepun memandang wilayah Manchuria yang terletak bersebelahan Korea sebagai hak milik sah Empayar Jepun.

Pada tahun 1931, tentera Jepun menanam bom di landasan kereta api di luar kota Shenyang dan menuduh pemberontak sebagai alasan untuk mereka menyerang seluruh timur laut China.

Apabila Jepun sudah menguasai Manchuria, mereka memerlukan alasan kukuh untuk menjadikannya kelihatan sah. Ketika inilah mereka memerlukan Kawashima.

yoshiko menyertai tentera

Keberanian, semangat serta pertalian Kawashima dengan Mongolia dan Manchuria menjadi ciri-ciri utama dia direkrut sebagai perisik Jepun. Dia mula bekerja dengan tentera Jepun dan diletakkan di bawah pimpinan Jederal Kenji Doihaira.

Kawashima berjaya meyakinkan Maharaja Puyi dari Dinasti Qing (Maharaja terakhir China) yang digulingkan untuk menjadi pemerintah Manchukuo. Dengan ini, Kawashima mencapai matlamatnya untuk mengembalikan Dinasti Qing kepada tampuk kekuasaan.

Manchukuo : Negeri boneka Jepun

Menurut seorang pegawai Jepun bernama Ryukichi Tanaka yang mempunyai hubungan sulit dengan Kawashima, puteri itu kemudian mula menimbulkan kerusuhan di Shanghai.

Pada tahun 1932, Kawashima membayar beberapa penduduk untuk memulakan rusuhan dan pergaduhan ganas. Taktik kotor ini memberikan lebih alasan kepada Jepun untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Shanghai.

Pada masa sama, Kawashima mula memimpin tentera kecil yang terdiri daripada beberapa ribu pasukan berkuda untuk menindas pejuang kebebasan China.

yoshiko menyertai tentera 2

Pegawai tinggi Jepun ingin menggunakan Kawashima sebagai tokoh masyarakat. Pada tahun 1933, sebuah novel popular bertajuk The Beauty in Men's Clothing yang mengisarkan kisah Kawashima diterbitkan. Novel itu lebih mensensasikan kisah hidup Kawashima daripada menceritakan hal yang sebenar.

Apabila puteri itu kembali ke Jepun, dia menjadi perhatian dan dijemput untuk diwawancara rancangan radio serta merakam album untuk lagu rakyat Mogolia.

Pengakhiran Yoshiko Kawashima

Menjelang 1940, watak romantis puteri Manchu yang menunggang kuda itu sudah semakin dilupakan. Tentera Jepun sudah muak dengan Kawashima yang terlalu terkenal untuk menjadi perisik dan terlalu lantang bersuara untuk menyimpan rahsia.

Ketika itu, Kawashima ketagih dengan morfin dan candu di samping menderita penyakit sifilis. Dia malah melakukan peras ugut terhadap warga China yang kaya sebelum dikenakan tahanan rumah.

yoshiko kawashima spy

Pada suatu hari, Jenderal Hayao Tada yang dikatakan pernah menjadi kekasihnya telah membantu memindahkan puteri itu untuk menjalani tahanan rumah di Jepun. Dia kemudian berpindah ke Beijing (ketika ini di bawah kawalan Jepun) dan tinggal di sana sehingga akhir Perang Dunia II.

Kawashima semakin kesunyian dan wangnya dihabiskan untuk tabiat dadahnya serta mendapatkan perlindungan tentera melalui rasuah.

Pada bulan Ogos 1945, pasukan Soviet menyerang Manchukuo dan menangkap Puyi serta mengakhiri rejim Jepun di sana. Dua bulan kemudian pada 10 Oktober 1945, China merebut semula Beijing. Keesokan harinya, pegawai polis menangkap Yoshiko Kawashima.

Dituduh sebagai pengkhianat bangsa, Kawashima diadili dalam perbicaraan yang menjadi tontonan umum. Apabila hakim tidak menemui bukti kukuh, mereka menggunakan novel yang ditulis mengenai puteri itu.

Kawashima mendakwa bahawa kisahnya di dalam novel itu banyak ditokok tambah dan ia akan menyebabkannya terbunuh. Dakwaannya benar kerana rakyat awam China yang telah ditindas Jepun sejak sekian lama menuntut dia dijatuhkan hukuman mati.

Pada 25 Mac 1948, Yoshiko Kawashima dibawa ke halaman penjara yang dipenuhi salji dan wanita itu ditembak di bahagian belakang kepala. Berakhirlah hidup puteri dalam buangan itu tetapi kisah dan reputasinya terus hidup sehingga hari ini.

Rujukan:

1. Dari puteri China kepada perisik Jepun

2. Mata Hari dari Timur

3. Yoshiko Kawashima - Permata dari Timur



Hakcipta iluminasi.com (2017)