Untuk berbulan-bulan, Jepun telah mengejutkan dunia dengan melaporkan kes jangkitan novel coronavirus yang tersangat rendah tanpa mengenakan langkah-langkah ketat seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain.

Dan setelah negara ini mengisytiharkan darurat disebabkan oleh peningkatan kes yang mendadak, para pakar perubatan tertanya-tanya sama ada langkah ini tepat pada masanya untuk mengelakkan malapetaka atau adakah ia sudah terlambat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe ketika mengumumkan bahawa pengisytiharaan darurat itu akan dilaksanakan di pusat-pusat penduduk terbesar di Jepun untuk tempoh beberapa bulan dan memberikan gambaran yang optimsitik,

Dengan mengarahkan rakyatnya untuk mengurangkan kontak manusia dengan manusia, Shinzo Abe berkata bahawa perkembangan jangkitan boleh menurun dalam tempoh dua minggu.

Akan tetapi, sesetengah pakar mengatakan bahawa pengisytiharaan darurat oleh Jepun ini merupakan satu pengakuan secara senyap bahawa pendekatan yang diambil mereka untuk beberapa bulan yang lalu tidak lagi berfungsi selepas kes positiv COVID-19 di Jepun mencecah 3,906 kes iaitu dua kali ganda daripada seminggu sebelumnya. 

jepun isytiharkan darurat covid 19

Menurut Kenji Shibuya, pengarah Institut Kesihatan Populasi di King's College London, Jepun telah tersilap langkah dan kes-kes yang disahkan itu adalah petanda kepada bahana yang bakal mendatang.

Beliau juga berkata bahawa peningkatan pesakit boleh menyebabkan sistem penjagaan kesihatan Tokyo tersungkur.

Walaupun Jepun kini melakukan langkah yang lebih meluas untuk melawan virus ini, namun langkah darurat ini sendiri mempunyai hadnya.

Pengisytiharaan ini sebahagian besarnya akan bergantung kepada pematuhan sukarela oleh rakyat Jepun dan Shinzo Abe menegaskan bahawa ia bukanlah perintah berkurung serta perkhidmatan pengangkutan awam akan diteruskan.

Gabenor-gabenor wilayah hanya boleh meminta orang ramai untuk bekerja dari rumah dan elakkan daripada keluar rumah. 

Sehari sebelum itu, Shinzo Abe mengumumkan bahawa negara itu akan meningkatkan kapasiti ujian novel coronavirus kepada 20,000 sehari.

Namun minggu lepas, jumlah ujian yang dilakukan masih belum mencecah separuh daripada kapasiti 7,500 ujian yang boleh dilakukan negara itu.

Pakar-pakar yang menjadi penasihat kerajaan Jepun ketika ini tidak pasti sama ada Jepun yang masih belum melaporkan peningkatan kes yang sangat mendadak seperti dilihat di Itali dan Amerika Syarikat, berada di tahap krisis.

bandar osaka yang kini sunyi sepi akibat covid 19

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Twitter, Hitoshi Oshitani yang merupakan seorang profesor virologi di Universiti Tohoku dan penasihat kerajaan, menulis bahawa risiko jangkitan adalah sangat rendah jika orang ramai terus hidup seperti biasa, kecuali mereka pergi ke "kawasan panas".

Lokas-lokasi hotspot ini ditakrifkan oleh kerajaan Jepun sebagai "ruang tertutup di mana orang ramai bertemu dengan jarak yang sangat dekat".

Di Tokyo yang merupakan bandar terbesar di dunia dalam pelbagai aspek, peningkatan kes adalah 2 kali ganda dalam tempoh 5 hari kepada lebih daripada 1,000 kes.

Dan yang terbaru, beberapa penasihat kerajaan memberi amaran tentang fasa baru yang sangat berbahaya.

Hiroshi Nishiura, profesor epidemiologi di Universiti Hokkaido di utara Jepun dan ahli panel pakar yang memberi nasihat kepada kerajaan Jepun, berkata bahawa kemungkinan Tokyo telah memasuki tempoh peningkatan yang sangat mendadak.

"Adalah sangat penting untuk melaksanakan sekatan yang lebih ketat untuk keluar rumah, berbanding dengan hanya memberitahu orang ramai untuk mengawal diri sendiri," kata Profesor Nishiura.

Parti pemerintah Jepun berkata bahawa perlembagaan harus dipinda, namun ia perlu dibahaskan.

covid 19 di jepun 2

Undang-undang yang digubal bulan lalu di mana Shinzo Abe mengisytiharkan darurat tidak memberinya kuasa kepada beliau untuk mengeluarkan perintah tinggal di rumah atau memaksa perniagaan ditutup, seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain yang dilanda COVID-19.

Shinzo Abe boleh mengarahkan gabenor-gabenor wilayah di seluruh Jepun untuk menutup sekolah dan meminta pemilik bangunan bagi menyumbangkan kemudahan untuk kegunaan perubatan, tetapi pihak berkuasa tidak boleh mengambil tindakan menghukum terhadap sesiapa yang tidak menghiraukan cadangan untuk tinggal dan bekerja dari rumah.

Mikiko Eto, pengetua Rumah Asuhan Kanak-Kanak Hatto di Tokyo, berkata beliau berharap ibu bapa akan mematuhi arahan yang dikeluarkan. Sehingga minggu lepas, sebahagian daripada 150 kanak-kanak yang biasanya hadir, masih dihantar ke ke rumah asuhan tersebut setiap pagi.

Walaupun pemeriksaan suhu harian dan pembasmian kuman terhadap permainan serta meja kerap dilakukan, kakitangan rumah asuhan tersebut bimbang dijangkiti virus coronavirus.

"Ramai ibu bapa datang dan pergi, membuatkan kami berasa sangat tertekan dan bimbang," kata Mikiko Eto. 

Ketika kes-kes yang disahkan di Tokyo semakin memuncak, Mikiko menghantar e-mel kepada para ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak mereka dan hampir sepertiga daripadanya tidak hadir.

sekolah di jepun ketika covid 19

Shinzo Abe juga berkata bahawa pusat asuhan kanak-kanak tidak dipaksa tutup kerana sesetengah ibu bapa masih memerlukannya untuk menjaga anak-anak mereka.

Keadaan darurat tersebut meliputi tujuh wilayah yang melibatkan sekitar 56.1 juta orang, iaitu 44.2% daripada 127 juta penduduk Jepun.

Di seluruh Tokyo dan bandar-bandar besar lainnya, termasuk Kobe, Osaka dan Yokohama, rakyat dan perniagaan perlu memutuskan bagaimana untuk bertindak balas terhadap perisytiharan tersebut.

Sehingga kini, pegawai-pegawai perubatan di Jepun telah meyakinkan orang ramai bahawa mereka dapat mengawal virus tersebut dengan menutup sekolah, mendesak pembatalan sukan dan acara kebudayaan yang besar, dan memberi amaran kepada orang ramai untuk mengelakkan daripada berkumpu di dalam ruang tertutup yang tidak mempunyai pengudaraan seperti di bar karaoke atau kelab malam. 

Berbeza dengan negara-negara lain, seperti Jerman dan Korea Selatan yang berhasil mengawal virus ini, Jepun mengambil pendekatan untuk tidak melakukan ujian secara meluas.

Sehingga minggu lalu, pegawai kesihatan awam berpendapat bahawa peraturan yang memerlukan pesakit  diahkan positif untuk kemasukan ke hospital mempunyai risiko membanjiri sistem penjagaan kesihatan mereka dengan pesakit bergejala ringan.

bandar besar di jepun darurat

Oleh itu, kerajaan telah mengubah peraturan berkenaan dan Shinzso Abe memberitahu bahawa mereka telah memperoleh 10,000 bilik hotel di Tokyo dan 3,000 di wilayah Kansai, termasuk Osaka, di mana pesakit yang mengalami gejala ringan dapat sembuh.

Kira-kira 800 pesakit juga boleh tinggal di Perkampungan Olimpik di Tokyo.

Di dalam dan sekitar ibu kota, sekumpulan jangkitan mula muncul di mana terdapat wabak yang dikaitkan dengan beberapa hospital Tokyo.

Ini termasuklah pusat universiti di mana 18 penduduk dijangkiti selepas menghadiri majlis makan malam, dan satu lagi di wilayah timur Tokyo di mana sekurang-kurangnya 146 telah dijangkiti dan 16 telah meninggal dunia.

Untuk dua hujung minggu berturut-turut, Gabenor Tokyo iaitu Yuriko Koike telah meminta penduduk untuk tinggal di rumah kecuali untuk membeli barangan penting.

Beliau telah menggalakkan orang ramai untuk bekerja dari rumah dan elak daripada keluar pada waktu petang pada hari biasa.

Orang ramai semakin kurang di lokas-lokasi panas pada waktu malam dan kawasan membeli-belah, tetapi mereka yang berulang alik ke tempat kerja agak berkeras.

Menurut satu tinjauan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, hanya lebih dari satu perlapan responden berkata mereka telah bekerja dari rumah sebagai langkah pencegahan terhadap coronavirus.

orang ramai di jepun masih bersesak menaiki pengangkutan awam

Dan dengan Jepun yang merekodkan jumlah kematian agak rendah iaitu sebanyak 143 kematian (sehingga 14 April 2020), sesetengah rakyat Jepun berkata bahawa mereka tidak melihat keperluan untuk mengelakkan kontak dengan orang lain.

"Jika kereta-kereta api yang penuh dengan orang ramai adalah satu masalah, saya rasa kita sudah dapat melihat kisah-kisah mengerikan di Jepun," kata Takuji Okubo, pengarah Asia Utara bagi Rangkaian Korporat Ekonomi.

Takuji Okubo yang mengatakan menyatakan kebimbangannya adalah lebih kepada potensi kerosakan ekonomi juga berkata bahawa dia melihat risiko jangkitan yang rendah dalam aktiviti membeli-belah di kedai-kedai atau makan di restoran.

Sesetengah pakar berasa sangat bimbang kerana kerajaan Jepun tidak begitu memberikan tumpuan terhadap amaran mereka tentang ke mana jangkitan boleh merebak.

Kebanyakan kes terbaru tidak dapat dikesan dengan sumber jangkitan tertentu, yang bermaksud pegawai kesihatan awam tidak tahu apa keadaan yang membawa kepada jangkitan tersebut.

Dengan kes-kes yang tidak dapat dikesan semaking meningkat, ia mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan bahawa kapasiti hospital Jepun boleh runtuh.

Menurut Persatuan Perubatan Penjagaan Rapi Jepun, negara ini mempunyai 5 katil penjagaan intensif bagi setiap 100,000 orang, berbanding dengan 30 di Jerman dan 12 di Itali.

"Bagi kebanyakan negara, persoalannya bukanlah "adakah mereka dapat mengelak daripada masalah ini?", tetapi "bilakah masalah ini akan muncul?". Dan Jepun juga tidak terlepas," kata Dr. Keiji Fukuda, pengarah Kolej Kesihatan Awam di Universiti Hong Kong

Dan walaupun kebanyakan rakyat Jepun memakai penutup muka di tempat awam, namun peningkatan kes COVID-19 di Tokyo baru-baru ini mencadangkan bahawa tindakan menutup muka tidak memberikan perlindungan sepenuhnya.

Rujukan:

1. NY Times

2. Guardian

3. CNN




Hakcipta iluminasi.com (2017)