william armstrong

Hampir sedekad sebelum Thomas Edison memulakan kajiannya pada lampu pijar dan cara untuk menerangi dunia dengan lebih baik, terdapat satu rumah di bandar Rothbury di Northumberland, England, yang sudah diterangi cahaya lampu elektrik.

Pada waktu itu, belum ada grid elektrik yang disediakan oleh kerajaan untuk digunakan. Sekiranya anda memerlukan tenaga elektrik, anda perlulah menghasilkannya sendiri.

Pada masa itu juga, kebanyakan orang tidak mempunyai pengetahuan tentang teknologi ini atau keperluan untuk menyalakan rumah mereka dengan lampu elektrik. Walaupun ada yang tahu atau memerlukannya, mereka mungkin tidak mempunyai wang yang cukup untuk menjadikannya satu kenyataan.

cragside

Cragside. Credit : whatsonnortheast

Namun tidak bagi William Armstrong. Dia adalah seorang pencipta dan usahawan berjaya yang kaya. Armstrong bersama arkitek Richard Norman Shaw telah membina Cragside, sebuah rumah yang menyerupai gaya era Tudor di lereng bukit kecil di Rothbury.

Beliau kemudian melengkapi rumah itu dengan pelbagai ciptaan terbaru dan unik seperti mesin basuh menggunakan tenaga air, mesin basuh pinggan mangkuk versi awal, lif hidraulik, pembakar roti hidroelektrik dan lif kecil untuk membawa barangan dari tingkat ke tingkat.

Untuk menggunakan semua mesin ini, Armstrong telah menghasilkan beberapa anak sungai kecil di kawasan itu untuk mencipta lima takungan air. Pada salah satu takungan itu, dia memasang enjin hidraulik yang akan menggerakkan kebanyakan mesin hidraulik dalam rumahnya.

cragside 2

Setahun kemudian pada tahun 1870, Armstrong memasang dinamo dan sekaligus mewujudkan loji hidroelektrik domestik pertama di dunia. Elektrik yang terhasil daripada loji ini digunakan untuk membekalkan kuasa pada Cragside dan beberapa lagi bangunan di ladang berdekatan.

Bilik pertama yang diterangi cahaya lampu elektrik ialah bilik galeri Cragside. Hanya satu lampu arka yang digantung pada siling. Kemudian, seluruh rumah telah dipasangkan pendawaian untuk kuasa elektrik.

Pada suatu masa, terdapat 12 lampu gantung di kawasan galeri sahaja. Selain itu, terdapat lapan lagi lampu tambahan yang boleh dibuka apabila lampu di ruang makan tidak diperlukan.

lelaki pertama yang ada eletrik di rumah

Salah satu penjana elektrik Cragside

William Armstrong terus memperkembang dan menaik taraf loji jana kuasanya agar dapat membekalkan berlipat kali ganda lebih elektrik. Sayangnya setelah kematian Armstrong, rumah itu menjadi terbengkalai.

Setelah hampir satu abad diabaikan, sumber asal kuasa di rumah itu dipulihkan semula pada tahun 2006. Penambahbaikan seterusnya ialah pada tahun 2014 apabila kapasiti penjana dinaikkan kepada 12 kW, cukup untuk menyalakan semua 350 lampu mentol di rumah itu.

Minat Armstrong dengan air bermula sejak dia masih muda lagi. Suatu hari ketika dia memancing di Sungai Dee yang terletak di Dentdale, Pennines, buat pertama kalinya dia melihat kincir angin sedang berfungsi dan membekalkan kuasa kepada kuari batu marmar berhampiran.

william armstrong 2 344

Dia menyedari bahawa hanya sebahagian kecil daripada kuasa air yang digunakan untuk memacu roda, membuatkannya berfikir betapa hebatnya daya air jika tenaganya dapat tertumpu dalam satu ruangan.

Apabila kembali ke Newcastle, Armstrong membangunkan sebuah enjin ang berputar menggunakan kuasa air. Enjin itu dihasilkan untuk rakannya, Henry Watson dalan kerja pembinaan High Bridge.

Sedikit demi sedikit Armstrong membangunkan pula enjin piston (pam) bagi menggantikan enjin berputar sebelum ini. Dia kemudian memasang enjin itu dan ia merupakan kren hidraulik yang pertama di dunia.

kren hidraulik

Armstrong kemudian menjadi pengusaha kren hidraulik yang berjaya. Dia menerima banyak tempahan dari Edinburgh, Landasan Kereta Api Utara, Perlabuhan Liverpool dan jambatan terangkat di Grimsby.

Secara purata, syarikat Armstrong mengeluarkan beratus-ratus kren dalam setahun. Semasa Perang Krimea, Armstrong telah mencipta satu meriam ringan, mudah dibawa, mempunyai jarak tembakan yang jauh dan lebih tepat berbanding mana-mana pesaingnya.

meriam buatan william armstrong

Dia kemudian menyerahkan paten meriamnya itu kepada kerajaan British, di mana dia telah dilantik sebagai seorang panglima dan jurutera kepada Jabatan Perang Britain.

Pada tahun 1880-an, syarikatnya telah berkembang dalam bidang pembinaan kapal pula. Bangunan pembinaan kapalnya terbentang sejauh tiga suku batu di sepanjang Tyneside. Kilangnya merupakan satu-satunya kilang di dunia yang mampu membina kapal perang, siap dengan kelengkapan penuh.

Ketika Armstrong semakin tua, dia mula menghabiskan lebih banyak masa untuk hobinya yang tiada kena mengena dengan rekaan dan elektrik iaitu menanam pokok. Dia telah menanam lebih daripada tujuh juta pokok dan belukar di sekitar estetnya, sekaligus mengubah iklim di sudut Northumberland ini.

kilang kapal william armstrong

Kilang kapal William

Selepas kematian Lord William Armstrong pada tahun 1900, kekayaan keluarga itu hilang begitu sahaja dan rumahnya terbiar begitu sahaja. Pada tahun 1940, Cragside telah diambil alih oleh Angkatan Tentera dan digunakan sebagai sebahagian daripada usaha perang.

Apabila pihak tentera meninggalkan Cragside, rumah itu diambil alih dan menjadi hak milik kerajaan dan negara. Rumah itu dibuka semula untuk lawatan awam buat pertama kalinya pada tahun 1979.

Rujukan :

1. Victorian Web

2. The Guardian

3. National Trust



Hakcipta iluminasi.com (2017)