Satu ketika dahulu berus gigi elektrik mempunyai harga yang sangat tinggi, sehingga mampu mencecah ratusan ringgit (masih) - namun kemasukan banyak jenama baru ke pasaran negara kita mula menurunkan kos produk tersebut.
Kini sudah hampir setahun penulis memberanikan diri bertukar menggunakan berus gigi elektrik, selepas lama membaca untuk memahami faedahnya. Pengalaman penulis setakat ini baik-baik semuanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa penulis merasakan anda patut cuba menggunakan berus gigi elektrik? Berikut adalah lima sebab utama kenapa anda patut bertukar kepadanya. Harus diingatkan, ini hanyalah pandangan penulis dan bukan nasihat seorang pakar perubatan.
1. Teknologi yang semakin murah dan mudah
Keinginan untuk memiliki berus gigi elektrik memang telah lama disimpan, namun apabila melihat kos untuk memilikinya satu masa dulu agak tinggi - menyebabkan penulis sering membatalkan niat.
Jika dibandingkan dengan berus gigi biasa, berus khas untuk berus elektrik mempunyai harga yang agak menakutkan disebabkan oleh rekaannya yang khas. Sekarang, berus gigi elektrik sangat mudah diperolehi. Batangnya saja boleh dimiliki pada harga bawah RM30 dan berusnya pula belasan ringgit untuk 3 ke 4 kepala.
Selain itu semakin banyak pengeluar sudah mula menggunakan bateri terbina dalam yang boleh dicas semula, menggunakan kabel USB sahaja. Tak perlu lagi kita beli pek bateri AA untuk menggantikan bateri yang semakin lemah.
2. Mempunyai pemasa terbina
Salah satu faedah paling penting pada penulis semenjak menggunakan berus elektrik - penulis kini tahu dah berapa lama penulis memberus.
Saranan doktor perubatan agar kita memberus gigi sekurang-kurangnya 2 minit sukar untuk diikuti, sekiranya kita menggunakan berus biasa. Dengan berus elektrik, terdapat 'timer' terbina dalamnya yang akan bermula sebaik saja kita menghidupkannya.
Setiap 30 saat, berus akan berhenti sejenak bagi menandakan pertukaran zon berusan sehinggalah cukup masa 2 minit. Dulu-dulu, nak berus 2 minit tu susah. Kadang-kadang berus 15 saat je, kadang-kadang sampai 5 minit pun ada.
3. Mengurangkan masalah gusi berdarah
Anda ada masalah gusi berdarah? Sesetengah berus elektrik mempunyai sensor yang mampu mengesan tekanan kepada kepala berus, akan terhenti sekiranya kekuatannya melebihi tekanan sepatutnya.
Secara tak langsung, penggunaan berus elektrik akan melatih diri kita untuk tahu setakat mana kita perlu memberikan tekanan pada gigi dan gusi semasa memberus, mengurangkan masalah gusi berdarah.
Ramai sebenarnya mengalami masalah ini tanpa menyedarinya. Jika ludahan anda ada kesan merah darah setiap kali anda memberus, itu besar kemungkinan tandanya anda memberus terlalu kuat atau mungkin juga menunjukkan anda ada masalah gusi yang lain.
4. Gigi memang lebih bersih
Secara saintifik, berus gigi tak kiralah apa jenis sekalipun mampu memberikan hasil permbersihan yang serupa - tetapi berus gigi elektrik mampu membersihkan dengan lebih mudah, tak kiralah berus jenis getaran atau putaran.
Perbezaan ini dapat anda rasai khasnya di bahagian-bahagian yang sukar dicapai oleh berus biasa, disebabkan oleh kesukaran kita untuk mendapatkan sudut berusan yang sempurna.
Gigi penulis juga semakin bersih sekarang, berbeza dengan dulu yang agak kekuning-kuningan disebabkan tabiat minum teh tarik setiap hari. Doktor gigi penulis sendiri mengakui perubahan tersebut, menyenangkan kerja dia setiap kali temujanji.
5. Membuatkan berus gigi jadi seronok
Satu perubahan utama yang paling penulis rasai selepas menggunakan berus gigi elektrik ni, adalah bagaimana memberus gigi setiap hari tidak lagi jadi sesuatu yang renyah untuk dilakukan.
Dulu penulis cukup tak gemar nak memberus gigi bila bangun tidur dan sebelum tidur. Dengan menukar berus gigi saja, penulis pula yang rajin berus gigi kadang-kadang setiap kali lepas makan penulis akan berus gigi.
Membuatkan aktiviti memberus gigi sebagai sesuatu yang tenang, seronok dan menggembirakan merupakan perubahan paling besar yang penulis secara peribadi, rasai sendiri.
Jika selama ini anda adalah salah seorang yang rasa berat nak gosok gigi, dapatkan satu berus elektrik murah sebagai percubaan terlebih dahulu. Tengok apa kesannya. Sekiranya suami atau isteri anda malas gosok gigi, cuba belikan dia berus gigi elektrik.
Mana tahu dia akan berubah dan anda tidak lagi perlu menahan rasa gundah.