orang sasak wetu telu indonesia2

Pengaruh adat dan tradisi dalam aspek kehidupan seharian kuat dipegang masyarakat yang tinggal di kawasan nusantara seperti kita di Malaysia, Filipina, Indonesia dan Brunei; kukuh mengamalkan adat resam tinggalan nenek moyang kita.

Dalam masa yang sama, pengaruh pegangan spiritualiti diwarisi generasi ke generasi walaupun jelas tidak seiring tuntutan agama khasnya Islam, turut terus diamal segelintir kelompok; walaupun Islam sudah berkembang lama di rantau ini.

Bagi kelompok minoriti orang Sasak yang tinggal di Pulau Lombok, kepercayaan yang dikenali sebagai 'Wetu Telu' terus diamalkan; mencampur elemrn Islam dengan budaya setempat - menghasilkan masyarakat yang percaya mereka Muslim tetapi 'lain' daripada kebiasaaan.

Siapakah orang Sasak di Lombok?

wanita lombok sasak

Membentuk kumpulan majoriti hampir 85% populasi di Pulau Lombo, orang Sasak merupakan penduduk asal Lombok yang kuat berpegang dengan ajaran dan cara hidup lama nenek moyang mereka.

Disebabkan faktor bentuk muka bumi berkepulauan dan bergunung-ganang, orang Sasak menjadikan aktiviti pertanian dan perikanan sebagai sumber pendapatan utama. Kaki Gunung Rinjani berketinggian 3,726 meter menjadi lokasi utama kawasan pertanian.

Orang Sasak serta komuniti lain di Lombok hidup dalam sistem dinamakan sebagai 'kanoman', merujuk kepada komuniti berbentuk desa diketuai individu yang digelarkan 'keliang'; bertindak sebagai ketua kampung.

Ahli agama Islam berstatus kiyai memainkan peranan besar dalam membantu menasihati urusan pentadbiran yang dijalankan Keliang khasnya dalam aspek agama dan kemasyarakatan. Kita akan bincangkan peranan kiyai dengan lebih mendalam sekejap lagi.

Orang Sasak boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan yang dibezakan daripada  aspek agama - kumpulan paling ramai adalah masyarakat Muslim yang berpegang kepada aliran digelar 'Lima Waktu', sama seperti kepercayaan masyarakat Muslim lain aliran Sunni.

Kelompok kedua pula adalah populasi yang masih tinggal di kawasan terpencil khasnya di kawasan-kawasan pergunungan, kekal mengamalkan ajaran anutan agama hasil gabungan Hindu dan Buddha yang telah tiba lebih awal sebelum Islam.

Kelompok terakhir merangkumi kumpulan kecil orang Muslim yang berpegang kuat dengan kepercayaan dinamakan Wetu Telu; gabungan ajaran Islam sebagai asas diri seseorang dengan unsur-unsur spiritual nenek moyang mereka.

'Watu Telu' bermakna 'waktu tiga' atau 'Tiga Waktu', kekal mengamalkan kepercayaan bahawa Muslim seperti mereka hanya wajib solat fardu sebanyak 3 kali sehari.

Asal-usul kepercayaan Wetu Telu

masyarakat watu telu indonesia lombok

Dari segi akademik, tidak ada fakta jelas bagaimana kepercayaan Wetu Telu boleh terbentuk.

Pendapat paling umum menyebut kehadiran pendakwah Islam dari tanah Jawa beratus tahun dahulu, telah memperkenalkan ajaran Islam yang kuat elemen mistiknya. Lama kelamaan ajaran itu yang telah sedia terpesong, berakar umbi hingga sukar untuk diubah semula.

Satu pendapat berbeza yang menyebut kegagalan proses dakwah untuk berlaku dengan lebih lengkap, menjadi punca segelintir orang Sasak gagal menerima Islam dengan sempurna.

Walaupun memeluk Islam, ekoran kelompongan dalam kefahaman yang ada menyebabkan mereka kembali kepada kepercayaan asal nenek moyang mereka - yang akhirnya diasimilasikan dengan apa yang sempat mereka pelajari tentang Islam.

Kisah legenda yang memulakan amalan solat 3 waktu

jama ah lebaran adat

Pendapat popular serta agak diluar konteks sejarah, berkait dengan legenda dua orang pendakwah Islam adik beradik lelaki bernama Nurcahya dan Nursada hadir ke Lombok atas tujuan berdakwah.

Kedua-duanya mengasaskan aliran Islam yang berbeza di mana Nurcahya si abang mengajar pengikutnya solat lima waktu, sementara pengikut adiknya pula hanya perlu bersolat 3 kali sehari bagi memudahkan penerimaan masyarakat setempat.

Selepas wabak penayakit melanda menyerang komuniti di bawah pimpinan Nurcahya, abangnya melawat adiknya untuk mendapatkan pandangan. Setibanya di sana, dia melihat komuniti Muslim dipimpin adiknya hidup dalam keadaan tenang dan makmur walaupun komuniti lain berdepan musim wabak.

Kedua-duanya saling berbincang, sehinggalah mereka sampai kepada keputusan bahawa punca semuanya adalah disebabkan amalan solat lima waktu yang diamalkan pengikut abangnya. Pengikut Nurcahya mengubah amalan mereka hanya mengerjakan solat 3 waktu.

Situasi mula beransur pulih, memperkuatkan lagi pandangan bahawa apa yang berlaku terjadi disebabkan perubahan yang telah dilakukan.

Atas sebab itulah sehingga ke hari ini, masyarakat Lombok terpecah dua; ada yang kekal dengan aliran Lima Waktu sementara ada yang berpegang dengan kisah ini meneruskan amalan Wetu Telu, didorong kepercayaan solat 3 kali sehari memelihara Pulau Lombok dari ancaman wabak serta akan terus dilimpahi rezeki.

Tenet asas kepercayaan Wetu Telu

adat tradisi perayaan watu telu

Amalan nenek moyang terus menjadi praktis kehidupan pengikut Wetu Telu dicampur dengan elemen Islam, walaupun kita sudah berada dalam zaman moden.

Harus kami perjelaskan di sini, signifikannya perbezaan antara penganut Wetu Telu dengan masyarakat Islam Lima Waktu di Pulau Lombok ibarat dua buah agama yang berbeza.

Seandainya seorang penganut Wetu Telu ingin menerima aliran Lima Waktu, mereka melihatnya perubahan agama seolah-olah murtad dan keluar daripada agama asal. Dari segi amalan, angka '3' mempengaruhi aspek ibadah dan kepercayaan Watu Telu.

Seorang pengikut Wetu Telu hanya wajib merukuni 3 aspek Islam utama iaitu syahadah, solat 3 kali sehari dan berpuasa, menolak kewajipan membayar zakat dan ibadah haji. Amalan solat diamalkan secara wajib dalam tiga waktu iaitu Subuh, Maghrib dan isyak; solat Zohor dan Asar bukan solat wajib bagi mereka.

Amalan puasa bulan Ramadan mereka unik, kerana mereka hanya diwajibkan berpuasa 3 hari sahaja sepanjang bulan tersebut. Semua pengikut Wetu Telu perlu berpuasa sekurang-kurangnya sehari setiap 10 hari bulan Ramadan bagi melengkapkan ibadah mereka.

Hidup dalam suasana 'Islam' yang berbeza

ritual keagamaan lombok

Disamping amalan mirip Islam Sunni, pengikut Wetu Telu turut mempercayai beberapa pegangan spiritual dengan angka 3 terus memainkan peranan sebagai pembentuk akidah mereka.

Semua pengikut Wetu Telu berpegang dengan konsep tiga peringkat kehidupan iaitu alam rahim, alam hidup dan alam mati. Mereka juga meletakkan tiga pusat keimanan seseorang terletak pada Allah swt, Nabi Adam as. dan pasangannya Siti Hawa.

Apabila membicarakan soal alam, kepercayaan Wetu Telu mendidik pengikutnya untuk menerima hidup ini dipengaruhi tiga faktor utama iaitu jagad kecil mewakili keseluruhan manusia yang berada di atas muka bumi, jagad besar yang merangkumi keseluruhan alam semesta dan Allah swt. sebagai pencipta dan penyelia kepada kedua-dua jagad ini.

Hanya dengan memahami kesemua konsep ini serta tahu kedudukan kita yang kerdil di sisi Allah swt., barulah konsep keimanan dalam Wetu Telu dianggap sempurna.

Amalan-amalan ritual berbeza masyarakat Wetu Telu

watu telu komuniti muslim tiga waktu

Individu berstatus Kiyai atau pemimpin agama menjadi tunjang masyarakat Wetu Telu, memainkan peranan untuk menjalankan ibadah sebagai 'wakil' kepada komuniti mereka.

Sesetengah amalan ibadah penganut Watu Telu boleh diserahkan tanggungjawabnya kepada Kiyai yang dilantik. Seorang kiyai memikul beban menjalankan aktiviti ibadah puasa Ramadan dan solat tarawih, biasanya diadakan bersama individu Kiyai lain.

Bagi menghargai susah payah Kiyai beribadah, penduduk setempat akan menjamu wakil mereka pada malam tertentu bulan Ramadan serta membayar zakat fitrah terus kepada Kiyai sebagai hadiah; boleh dibayar dengan wang, makanan atau hasil pertanian dan perikanan.

komuniti islam lombok wetu telu solat tiga waktu

Satu perayaan unik disambut mereka dinamakan 'Selametan Bubur Puteq' dan 'Selametan Bubur Abang', disambut setiap 10 Muharram dan 8 Safar.

Ketika sambutan Bubur Puteq, masyarakat mereka akan menyediakan bubur berwarna putih bagi meraikan kemampuan lelaki menghasilkan benih yang mampu mencipta kehidupan baru.

'Bubur Abang' atau bubur merah disambut sebagai memperingati kemampuan wanita mengandung dan melahirkan anak; warna merah dijadikan ritual memperingati warna darah haid wanita.

Usaha untuk menjalankan kerja-kerja dakwah ke atas masyarakat Wetu Telu bergerak sepanjang masa, namun berdepan kekangan ekoran kuatnya masyarakat setempat berpegang kepada apa yang telah sekian lama diamalkan nenek moyang.

Namun dalam masa yang sama perubahan hidup memaksa komuniti Wetu Telu keluar daripada tanah asal mereka, menjadikan bilangan individu yang berpegang kuat dengan ajaran ini tahun ke tahun.

Bagi mereka yang tiada jalan lain melainkan terus kekal dengan Kanoman mereka, mereka terus mengamalkan ibadah solat wajib tiga kali sehari sebagai amalan harian; terus memekakkan telinga terhadap suara yang mengajak mereka keluar dari kesesatan yang telah mereka warisi sekian lama.

Rujukan

Wetu Telu in Bayan Lombok: Dialectic of Islam and Local Culture (PDF)

WETU TELU; Suatu Bentuk Keberagaman Pendidikan Pembebasan Berbudaya Masyarakat Lombok (PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)