Oleh pada 13 Sep 2019 kategori

Sebahagian besar masa yang diluangkan Theresa Kachindamoto sebagai Ketua Suku Tertinggi di daerah Dedza, Malawi, adalah untuk menyelesaikan satu masalah iaitu perkahwinan kanak-kanak.

Walaupun dia faham bahawa perkahwinan bawah umur diterima dari segi budaya dan dilakukan atas sebab kewangan, amalan itu tetap dirasainya sebagai membawa kepada kemudaratan dan perlu dihentikan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perkahwinan yang diatur mungkin normal bagi kebanyakan budaya di dunia tetapi di Malawi, ia melibatkan gadis bawah umur. Amalan ini menyebabkan ramai kanak-kanak yang terpisah dari keluarga mereka kerana dipaksa berkahwin dengan orang yang tidak mereka kenali.

Malawi telah disenaraikan oleh USA Today sebagai negara keenam termiskin dunia. Faktor ini mungkin memainkan peranan penting mengapa ibu bapa memilih untuk menjamin masa depan anak-anak mereka dengan pernikahan yang diatur pada usia muda.

Arahan pertama Theresa Kachindamoto selaku Ketua Suku Tertinggi

wanita selamatkan perkahwinan bawah umur

Theresa telah menghabiskan masa selama 27 tahun sebagai seorang setiausaha di sebuah kolej bandar di daerah Zomba, Malawi. Anak bongsu daripada 12 beradik dan ibu kepada lima orang anak ini merupakan keturunan dari keluarga ketua suku kaum di daerah Dedza.

Sebelum ini, dia melihat perkahwinan bawah umur hanya membawa kepada kemudaratan tetapi kemudian mendapati dirinya berada dalam kedudukan untuk mencabar amalan itu.

Ia berlaku apabila keturunannya memberikan kepercayaan kepada Theresa untuk menjadi Ketua Suku kepada lebih daripada 900,000 orang. Dia diminta untuk pulang ke daerah Dedza bagi memikul tanggungjawab itu.

gadis muda berkahwin bawah umur

Mereka memilih Theresa kerana reputasinya yang baik dengan ramai pihak. Ketua-ketua suku itu memberitahu Theresa bahawa dia perlu melakukan tugas itu sama ada suka atau tidak.

Pada hari pertama sebagai Ketua Suku Tertinggi, dia membuat lawatan ke salah satu kawasan di bawah bidang kuasanya. Ketika melawat rumah-rumah yang berada di situ, Theresa terkejut apabila dia disambut oleh gadis-gadis muda yang merupakan isteri-isteri kepada penduduk di situ.

Pada hari pertamanya juga, Theresa mengeluarkan arahan agar perkahwinan di bawah umur ini perlu ditamatkan.

Kusasa Fumbi

kusasa fumbi

Pada tahun 2012, tinjauan menunjukkan bahawa separuh daripada gadis-gadis bawah 18 tahun yang tinggal di kawasan kurang membangun di Malawi dipaksa berkahwin.

Walaupun satu undang-undang telah diluluskan pada 2015 melarang amalan perkahwinan bawah umur, ia tidak sedikit pun membendung masalah ini. Ramai ibu bapa masih mengatur perkahwinan anak gadis mereka atas sebab-sebab kewangan. 

Jurulatih pasukan bola jaring kebangsaan Malawi, Mary Waya, memberitahu bahawa dia sering melihat gadis-gadis yang dipaksa berkahwin ini diinaya, didera, dijadikan pelacur atau diberhentikan sekolah kerana masalah kewangan. Semasa muda, Mary juga melalui nasib yang sama.

mary waya

Mary Waya, "Ratu Bola Jaring" Malawi

Perkara paling mengganggu Mary ialah gadis-gadis ini akan dihantar ke "kem didikan seks" apabila mereka didatangi haid pertama. Mereka akan diajar tentang seks dan bagaimana untuk memenuhi tuntutan seorang lelaki bagi memenuhi "tugas mereka".

Pendidikan seksual ini dikenali sebagai "Kusasa Fumbi" atau pembersihan. Ada sesetengah kes di mana gadis-gadis ini hanya boleh menamatkan pendidikan apabila melakukan hubungan seksual dengan guru mereka.

Kusasa Fumbi secara tragisnya telah menyebabkan banyak kehamilan luar nikah dan penyebaran HIV di rantau ini. Di Malawi, 1 daripada 10 orang adalah HIV positif. Penggunaan kondom adalah sangat jarang. Mary menambah lagi, di sesetengah kampung ada Ketua Suku yang bersetuju Kusasa Fumbi dilakukan.

Tekanan Politik dan tindak balas penduduk tempatan

kempen theresa kanchindamoto

Walaupun Malawi mempunyai pemerintahan demokratik yang berfungsi, Ketua Suku mempunyai kedudukannya dalam budaya dan dihormati selama beratus-ratus tahun.

Bersama-sama 50 Ketua Suku di bawahnya, Theresa membentuk satu perjanjian untuk mengakhiri perkawinan bawah umur di daerahnya. Dia berharap langkah ini dapat menamatkan penindasan kanak-kanak dan menutup kem-kem seksual yang ada.

theresa kanchindamoto 2

Theresa menerima kit kebersihan dari Heart of Health International (HHI)

Di antara semua Ketua Suku, ada empat orang yang tidak bersetuju dengan cadangan ini. Theresa akhirnya memecat mereka dengan serta-merta. Penstrukturan semula ini mendapat pelbagai reaksi ekstrem dari banyak pihak.

Kebanyakan penduduk tempatan berkata peraturan baru ini akan membuatkan mereka lebih miskin kerana perlu menanggung anak yang semakin membesar. Namun, niat Ketua Suku Tertinggi ini untuk membantu mereka yang tidak bersalah tetap teguh walaupun menerima banyak ancaman bunuh.

theresa kanchindamoto 3

Theresa juga merancang untuk melaksanakan perjanjian barunya ini ke dalam undang-undang sivil. Theresa juga telah membangunkan rangkaian rahsia di kalangan ibu bapa di setiap kampung bagi memastikan tiada siapa yang memberhentikan anak mereka dari sekolah atau dipaksa berkahwin bawah umur.

Dia melakukan pelbagai aktiviti seperti menjemput gadis-gadis dari bandar yang telah berjaya untuk berkongsi pengalaman mereka di sekolah-sekolah di daerahnya. Setakat ini, dia telah menolak dan menghentikan lebih daripada 850 perkahwinan bawah umur.

Rujukan:

1. Wanita ini hentikan 850 perkahwinan bawah umur

2. Ketua Suku di Malawi selamatkan gadis bawah umur daripada menjadi mangsa keadaan

3.  Theresa Kanchindamoto - Penyelamat anak gadis Malawi




Hakcipta iluminasi.com (2017)