Pada hari ini, berita hanya berada di hujung jari anda dan boleh ditonton di mana-mana sahaja. Namun, senario itu berbeza pada 30 atau 40 tahun yang lalu.

Lama sebelum adanya internet atau siaran khas berita 24 jam, seorang wanita Philedelphia menyedari kepentingan dan kesan berita terhadap manusia. Dia telah mengabdikan dirinya merakam seberapa banyak berita yang boleh.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah kisah Marion Stokes, pengumpul ekstrem yang obses merakam berita, iklan TV dan apa sahaja yang disukainya selama lebih tiga dekad.

Aktivis hak asasi manusia

Marion dilahirkan pada 25 November 1929. Dia menyedari bahawa televisyen boleh memberi maklumat yang tepat dan salah kepada penonton. Marion juga tahu bahawa rancangan seperti berita mampu mempengaruhi pendapat orang awam.

wanita rakam berita 30 tahun

Marion Stokes

Sebagai seorang aktivis hak asasi manusia, dia tahu kepentingan untuk mempunyai akses kepada informasi. Inilah yang mendorong Marion untuk memulakan sebuah simpanan berita peribadi terbesar di dunia.

Pada 1975, dia membeli perakam video dan mula merakam liputan berita politik, dokumentari sains dan sitkom. Marion semakin kerap merakam rancangan TV terutamanya berita. Ketika berlakunya Krisis Tebusan Iran pada 1979, Marion mula merakam berita sepenuh masa.

Dia yang pernah bekerja di Free Library of Philadelphia selama 20 tahun telah dipecat pada 1960-an kerana penglibatannya dengan Parti Komunis. Pada 1968-1971, Marion mengacarakan satu rancangan pagi dinamakan Input.

Rancangan itu ditayangkan di CBS dan membincangkan isu keadilan sosial. Para tetamunya termasuklah ketua agama, ahli akademik, saintis, aktivis dan selebriti.

Dipantau pihak kerajaan

Pandangan politik Marion membuatkan dia menjadi perhatian kerajaan. Dia dan suami pertamanya pernah merancang untuk membelot ke Cuba sebelum mereka berpisah.

rancangan input

Dia kemudian berkahwin dengan John S. Stokes Jr. yang merupakan penerbit rancangan Input. Kekayaan John membolehkan Mariot meneruskan projek rakamannya begitu lama

Marion tahu bahawa rakamannya akan menjadi penting suatu hari nanti. Dengan pengenalan saluran berita 24 jam iaitu CNN, Marion lebih agresif. Dia merakamkan berita dari pelbagai saluran yang ada. Pada suatu masa, dia merakamkan pelbagai berita di lapan alat perakam serentak.

Marion juga seorang wanita yang bijak. Apabila menyedari berlakunya perubahan teknologi, dia adalah salah seorang pelabur terawal dalam syarikat Apple Inc. Dia juga memujuk adik-beradik suaminya untuk turut melabur bersamanya.

Mereka berjaya memperolehi keuntungan besar daripada pelaburan itu dan Marion menggunakan wangnya untuk meneruskan projek rakamannya.

Komitmen yang dahsyat

Apabila pita rakamannya menjadi terlalu banyak, Marion membeli 9 buah pangsapuri untuk menyimpan semua rakamannya. Dedikasi dan komitmennya tiada berbelah bagi.

pita rakaman marion stokes

Dia mengabdikan masa dan tenaganya untuk projek itu. Dia akan menukar pita rakaman setiap enam jam dan ada kalanya dibantu suami atau ahli keluarganya yang lain.

Jika keluar bersama keluarganya, Marion akan bergegas pulang apabila tiba waktu untuk menukar pita rakaman. Apabila dia sudah tua dan tidak begitu bertenaga, Marion mengupah pembantu untuk melakukan kerjanya.

Marion Stokes akhirnya meninggal dunia pada 14 Disember 2012 ketika berusia 83 tahun. Dia berjaya merakam berita sehingga hari terakhirnya. Semua pita rakaman itu diwasiatkan kepada anak lelakinya, Michael Metelits.

Simpanan rakaman berita terbesar

Anaknya kemudian menghubungi satu organisasi bernama Internet Archive di San Francisco untuk mendermakan semua simpanan pita video itu. Organisasi itu tanpa berfikir panjang bersetuju untuk menerima dan menukarkannya dalam bentuk digital.

koleksi marion stokes

Seorang penerbit filem bernama Matt Wolf tertarik dengan kisah Marion dan menghasilkan dokumentari berjudul Recorder: The Marion Stokes Project. 

Mungkin orang ramai menyangka bahawa syarikat saluran TV mempunyai simpanan rakaman rancangan mereka sendiri yang besar. Namun, kebanyakannya ingin menjimatkan wang dan memadam berita yang lama.

Projek rakaman Marion adalah simpanan rakaman terbesar yang diketahui setakat ini iaitu sebanyak 71,716 pita rakaman. Mungkin, ada pita rakaman Marion yang merupakan satu-satunya salinan berita yang wujud sehingga hari ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)