Yoshiro Harada adalah seorang penghantar surat khabar dari Tokyo, Jepun. Ketika dia berusia 24 tahun, dia telah memutuskan untuk menjalani kehidupannya sebagai seekor harimau dengan memakai topeng haiwan itu.
Hari ini, dia yang berusia 69 tahun digelar sebagai Shinjuku Tiger dan dianggap sebagai seorang legenda di bandaraya terkemuka dunia yang sentiasa sibuk itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Dilahirkan di Wilayah Nagano, Harada berpindah ke Tokyo pada tahun 1967 untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Daito Bunka. Dia mula menjadi seorang penghantar surat khabar sejak dia masih bersekolah lagi. Dia akhirnya memutuskan untuk berhenti daripada universiti dan mendedikasikan dirinya sebagai penghantar surat khabar sepenuh masa.
Credit : livejapan
Dia tidak begitu ingat mengapakah dia berbuat demikian tetapi apa yang dia tahu ialah dia ingin berhenti daripada belajar. Ia boleh dikatakan permulaannya menjalani hidup sebagai Shinjuku Tiger.
Pada suatu hari dalam tahun 1972, Harada menghadiri satu perayaan di sebuah kuil di Kabukicho yang merupakan kawasan perniagaan dan pelacuran di Shinjuku. Ketika dia melewati barisan kedai di situ, dia terlihat salah satu kedai menjual banyak topeng harimau plastik dengan pelbagai warna. Ketika itulah dia berminat dengan topeng harimau.
Walaupun ia adalah secara spontan, Yoshiro Harada telah membeli 30 topeng harimau sekaligus daripada kedai itu seolah-olah dia tahu bahawa dia akan menggunakannya selama beberapa dekad yang akan datang.
Sejak dari tahun 1972 jugalah dia telah memakai topeng harimau setiap hari, sama ada untuk kerja menghantar surat khabar di sekitar Shinjuku ataupun pada waktu terluangnya. Dia hanya akan menanggalkan topeng itu apabila perlu sahaja.
Tiada siapa yang tahu apa yang mendorong Harada untuk memakai topeng plastik itu dan menjadi Shinjuku Tiger sejak 45 tahun yang lalu. Dalam beberapa wawancara yang diadakan terhadapnya, dia berkata hanya bertindak mengikut nalurinya sahaja.
Ada kalanya dia menjawab bahawa ingin melihat orang lain tersenyum. Mungkin Harada sendiri tidak mengetahui apakah alasannya berbuat demikian tetapi apa yang pasti ialah dedikasinya terhadap alter-ego begitu tinggi sehingga digelar sebagai seorang legenda di Tokyo.
Credit : livejapan
Selain memakai topeng harimau, Shinjuku Tiger juga menarik perhatian orang ramai dengan memakai rambut palsu berwarna merah, pakaian yang aneh dan sentiasa membawa berpuluh-puluh jenis patung atau permainan ketika menghantar surat khabar setiap hari.
Segala patung dan permainan yang dibawanya setiap hari itu dianggarkan seberat 10 kilogram. Harada menganggap patung dan permainan itu sebagai keluarganya sendiri dan tidak merasakan ia sebagai satu gangguan kepadanya.
Pada hari-hari biasa, Shinjuku Tiger bangun sekitar jam 3.30 pagi, mempersiapkan dirinya dan memulakan penghantaran pertama pada jam 5 pagi. Setelah kira-kira dua jam bekerja, dia akan pulang ke rumah untuk tidur sebelum keluar semula untuk melakukan penghantaran kedua pada jam 3 petang.
Credit : asianmoviepulse
Apabila tidak bekerja, Harada akan memenuhi waktunya dengan tiga perkara yang disukainya iaitu filem, bir dan wanita. Dia sering dilihat menonton filem di pawagam Shinjuku dan kenal dengan pelakon lelaki dan wanita tempatan secara peribadi.
Pada usianya 69 tahun, Shinjuku Tiger masih lagi penuh bertenaga sama seperti ketika dia pertama kali memakai topeng harimaunya 45 tahun yang lalu. Ketika orang lain seusia dengannya telah lama bersara daripada pekerjaan mereka dan berehat di rumah, dia terus bekerja setiap hari. Dia juga masih mampu untuk minum bersama rakan-rakannya sehingga lewat malam.
Dalam satu temuramah, Shinjuku Tiger berkata bahawa semua keputusan yang dibuatnya berdasarkan naluri. Ini kerana dalam hatinya dia merasakan dirinya adalah benar-benar seekor harimau hutan.
Baru-baru ini, kisah legenda Yoshiro Harada menjadi subjek kepada dokumentari yang dinamakan "Shinjuku Tiger". Dokumentasi itu tidak terlalu mendedahkan kisah lelaki di sebalik topeng harimau itu sebaliknya lebih fokus kepada rutin harian dan keperibadiannya yang menyerlah itu.
Shinjuku Tiger juga mendedahkan bahawa dia masih lagi mempunyai 10 daripada 30 topeng harimau yang dibelinya 45 tahun yang lalu. Baginya ia sepatutnya cukup untuk dia kekal sebagai seekor harimau sehinggalah dia mati.
Rujukan:
1. Japan Times
2. Time Out
3. Nippon