palestin israel gaza isu bantuan

Setiap tahun lebih 10,000 hingga 14,000 permohonan bagi mewujudkan badan bukan kerajaan atau NGO, diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) atau lebih kerap dirujuk sebagai ROS/Registrar of Society.

Majoriti permohonan baru diterima merupakan usaha digerakkan ahli masyarakat kita yang mahu menjalankan kerja-kerja kebajikan, selebihnya adalah permohonan penubuhan NGO berorientasikan politik.

Situasi ini jelas mencerminkan tahap keprihatinan masyarakat namun dalam masa sama, pelbagai tuduhan mendakwa NGO-NGO ini sengaja dibuat untuk mencari keuntungan terus kedengaran.

Persoalan utama yang perlu dibincangkan - salahkah NGO yang mengutip derma menggunakan derma itu untuk tujuan mendapatkan keuntungan? Mari kita cuba fahami secara terbuka.

'Perusahaan sosial' - NGO yang menjana keuntungan untuk membantu 

masalah ngo yang tidak transparent dan telus

Realitinya, penubuhan NGO yang bermotifkan keuntungan tidak salah malahan dibenarkan dalam akta undang-undang negara kita.

Gerakan sebegini jarang sekali disebutkan kerana kita lebih biasa menganggap NGO kebajikan sepatutnya tidak bergerak untuk mengaut untung malahan perlu berkorban wang dan tenaga, dalam membantu. Pendapat ini kurang tepat.

NGO perlu mampu menjana keuntungan untuk bergerak dalam jangka masa panjang!

Di Malaysia, sukar untuk kita mengklasifikasikan yang mana satukah NGO di negara kita ini merupakan sebuah badan perusahaan sosial atau hanya layak dianggap aktivis kebajikan semata-mata, kerana sistem pengkelasan kita agak longgar dalam bab ini. 

Sebuah perusahaan sosial atau 'social enterprise' merupakan sebuah gerakan yang boleh ditunjangi badan seperti NGO, syarikat atau firma yang menjalankan aktiviti komersial dengan niat untuk menggunakan keuntungan hasil perniagaan itu bagi tujuan sosial - walaupun majoriti dana aktiviti mereka datang dari hasil derma atau sumbangan.

Menurut kajian yang dijalankan PBB dan British Council, dianggarkan wujud lebih 2,419 NGO layak dikatakan berstatus perusahaan sosial daripada 69,790 jumlah NGO yang ada di negara kita; sama ada dalam bentuk syarikat atau persatuan. 

Untuk sebuah NGO itu layak ditakrifkan sebagai sebuah perusahaan sosial pula, PBB meletakkan syarat peratusan peruntukan yang mereka terima hasil kutipan derma dan sumbangan mestilah sama atau melebihi 75% daripada keseluruhan peruntukan tahunan mereka.

Keuntungan itu akhirnya akan digunakan, dilabur dan diperkembangkan untuk menjana tambahan keuntungan bagi membolehkan mereka terus menjalankan aktiviti amal mereka. 

Dua akta berbeza yang memantau pergerakan NGO 

penggubahan wang haram ngo

Pergerakan perusahaan sosial di negara kita boleh wujud dalam dua kaedah seperti yang kami nyatakan di atas; sama ada melalui penubuhan syarikat berdaftar dipantau Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau dengan penubuhan persatuan yang dikelolakan ROS.

Oleh sebab itulah masyarakat kita sendiri kurang jelas tentang perbezaan pergerakan aktivis kebajikan di negara kita.

Kaedah paling popular yang digunapakai dalam pembentukan sesebuah NGO di negara kita adalah dengan berdaftar sebagai sebuah entiti syarikat berstatus sendirian berhad merangkumi 43% daripada keseluruhan NGO berstatus perusahaan sosial, jenis pemilikan tunggal atau 'syarikat enterprise' (19%) atau sebuah persatuan berdaftar dengan ROS (11%).

Menurut kajian PBB juga, dianggarkan wujud lebih 7% entiti pergerakan perusahaan sosial yang ada di negara kita menjalankan aktiviti sosial tanpa sebarang bentuk pendaftaran rasmi dilakukan, menjalankan kutipan tabung, derma dan sumbangan yang tidak didaftarkan tujuan, matlamat dan hala tujunya.

Kebanyakan NGO lebih gemar mendaftarkan pergerakan mereka sebagai sebuah syarikat bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia disebabkan oleh syarat-syarat ketat yang diwujudkan oleh ROS, dalam meluluskan sesebuah persatuan. 

Sesebuah NGO yang berdaftar dengan ROS sebagai persatuan perlu menjalani proses saringan terperinci semasa pendaftaran serta mewartakan jumlah sumbangan yang mereka terima dengan telus.

Nilai keuntungan yang mereka perolehi, pecahan penggunaan dana, sumber dana dan kesemua kos yang digunapakai setiap tahun perlu dilaporkan.  

ROS juga mewajibkan sesebuah persatuan untuk menghabiskan minima 50 peratus jumlah kutipan mereka setiap tahun untuk tujuan kebajikan sosial, menghalang NGO-NGO daripada memanfaatkan dana yang ada untuk tujuan lain di tahun berikutnya iaitu menjana keuntungan tambahan.

Atas faktor itulah penubuhan sebuah NGO kini lebih berorientasikan kepada bentuk syarikat, kerana kekangan dalam penggunaan dana yang telah mereka perolehi bergantung sepenuhnya kepada pengurusan syarikat, tanpa perlu menurut syarat seperti yang dikenakan oleh ROS.

Gerakan kebajikan bermotifkan keuntungan bukanlah sesuatu yang aneh

kucing gemuk kaya hasil duit keuntungan ngo

Satu stigma yang masih membelenggu masyarakat kita sehingga ke hari ini adalah bagaimana sesebuah usaha kebajikan itu harus bukan berorientasikan keuntungan dalam semua aktiviti mereka.

Realitinya, NGO-NGO yang sudah lama bertapak di negara kita kebanyakannya bermula sebagai sebuah persatuan sebelum mula bertransformasi menjadi sebuah entiti komersial, disebabkan keperluan untuk menjana dana bagi menampung belanja pergerakan secara tahunan.

Walaupun dipandang serong kerana menjana keuntungan atas nama kebajikan, ramai tak sedar penubuhan NGO dan syarikat perusahaan sosial banyak membantu mencipta peluang pekerjaan untuk orang ramai.

Di kalangan NGO dan entiti perusahaan sosial sahaja, jumlah peluang pekerjaan baru yang dicipta meningkat purata 23% setiap tahun untuk pekerja sepenuh masa dan 33% untuk pekerja separuh masa.

Majoriti jawatan baru ini pula direbut individu wanita, yang agaknya lebih aktif mahu melibatkan diri dalam bidang kebajikan sebegini. Semua peluang ini berjaya dibuat hasil keuntungan yang telah mereka jana daripada sumbangan dan geran yang mereka terima dari kerajaan atau orang ramai.

Bercakap tentang untung rugi - bukan semua NGO perusahaan sosial ini menjana keuntungan. 37% daripada keseluruhan entiti perusahaan sosial melaporkan keuntungan, sementara 32% direkodkan hanya pulang modal.

31% pula mencatat angka kerugian dalam aktiviti mereka.

Daripada kesemua entiti perusahaan sosial yang dijadikan sampel kajian, secara puratanya 7% daripada jumlah keuntungan yang dijana dikembalikan kepada pengasas atau pemegang saham. 9% menjadi habuan kumpulan pekerja dan aktivis.

Sementara selebihnya iaitu 84% digunakan untuk pembangunan pergerakan atau meluaskan lagi skop usaha kebajikan yang diusahakan. 

Adakah pergerakan kebajikan bermotifkan keuntungan ini boleh dipercayai? 

anak orang miskin tutup muka pemerdagangan kemiskinan

Berdasarkan statistik yang sudah kami bentangkan kepada anda, ya NGO masih mampu diyakini. Malangnya dakwaan serta tuduhan buruk 'tubuh NGO untuk hidup senang lenang' yang dibuat orang ramai terus menjejaskan reputasi gerakan kebajikan.

Kritikan sebegini pasti akan terus kedengaran, bukan? Apa solusinya? Ada beberapa langkah perlu diperkenalkan oleh pihak NGO sendiri bagi mengatasi masalah persepsi dan kritikan ini.

Yang pertama, NGO perlulah mengamalkan sikap telus dalam mewarta dan rekod akaun pergerakan mereka. Ini kerana orang ramai yang menderma berhak tahu ke mana perginya wang ringgit yang telah disumbangkan.

Orang awam harus diberikan laporan terperinci berapakah jumlah keuntungan, berapa rugi, berapa amaun pelaburan sehinggalah berapakah gaji kerani NGO terlibat setiap bulan.

Entiti kebajikan juga perlu terbuka untuk menjelaskan status pendaftaran mereka, sama ada sebagai sebuah badan perniagaan di bawah SSM atau sebuah persatuan di bawah ROS. Kami yakin agak sukar untuk rakyat biasa mengenalpasti perbezaannya. 

Dengan menjelaskan status ini adalah lebih mudah untuk kita di Malaysia mengenalpasti apakah kredibiliti entiti kebajikan yang hadir merayu meminta bantuan. 

Sampai bila rakyat Malaysia harus bergantung kepada gambar-gambar projek dan aktiviti pengasas gerakan kebajikan yang dimuat naik ke media sosial, sebagai bukti sumbangan dah sampai? 

Untuk membiasakan rakyat Malaysia dengan perusahaan sosial yang cukup murni tujuan pergerakannya, hal ehwal rekod, audit, laporan perlulah dilakukan dengan formal. Tak ada lagi bukti sumbangan hanya dalam media sosial semata-mata.

Kita perlu mengangkat budaya profesional yang mana angka, statistik dan kesahihan menjadi sandaran, kerana setiap sen yang diderma adalah beban yang perlu boleh diperjelas tanpa ada sebarang keraguan ke mana perginya - seterusnya mampu menyenyapkan semua kritikan.

Ada NGO tak nak lapor penyata kewangan, aktiviti dan profil syarikat secara telus? Jangan derma pada mereka.

Rujukan 

The State of Social Enterprise Malaysia (PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)