Oleh pada 24 Jul 2021 kategori

Mengurus sebuah negara bukanlah satu perkara mudah jadi ada kalanya banyak kekurangan berlaku sehingga mengakibatkan isu-isu tertentu, seolah terabai atau terpinggir pihak berwajib.

Mujurlah di kalangan jutaan ramai rakyat Malaysia ramai sekali yang sanggup bangkit mengerahkan tenaga bergerak sama ada menggunakan dana sendiri ataupun sumbangan orang ramai, bagi meringankan beban menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan yang timbul.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Gerakan kebajikan di negara kita mampu menghasilkan ramai ikon masyarakat yang jelas sekali trampil perubahan yang dijana. Berikut adalah lima ikon yang paling bersinar di Malaysia.

1. Syed Azmi Alhabshi

syed azmi muda dulu dan kini baju merah

Hendak tak hendak, kita terpaksa mengaku nama Syed Azmi Alhabshi mula naik ekoran kontroversi program 'I Want to Touch a Dog' yang pernah berlaku tahun 2014, sehinggakan dia dilabelkan kepala penuh ulat oleh salah seorang tokoh agama di negara kita.

Walaupun begitu, cemuhan demi cemuhan serta kritikan tidak menghalang Syed Azmi daripada terus berkorban masa dan tenaga dalam memastikan kebajikan golongan tertentu, khasnya kanak-kanak dan golongan ibu tunggal.

Bergelar seorang ahli farmasi bertauliah, Syed Azmi memilih untuk meninggalkan bidang perubatan bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada gerakan kebajikan yang dijalankannya.

Dia menyimpan harapan besar agar gerakan yang tunjanginya akan mula mencapah kepada aktiviti pendidikan serta dapat membantu dengan lebih kerap golongan kurang upaya.

2. Lando Zawawi

lando dulu dan kini muda botak

Mempunyai karier sebagai seorang anak seni sebelum lebih dikenali sebagai pengasas kepada Ikatan Silaturrahim Brotherhood,Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi mencuri perhatian ramai selepas seringkali memperbaiki lubang dan lopak jalan di negara kita.

Dengan wajah seakan garang serta mulut yang celupar, Lando membuktikan wajah yang ditakuti tidak mencerminkan hati murni yang dimiliki. Teguran pedasnya juga lebih kerap kerap terarah kepada pengurusan yang memantau kualiti jalan raya, khasnya kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya.

Memegang slogan 'asal orang lain selamat', Lando dan rakan-rakannya bergerak menggunakan dana sendiri atau sumbangan orang ramai sejak tahun 2007, mempunyai keahlian lebih 10,500 orang yang dibahagikan kepada 54 kumpulan.

Setiap tampalan jalan yang dibuat menggunakan belanja sekitar RM100-RM150 setiap satu dan aktiviti mereka dibuat setiap malam, jika keadaan dan situasi mengizinkan.

3. Nadir Al-Nuri Kamarulzaman

nadir al nuri gaza palestin

Pengalaman menjadi seorang aktivis seolah-olah sudah bersebati dalam jiwa Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman, anak kepada seorang profesor di UTM iaitu Dr. Kamaruzzaman Yusoff.

Sejak zaman mahasiswa dalam kursus Sains Marin, Nadir sudah tidak henti-henti bergerak ke sana sini menyertai aktiviti amal sebelum menambah bidang pengajiannya dalam bidang syariah dan bahasa Arab. Selepas sampai ke Gaza, Palestin, Nadir mula serius bergerak di sana memulakan Cinta Gaza Malaysia bagi memudahkan projek bantuan.

Namanya mula terkenal sebagai satu-satunya rakyat Malaysia yang pada mulanya menjadi wakil kita di sana, sebelum dia memilih untuk mengahwini seorang balu Palestin yang bekas suaminya terbunuh dalam pertempuran di sana bernama Reem al-Minawi.

4. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

syed saddiq kebajikan bantu rakyat

Status beliau sebagai seorang ahli parlimen mungkin mengurangkan kredibiliti beliau untuk disenaraikan, namun usaha Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggerakkan kudrat dalam membantu orang ramai tidak harus dipadang enteng.

Anak muda ini walaupun sering berdepan kritikan, telah beberapa kali membuktikan pengaruhnya khasnya apabila melibatkan gimik botak kepala yang dibuat bagi mengutip sumbangan membantu keluarga miskin di Muar memperolehi gajet, untuk kegunaan pelajaran dari rumah.

Dalam musim PKP ini juga Syed Saddiq terus aktif memberikan sumbangan peranti elektronik, bantuan makanan asas serta menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi kemudahan individu memerlukan ke pusat vaksinasi.

Malangnya, barisan panjang orang ramai yang beratur di depan pejabatnya bagi mendapatkan bantuan mencetuskan masalah pelanggaran SOP, sehingga memaksa aktiviti itu dihentikan buat sementara.

5. Ebit Lew

ustaz ebit irawan bin ibrahim lew yun pau

Nama Ebit Lew mungkin sudah tidak lagi perlu diperkenalkan kepada anda semua. Profilnya juga semakin hari semakin cerah, bukan saja sebagai seorang tokoh kebajikan malahan juga sebagai pendakwah, penceramah dan ahli perniagaan berjaya.

Nama asalnya adalah Ebit Irawan bin Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau. Dia memulakan karier dengan bimbingan Dato' Dr. Fadzillah Kamsah sebagai pelatih sebelum mula bergerak sendiri menjayakan slot-slot motivasi.

Aktiviti kebajikan mula menjadi medan dakwah beliau yang utama, mengasaskan Pertubuhan Kasih Umat Malaysia bagi memberikan kerangka organisasi berkesan agar bantuan lebih mudah disampaikan.

Selain itu Ebit juga seorang personaliti media hiburan dakwah terkenal, menjadi pengacara dalam slot radio saluran IKIM FM dan Sinar FM serta rancangan televisyen di bawah Astro.

Beliau juga mengasaskan rangkaian kedai Elewsmart, setakat ini mempunyai 10 cawangan yang menjual bermacam produk serta menjadi pengantara bantuan disampaikan, di mana setiap kedai mempunyai ruangan bantuan percuma disediakan untuk yang memerlukan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)