Oleh pada 24 Jul 2019 kategori

Apabila disebut tentang status halal haram umat Islam dalam menyertai skim insurans dan takaful di negara kita, kebiasaannya perbincangan akan lebih banyak berkisar berkenaan syarat patuh syariah melibatkan peserta skim tersebut.

Bagi mereka yang belum tahu, di negara kita wujud dua skim perlindungan hayat, iaitu skim insurans dan skim takaful dengan kedua-duanya membawa matlamat serupa - namun langkahnya berbeza. Insurans mewakili skim yang ditawarkan oleh syarikat konvensional sementara takaful pula melibatkan skim perlindungan yang ditawarkan syarikat patuh syariah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dari aspek peserta atau pengguna, banyak fatwa berkenaan menyertai skim insurans sudah dikeluarkan dengan jelas disebutkan status haram untuk umat Islam, berikutan kewujudan banyak elemen yang meragukan.

Apa status sebenar pendapatan ejen takaful?

takaful membantu

Pada dasarnya penyertaan orang ramai sebagai peserta skim takaful di lihat tidak membawa masalah dari segi hukum. Namun sesuatu yang jarang diperkatakan adalah berkenaan beberapa faktor yang membawa keraguan apabila melibatkan pendapatan ejen takaful.

Kita tahu karier sebagai seorang ejen takaful boleh membawa kepada pendapatan lumayan, namun di sebalik janji manis itu - wujud beberapa sebab yang menyebabkan penulis rasa perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh masyarakat kita, apabila berkait soal halal dan haram ini.

Malangnya, tidak banyak perbincangan berkenaan isu ini dibangkitkan kerana pihak majlis agama Islam serta orang ramai kurang memberikan perhatian terhadap beberapa perkara meragukan yang ada, ekoran kewujudan syarikat takaful hibrid yang menjalankan kedua-dua skim perlindungan konvensional dan takaful serentak.

Apakah faktor syubhah yang penulis sebutkan ini?

Ejen Muslim masih menjual skim perlindungan konvensional

serta insurans konvensional

Sekiranya anda menyertai mana-mana agensi yang melibatkan syarikat hibrid insurans dan takaful, seperti beberapa buah syarikat terkenal antarabangsa yang membuka skim di Malaysia - akan wujud situasi di mana syarikat-syarikat akan menggalakkan ejen untuk cuba memasarkan produk-produk mereka untuk kedua-dua skim, tidak patuh syariah mahupun patuh syariah.

Apa yang membingungkan penulis, tidak ramai ejen Muslim menyedari status komisyen yang mereka terima daripada hasil jualan skim konvensional insurans telah pun difatwakan sebagai haram.

Lebih malang, ada juga di kalangan ejen yang menyedari hasil pendapatan mereka berstatus haram, tetapi oleh kerana ada syarikat yang mengisytiharkan dana pelaburan konvensional mereka hanya akan dilaburkan ke dalam saham patuh syariah semata-mata; hujah ini dijadikan alasan untuk ejen terus memasarkan kedua-dua skim perlindungan.

Yang memilukan - rata-rata skim perlindungan konvensional lebih murah berbanding takaful, namun sangat merugikan untuk umat Islam yang menyertainya kerana sebarang bentuk pampasan yang diberikan seandainya berlaku kematian - telah pun difatwakan haram dan tidak layak untuk diagihkan kepada waris-waris.

Kekaburan dalam sistem pemberian bonus dan insentif

memahami makna syubhah

Berbeza dengan syarikat-syarikat yang hanya menjalankan sistem takaful sahaja, syarikat-syarikat hibrid yang meniagakan produk konvensional serta takaful serentak selalunya akan menguruskan ejen-ejen di bawah satu syarikat sahaja.

Sebagai contoh, ejen A bekerja sebagai ejen XYZ Takaful tetapi surat tawaran penerimaan sebagai ejen dikeluarkan oleh XYZ Konvensional sebagai majikan utama. Oleh yang demikian, semua urusan pembayaran bonus dan insentif dapat dilihat, dilakukan serentak melibatkan kesemua ejen yang menjual skim takaful XYZ dan skim konvensional XYZ.

Tidak ada garis pemisah yang jelas apabila kita melihat daripada perspektif ini, sehinggakan insentif seperti tawaran hadiah sekiranya mencapai sasaran jualan atau pakej pelancongan walaupun dibuat atas jualan produk XYZ Takaful, tetapi dihadiahkan oleh XYZ Konvensional.

Kenapa perkara ini dibiarkan berlaku sedangkan fatwa berkenaan status pendapatan yang diterima daripada syarikat konvensional sudah diperjelaskan tidak patuh syariah - jadi bagaimana pula dengan status pakej pelancongan atau hadiah insentif yang dibayar kepada ejen yang bertuah?

Sistem 'sedekah' yang menghukum ejen

ejen takaful syubhah

Sekiranya anda berborak dengan ejen takaful, satu perkara yang selalu mereka sebutkan sebagai daya penarik untuk kita menyertai skim takaful adalah 'takaful ini satu sedekah.' Betul. Perkara ini memang tidak penulis nafikan tetapi ia hanya betul daripada sudut pandang peserta/pelanggan. Untuk ejen perkara ini agak berbeza.

Untuk dua syarikat yang penulis tahu, sistem yang digunakan dalam memastikan 'sedekah' tadi dipastikan terus dibayar akan menghukum ejen itu sendiri. Tak percaya?

Dalam sistem jualan ejen takaful, wujud satu terma yang dinamakan sebagai 'persistency rate' yang merekodkan ratio bayaran yang berjaya dipungut oleh ejen daripada peserta takaful di bawah kendalian mereka. 'Persistency rate' ini adalah kadar peratusan berapa bayaran yang diterima, dengan setiap ejen perlu memastikan setiap peserta 'menyedekahkan' 12 bulan kadar bayaran minima.

Apa akan berlaku sekiranya peserta gagal membayar kadar 12 bulan ini?

Kadar peratusan menurun akan menyebabkan kadar bonus yang boleh dinikmati ejen setiap tahun akan menurun. Atas sebab itulah ramai ejen secara senyap-senyap akan membayarkan sendiri caruman bulanan peserta yang masih belum genap 12 kali bayaran.

Selain itu, setiap ejen juga diberikan 'persistency rate' yang perlu dikekalkan dalam menjaga kontrak mereka sebagai ejen. Nilai yang penulis tahu menurut seorang kenalan, adalah 80% daripada semua jumlah bayaran 12 kali minima semua peserta untuk tahun pertama mereka mencarum. Sekiranya gagal mengekalkan kadar kutipan, bukan sahaja bonus akan terkesan malahan kontrak ejen itu juga boleh ditamatkan.

Jadi persoalan yang ingin penulis lontarkan pada semua ejen takaful di luar sana - bagaimana tindakan mewajibkan bayaran seperti ini, sehingga mampu memberikan kesan buruk pada kerjaya anda sebagai ejen; layak dikatakan satu kaedah patuh syariat?

Sistem ala MLM dalam menjana pendapatan ejen

tidak jelas takaful faktor syubhah

Selain daripada 3 faktor di atas, satu lagi perkara yang paling meragukan dalam sistem pendapatan ejen tak kiralah konvensional mahupun takaful - adalah sistem compounding commission yang menjadi rebutan mereka.

Pokok pangkalnya, ini adalah sebab utama kenapa ramai ejen berebut nak wujudkan downline ejen lain di bawah mereka. Dengan mempunyai downline, secara automatik ejen yang sudah dinaikkan kepada pengurus akan mendapat peratusan tertentu hasil jualan setiap ejen mereka.

Apakah status sebenar sistem ini berdasarkan syariat Islam? Adakah seseorang itu layak mendapat pulangan hasil titik peluh orang lain? Sistem mirip MLM ini sangat diragui kewujudannya dalam menjana pendapatan seorang ejen takaful, kerana berlaku ketidak adilan dalam konsep ini. Cuba anda tanyakan pada ejen apakah pandangan dia berkenaan sistem ini.


Setakat ini, empat faktor inilah yang penulis rasakan menyekat penulis daripada cuba menceburi kerjaya sebagai ejen separuh masa.

Walaupun sudah lama merancang, namun ketidaktentuan hati serta rasa samar-samar yang ada terhadap status pengurusan syarikat takaful bersifat hibrid serta kelonggaran regulasi yang tidak mematuhi saranan Majlis Fatwa Kebangsaan - merupakan elemen syubhah yang penulis nampak jarang sekali diperkatakan.

Apa pandangan anda dalam isu ini? Taggedkan kenalan ejen yang anda kenali, supaya masalah ini dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci.

Rujukan

Fatwa pampasan insurans konvensional

Portal Rasmi Muamalat JAKIM

Beza Insuran Konvensional & Takaful : Sudut Hukum

Insuran Konvensional Tapi Dilabur Secara Islam?




Hakcipta iluminasi.com (2017)