Oleh pada 08 Aug 2017 kategori

Pengalaman ini ditulis sendiri oleh sukarelawan yang pernah membantu di kem pelarian dan pihak iluminasi.com mendapat kebenaran untuk berkongsi di blog kami. Artikel ini bertujuan memberi pendedahan sebenar mengenai krisis kemanusiaan yang sangat serius sedang berlaku dan menimpa saudara Islam kita. Juga untuk menceritakan pengajaran yang beliau dapat, semoga ia memberi sedikit keinsafan dan kesedaran kepada kita. Bukan untuk menunjuk-nunjuk dan seangkatan dengannya. 

aku di kem the jungle 678

27 September 2016, aku telah terbang ke negara Perancis untuk mengambil bahagian dalam kerja sukarelawan di kem pelarian. Niat untuk menjadi sukarelawan sememangnya telah lama di dalam hati. Pernah sekali terbaca mengenai Rayyan Harries, sukarelawan Malaysia yang membantu pelarian di Greece, membuatkan aku teringin untuk menyumbang. Namun mungkin disebabkak kurangnya pendedahan, maka ia tertangguh. Juga disebabkan saluran yang tidak dihebohkan secukupnya membuatkan aku tidak tahu ke mana hendak pergi. 

pelarian kanak kanak

Mengapa pergi buat kerja sukarela sampai di luar negara?

Pasti ada yang akan bertanya, mengapa perlu menjadi sukarelawan jauh-jauh, di Malaysia kan banyak orang yang boleh kita tolong? Bagi aku sama sahaja, jika aku berfikiran begitu, siapa yang akan pergi membantu pelarian di luar negara? Sekurang-kurangnya orang susah dan gelandangan di sini masih ada negara dan kerajaan yang prihatin, masih ada lantai untuk dipijak yang milik sendiri, masih ada makanan untuk dikemis, masih ada keperluan asas, dan dikelilingi dengan orang kita yang sangat baik hati untuk menolong.

pelarian kanak kanak 2

Mereka? Tiada siapa. Hidup sehelai sepinggang, di sebuah negara yang tidak mengiktiraf mereka. Jika bukan kita, siapa lagi? Realitinya, 90% daripada pelarian di sana adalah saudara Islam kita, dan yang membantu pelarian-pelarian ini 95% daripadanya adalah beragama lain. Ke manakah kita di saat mereka perlukan kita?

Diterima menyertai kerja sukarelawan

hero malaysiaHero Malaysia, Jamalulail Ismail dan Sofinee Harun

Selepas mendapat cadangan daripada adikku supaya menyertai kerja sukarelawan membantu di kem pelarian di Calais, Perancis, aku terus menghubungi orang yang bertanggungjawab iaitu Puan Sofinee Harun, rakyat Malaysia yang mengasaskan projek "Kitchen in Calais" bersama suaminya, Tuan Jamalulail Ismail. (Boleh baca artikel mengenai pasangan suami isteri hebat ini di sini > Hero Malaysia di Persada Dunia. Setelah ditemuduga melalui e-mel, aku diterima untuk membantu di kem tersebut. 

Apa itu "Kitchen In Calais"?

img 20170716 024111

Projek ini adalah projek menyediakan makanan kepada pelarian-pelarian yang ada di kem tersebut. Ia bermula daripada hanya membekalkan alatan dapur, tetapi disebabkan projek itu tidak praktikal, ianya bertukar kepada menyediakan makanan. Segala perbelanjaan dari bahan mentah sehinggalah ia dituang ke dalam pinggan datang daripada sumbangan derma warga prihatin seluruh dunia. Dianggarkan kira-kira 1,500 hidangan disediakan setiap hari dengan anggaran kos £2 bersaman RM11 untuk satu hidangan.

Dari karavan hingga ke dapur

img 20170716 024520Bermulanya Kitchen in Calais dengan karavan ini

Bermula dengan memasak di dalam sebuah karavan, ia berkembang menjadi dapur yang lebih teratur. Apa yang lebih mencabar, dapur ini berada betul-betul di dalam kem pelarian tersebut, yang mana tiada pengawasan oleh pihak berkuasa. Ia seperti anda hidup bersama-sama pelarian di situ. Jika sesuatu perkara buruk terjadi, ia adalah tanggungjawab sendiri. Seperti berada di barisan hadapan dalam perperangan, yang tiada jaminan oleh mana-mana pihak. Hanya tawakkal dan berserah kepada Allah, dengan niat ingin membantu mereka.

Tiba di Perancis

Sesampainya aku di Perancis, hati berasa agak seronok, kerana pertama kali aku menjejakkan kaki di benua Eropah. Melihatkan tempat-tempat yang sangat popular di internet, seperti Eifel Tower dan sebagainya, entah bagaimana aku berasa pelik. Bagaimana di zaman yang serba moden dan di negara semaju ini, boleh wujudnya kem pelarian seteruk itu. Ke manakah kemanusiaan yang sepatutnya ada dalam diri kita.

sampai di calaisTiba di stesen keretapi Gare de Calais-Fréthun

Aku kemudiannya menaiki tren ke Calais. Aku dijemput oleh Hasan, seorang warga Perancis, yang mana keluarganya berasal dari Morocco. Aku terus dibawa ke kem tersebut. Sesampainya di kem itu, passport aku disemak oleh pegawai polis Perancis, yang mengawal di lorong yang menjadi pintu masuk kepada kenderaan dari luar. Dan juga pelarian tidak suka gambar mereka di ambil, jadi ia amat terhad, apa yang aku dapat ambil hanyalah curi-curi.

Menjejakkan kaki di tanah pelarian

sampai di kem pelarianDi pintu masuk kem pelarian Calais

Setelah semuanya selesai, aku dibawa masuk. Hati berdebar-debar. Tak pernah aku menyangka aku akan menjejakkan kaki di atas bumi yang didiami oleh pelarian dari pelbagai buah negara yang bergolak akibat peperangan. Sebelum ini aku hanya melihatnya dari kaca televisyen. Pandangan pertama aku, kem ini tidak ubah seperti sebuah kampung lama seperti di zaman 70-an, padahal ia adalah penempatan yang terletak di sebuah negara maju. Amat menyedihkan. Tiada tiang lampu maka tiada bekalan elektrik. Apabila tibanya senja, gelap gelitalah dunia mereka. Kecuali yang mempunyai generator, seperti kedai-kedai.

laluan masuk 754 688Lorong yang gelap tanpa bekalan elektrik

Untuk masuk ke destinasi, aku dibawa masuk melalui celah-celah lorong yang terhimpit oleh "rumah-rumah" pelarian ini. Semua mata memandang kereta yang kami naiki. Kelihatan wajah-wajah sayu dan penuh tanda tanya. Aku cuba alihkan pandangan.  Rumah-rumah mereka diperbuat daripada pelbagai bahan. Ada yang berkayu, ada juga yang hanya tinggal dalam khemah. Kepada yang bernasib baik, hidup di dalam karavan. 

calais jungle 452Pemandangan dari udara

Berkeluasan 1,000 meter x 500 meter pada mulanya, ia kemudian menjadi seluas 500 meter x 500 meter selepas tindakan pihak berkuasa Perancis. Hutan ini dihuni oleh lebih kurang 10,000 orang pelarian daripada pelbagai negara seperti Afghanistan, Syria, Iran, Iraq, Sudan dan juga Eretria.

Beberapa minit perjalanan mengharungi rumah-rumah ini, aku akhirnya tiba di dapur Kitchen in Calais. Ia berpagarkan kepingan aluminium yang dipacakkan ke atas tanah menjadi pagar. Ia bertujuan untuk memberikan keselamatan kepada sukarelawan.

Sampai di Kitchen In Calais

kitchen in calais 862Pintu pagar Kitchen in Calais

Ketika itu jam menunjukkan pukul 6.45 petang. Kelihatan berpuluh-puluh orang pelarian berbaris di hadapan dapur. Aku teringat bahawa ketika itu adalah masa untuk mengedarkan makanan. Aku jejakkan kaki dan terus masuk ke dalam kawasan berpagar. Setelah mengangkat barang masuk ke dalam karavan, aku bertemu dengan person in charge. Ketika itu, Sofinee Harun dan suami pulang ke England buat seketika, orang yang diberikan tanggungjawab untuk mengemudi kerja-kerja adalah anak mereka, Seif, yang ketika itu hanya berumur 13 tahun.

 Super Seif, sukarelawan cilik

ahmad seifSeif sedang memasak makanan untuk pelarian

Ya, masih sangat muda, namun tidak seperti kanak-kanak sebayanya. Mungkin kerana pengalaman hidup membuatkan Seif tidak seperti kanak-kanak. Ketika itu, Seif sudah tinggal di kem tersebut selama 6 bulan. Di awal penubuhan dapur ini, sebelum kehadiran sukarelawan, Puan Sofinee hanya dibantu remaja 13 tahun ini sahaja dalam kerja-kerja menyediakan makanan. Kerja yang mana perlu dilakukan sekurang-kurangnya 6 sukarelawan digalas oleh mereka dua beranak ini.

ahmad seif 2 219Baru berusia 13 tahun tetapi telah menyumbang kepada dunia

Ketika kanak-kanak lain seusia dengannya sedang berseronok bermain dan bergaul dengan rakan lain, Seif pula tinggal di dalam kem pelarian yang daif dan menghabiskan masanya dengan memasak makanan untuk diberikan kepada pelarian. Terlalu banyak beza antara dia dan yang lain jika kita hendak perkatakan. Anda fikirkan lah sendiri. Aku berumur 13 tahun pun masih tak reti nak urus diri lagi. Tabik spring untuk remaja ini. 

Edarkan makanan kepada pelarian

img20161005191031Soleh dan Seif sedang mengedarkan makanan kepada pelarian

Aku sampai tepat pada masanya kerana pengedaran makanan sedang dilakukan (setiap hari 6.30 petang) lalu terus diajarkan sedikit sebanyak mengenai selok-belok dan cara untuk memberikan makanan kepada pelarian. Nasi dari dalam periuk dicedok ke dalam pinggan, kemudian diletakkan sedikit kari kemudian diberikan kepada sukarelawan yang berada di tingkap.

Kredit video : Solehuddin Norman

Kemudiannya makanan itu diberikan kepada pelarian. Sebanyak lebih kurang 1,500 hidangan disediakan setiap hari, hanya sekali sehari. Itu sahaja yang termampu, mereka yang tak sempat dapat makanan, lebih dari 8,500 orang, perlulah mencari makanan sendiri. Ketika makanan sudah habis, seorang pelarian yang tidak mendapat makanan bertanya, "Mana makanan aku? Kenapa mereka dapat makanan dan tidak aku? Kenapa mereka yang lain dibantu dan aku tidak?,". Lidah terkelu untuk menjawab. 

Kem pelarian yang tidak diiktiraf

tempat tinggal 872Di sekitar kawasan kem yang tidak terjaga

Kem ini sebenarnya tidak diiktiraf oleh kerajaan Perancis, oleh itu tiada sebarang bantuan diberikan. Pelarian-pelarian ini bergantung hidup atas ihsan rasa kemanusiaan penduduk dari seluruh dunia. Untuk pengetahuan anda, kem ini digelar sebagai "The Jungle". 

Sebab kem ini digelar "The Jungle"

the jungle 787Keadaan tempat tinggal mereka yang menyedihkan

Ia diberikan gelaran "The Jungle" kerana ia tidak ubah seperti hutan yang tidak layak dihuni oleh manusia. Ada yang mengatakan ia tidak pun layak untuk dihuni oleh haiwan peliharaan. Terlalu daif dan serba tak cukup. Tiada keperluan asas untuk manusia hidup. Sepanjang 4 minggu di sana, aku sempat keluar dari kawasan dapur untuk melihat sendiri keadaan sebenar kehidupan pelarian. 

camp epa 646746 976

Air, elektrik, semuanya tak ada kerana tiada bantuan dari kerajaan Perancis. Memang seperti anda masuk ke dalam hutan yang hanya ada pokok, dan hidup. Ini 2017, tapi mereka terpaksa hidup macam zaman batu. Amat menyedihkan.

1445412477 402815 1445428741 noticia fotograma 652Sebelum sumber air bersih dipasang
img 20170716 025516 509Tandas awam terbuka di kem

Sebelum dipasang, tak ada sumber air bersih. Cuba bayangkan kehidupan anda sekarang tanpa bekalan air? Berapa lama boleh anda tahan? Ada di antara kita kalau tak gosok gigi sehari pun dah tak boleh hidup, apatah lagi kalau hidup macam ni.

kawasan sekitar kem 798

img20161003105955 550Aku menunggu giliran untuk buang air besar

Tandas yang ada disewa oleh badan NGO perancis dan dengan hanya ada lebih kurang 110 unit dikongsi oleh lebih 10,000 orang. Purata 90 orang berkongsi satu tandas, yang hanya dicuci sehari sekali. Tak ada pap air, kena bawak botol berisi air sendiri. Persekitaran yang tidak diketahui kebersihannya, dengan populasi yang tinggi. Pelbagai penyakit mudah sahaja untuk dijangkiti.

Pengalaman menggunakan tandas kongsi menguji kelakian

img20161003111244 573Pemandangan di dalam tandas 

Pertama kali aku menjejakkan kaki ke dalam tandas itu, membuatkan aku sendiri ketawa. Tergelakkan pergerakkan aku yang terlalu berhati-hati, takut tersentuh apa yang tidak sepatutnya disentuh. Bau jangan ceritalah, sampai hidung sentiasa ditutup. Aku boleh dikatakan seorang yang boleh tolak ansur dengan benda busuk, tapi yang ini, memang tak tahan.

Selepas lalui pengalaman itu, setiap kali aku rasa nak berak, akan ku tahan sehabis boleh. Bagi perempuan yang tak boleh nak berak di tandas awam di Malaysia tu, aku rasa memang akan termuntah, takpun akan tahan berak sampai bila-bila. Bayangkan bagaimana mereka yang hidup berbulan hingga bertahun disini. Amat memeritkan.

img 20161006 124235 546Kelihatan dua kanak-kanak perempuan mengikut ibunya mengambil air

Dan ketika menunggu giliran untuk berak, terlihat dua orang kanak-kanak perempuan berumur lebih kurang 3 dan 5 tahun yang mengikuti ibu mereka mengambil air. Mereka kelihatan gembira, tidak tahu apa-apa mengenai kehidupan yang mereka lalui setiap hari.

Khemah dan rumah kayu VS suhu -5 selsius

img20161008160144 29Terdapat ramai pelarian yang hanya tinggal di dalam khemah

Rumah-rumah hanyak diperbuat daripada kayu-kayu yang dipaku sendiri. Aku tak dapat bayangkan waktu malam bila tiba cuaca sejuk, bagaimana mereka tidur. Aku yang tidur di dalam karavan dan bilik yang mempunyai pemanas, berselimut tebal pun masih boleh rasa sejuk, ini apatah lagi mereka. Ada yang tak ada selimut. Bagi mereka yang hanya tidur dalam khemah, hanya mereka dan Allah sahaja yang tahu keperitannya.

img20161007110323 572Tak dapat bayangkan tinggal di khemah sebegini dengan cuaca yang sangat sejuk

Walaupun sangat sejuk ketika itu, tetapi masih belum paling sejuk. Cuaca disitu boleh mencecah serendah -5 darjah selsius. Air didalam paip sehingga membeku. Tak terbayang aku bagaimana mereka boleh hidup, namun disebabkan terpaksa, mereka masih disini. Kalau aku yang dewasa pun menggigil, macam mana pula dengan kanak-kanak? Anda yang tidur di rumah selesa itu bersyukurlah. Memang sangat beruntung.

calais1 799

rumah pelarian 722Rumah pelarian dari jarak dekat

Di dalam rumah atau khemas mereka biasanya tiada apa-apa melainkan tilam dan bantal. Itu sahaja. Cuba bayangkan anda hidup di dalam bangsal atau khemah, untuk berbulan dan bertahun lamanya. Di zaman serba internet dan serba canggih ini, pasti anda tak dapat nak hidup sehari tanpa internet, apatah lagi tanpa elektrik. Kebersihan pula anda boleh agak sendiri bagaimana kerana tiada keperluan asas kehidupan. 

rumah pelarian 2 38Keadaan di dalam rumah pelarian

Sesiapa yang selalu merungut mengenai kehidupan harian mereka, rumah kecil dan tak selesa, panas tak ada aircond, pasti akan insaf dan bersyukur jika diberi peluang hidup di sini hanya untuk satu hari.

Bersambung BAHAGIAN 2 : Pemuda Malaysia Ini Kongsi Pengalaman 4 Minggu Hidup Di Kem Pelarian Perancis - Bahagian 2


tags : , , , , , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)