doktor bawa organ

Kempen kesedaran untuk menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai salah seorang penderma organ kerap kali dilakukan, namun di negara kita kadar pendaftararan penderma organ masih jauh lebih rendah berbanding negara-negara luar.

Tanpa kita sedari, disebabkan kekurangan ini jugalah menjadi punca berlakunya kes-kes penyeludupan organ yang berlaku dalam pasaran gelap - menjadikan individu-individu yang tidak bernasib baik sebagai mangsa kumpulan tidak bertanggungjawab.

Secara statistiknya, di mana sebenarnya kedudukan Malaysia dalam perihal pendermaan organ ini? Adakah situasi di negara kita kritikal?

Pendermaan organ daripada perspektif agama Islam

senarai malaysia tunggu derma organ

Bagaimana pandangan Islam berkenaan hukum pendermaan organ? Wujud dua pandangan besar yang memberikan dua pandangan berbeza tentang isu ini, sama ada diharuskan, tidak diharuskan malahan ada juga pandangan yang menegahnya.

Majoriti cendekiawan Islam berpendapat bahawa pendermaan organ merupakan sesuatu yang harus, kerana tidak mendatangkan keburukan kepada si mati malahan memberikan kebaikan kepada penerimanya. Perkara ini menjadi lebih jelas, seandainya si mati semasa hidup sudah pun mewasiatkan untuk mendermakan organ sama ada melalui rekod pendaftaran rasmi, mahupun melalui wasiat.

Apa yang menjadi perbincangan besar adalah berkenaan status penderma organ yang tidak mempunyai sebarang rekod pendaftaran rasmi atau wasiat, tetapi organnya mahu didermakan oleh waris si mati; dengan banyak pandangan berbeza disuarakan apabila melibatkan situasi ini menyukarkan kita untuk membuat keputusan.

Apa yang jelas - menurut perspektif agama Islam khasnya di Malaysia, pemindahan organ tidak boleh berlaku seandainya pengambilan organ itu akan menyebabkan berlakunya kematian pada penderma. Organ yang boleh dipindahkan pula merangkumi organ besar seperti buah pinggang, jantung, mata, kulit dan sebagainya kecuali testis - dikhuatiri akan memberi kesan pada status sebenar zuriat.

Kaedah pendermaan organ yang diamalkan

ogan donation malaysia

Sebelum berbicara berkenaan negara paling cemerlang dalam isu pendermaan organ, kita perlu berbicara berkenaan sistem atau kaedah yang diamalkan di kebanyakan negara dalam merekodkan maklumat penderma organ.

Wujud tiga jenis kaedah yang diamalkan negara-negara seluruh dunia, yang pertama daftar masuk (opt-in), daftar keluar (opt-out) dan juga kebenaran secara senyap atau 'tacit consent.'

Sistem daftar masuk memerlukan seseorang itu mendaftar untuk meletakkan dirinya sebagai seorang penderma organ dan kaedah ini dikatakan paling baik daripada pandangan bakal penderma, kerana tidak ada sebarang bentuk paksaan dikenakan ke atas mereka. Seseorang yang mahu boleh mendaftar secara suka rela, bagaimanapun kelemahannya pula menyebabkan kadar penderma organ agak rendah.

Sistem daftar keluar pula merupakan polisi kerajaan di mana semua penduduk sesebuah negara perlu mendaftarkan diri mereka untuk keluar daripada senarai penderma. Di mana-mana negara yang mengamalkan dasar ini, semua penduduk negara itu dianggap bersetuju untuk menderma secara automatik dengan hanya daftar keluar mengeluarkan seseorang daripada senarai penderma.

Ada juga negara yang mengamalkan kaedah kebenaran senyap. Kebenaran untuk organ diambil bagi tujuan pendermaan dianggapkan telah berlaku, sekiranya penderma itu tidak membantah apabila diberikan pilihan untuk mendermakan organ. Bagaimanapun, kebenaran berbentuk ini biasanya hanya melibatkan pesakit yang berada pada tahap kritikal.

Negara terbaik dalam pendermaan organ

kadar penderma organ

Oleh kerana kewujudan tiga kaedah yang disebutkan dia atas, agak tidak mengejutkan bukan sekiranya kebanyakan negara yang mempunyai kadar tertinggi penderma organ, akan datang daripada negara yang mengamalkan sistem daftar keluar.

Sepanyol mendahului senarai dengan jumlah 46.9 penderma bagi setiap 1 juta penduduk, diikuti Portugal dengan 34.01, Belgium 33.62 dan Croatia dengan kadar 33 bagi setiap sejuta orang. Kesemua empat negara ini mengamalkan sistem daftar keluar, di mana setiap warganegara di anggap bersetuju untuk menjadi penderma - melainkan mereka mengemukakan permohonan keluar daripada senarai.

Apa yang memeranjatkan, Amerika Syarikat menjadi satu-satunya negara kelima teratas pada kadar 31.96 penderma bagi setiap sejuta orang - dengan mengamalkan sistem daftar masuk. Apa rahsia mereka? Sistem kerjasama di antara US Organ Procurement Organization dan hospital-hospital yang ada berjaya menggalakkan warga USA untuk masuk mendaftar sebagai penderma, dengan peningkatan mendadak 30% daripada tahun 2013 hingga 2018.

statistik organ donor

Di sebalik kejayaan ini adalah dasar yang dinamakan sebagai Uniform Anatomical Gift Act atau UAGA, yang mengawal selia semua urusan pendermaan organ di negara tersebut melalui dua cara. Yang pertama adalah penawaran pendermaan organ yang disahkan oleh individu sebelum beliau meninggal dunia sama seperti proses daftar masuk biasa. Yang kedua, adalah permohonan yang boleh dilakukan oleh pihak US Organ Procurement Organization atau hospital sendiri - bagi mendapatkan organ pesakit selepas kematian berlaku.

Pengenalan dasar UAGA ini membolehkan pihak perubatan mempunyai dua waktu secara rasmi di mana mereka mungkin berpeluang mendapatkan organ - sama ada melalui daftar masuk individu atau melalui kebenaran waris. Berikutan pengenalan sistem ini yang diperkenalkan sejak 1987 sebelum dipinda pada tahun 2009, 142 juta orang telah mendaftar sebagai penderma sehingga Januari 2018 - mewakili 54% keseluruhan populasi dewasa negara tersebut.

Di mana Malaysia? Sehingga Ogos 2018, kadar penderma organ di negara kita hanya berada pada tahap 0.6 orang bagi setiap sejuta penduduk. Senarai menunggu penerima organ kita pula berada pada kadar 21,000 ke 25,000 setiap tahun - masih menunggu sekiranya ada pihak yang sudi menjadi penderma kepada mereka.

Rujukan

Organ Donation: Opt In and Opt Out Strategies



Hakcipta iluminasi.com (2017)