Oleh pada 02 Apr 2018 kategori

Gaji minimum merupakan satu topik yang kerap menjadi hangat apabila dibincangkan, dengan ada pihak akan mempertahankan kenaikan manakala ada pihak yang akan cuba menyeimbangkan pengaruh buruk kenaikan terhadap ekonomi negara kita.

Persoalannya; apa sebenarnya kesan kenaikan gaji minimum kepada ekonomi negara?

Bagi negara seperti Amerika Syarikat, mereka menjalankan dasar yang lebih memberikan kebebasan pada kerajaan negeri untuk membuat dasar sendiri. Atas sebab itu, undang-undang yang ada pada peringkat bandar dan negeri di Amerika Syarikat boleh berbeza-beza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebanyakan negeri di Amerika Syarikat sedang mengkaji dan bereksperimen berkenaan kenaikan gaji minima, bagi mengenalpasti kesan, varian dan masalah yang berkemungkinan timbul, sama ada dari segi baik dan buruk. Sedikit sebanyak kita boleh mengambil apa yang telah berlaku di Amerika Syarikat hasil perubahan terhadap gaji minima, sebagai panduan kepada kita untuk tidak terburu-buru melakukan sesuatu perubahan tanpa kajian.

Gaji minima naik lebih baik atau buruk?

pekerja kilang terima gaji minima

Bagi media dan aktivis masyarakat, perbincangan tentang gaji minima adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Dalam dunia yang mudahnya disebarkan hasil kajian dan laporan ekonomi, amat mudah untuk kita mendapatkan bukti dan isi, untuk menyokong hujah bagi memperkukuhkan pandangan kita. Bagaimanapun, persepsi selalunya kurang tepat untuk mengukur keberkesanan kenaikan gaji minima.

Sudah wujud beberapa kajian dijalankan bagi menentukan keberkesanan gaji minima apabila dinaikkan.

Antaranya kajian kesan kenaikan gaji minima di Seattle yang dijalankan selama 3 tahun. Kumpulan penyelidik telah menjadikan restoran bukan francais sebagai kawasan kajian dan hasil kajian mereka menunjukkan berlaku pengurangan kepada pengambilan pekerja, selepas kenaikan pada gaji minima dilakukan.

Bukan setakat itu sahaja kesannya. Pada tahun kedua dan ketiga kajian, oleh kerana gaji yang perlu ditanggung pengurusan restoran meningkat, pekerja terpaksa diminta memotong masa bekerja, bagi menurunkan jumlah amaun yang perlu dibayar pada mereka yang bekerja mengikut jam.

Sebuah kajian lebih baru dibentangkan di American Economic Association Conference pula mendapati wujudnya kesan buruk yang tidak dijangkakan berlaku, selepas kenaikan gaji minima. Kajian yang dijalankan di California mendapati kenaikan gaji minima daripada $6.75 pada tahun 2006 kepada $10.50 pada tahun 2017, sebenarnya membuatkan jumlah pekerja yang diambil syarikat, menurun sebanyak 22 peratus.

Kesan positif kenaikan gaji minima

pekerja asing diterima gaji minima

Dua kajian ini membuktikan wujudnya kesan buruk akibat kenaikan gaji minima namun terdapat juga beberapa kajian yang membuktikan kesan positif kenaikan amaun gaji minima.

Satu kajian jangka panjang yang dilakukan daripada 1979 hingga 2016 di beberapa buah negeri, mendapati berlaku pertambahan peluang pekerjaan yang mampu membayar lebih tinggi berbanding gaji minima selepas gaji minima dinaikkan Kadar pertambahan ini pula sama kadarnya dengan jumlah pekerjaan yang berkurangan disebabkan perubahan pada gaji minima.

Penyelidik menyimpulkan kenaikan gaji minima yang kecil sepatutnya tidak akan menutup banyak peluang pekerjaan, dengan kenaikan gaji minima sebanyak 50 peratus hanya akan mengurangkan peluang pekerjaan sebanyak 3 peratus, menurut kajian mereka.

Sebuah kajian lain yang dilakukan di tujuh bandar : Chicago, Oakland and San Jose, California, Washington dan San Francisco pula mendapati tidak ada perubahan besar yang signifikan pada jumlah pekerjaan bergaji minima seperti industri makanan, ekoran kenaikan gaji minima.

Kajian terakhir pula cuba mengkaji kesan kenaikan gaji minima pada perspektif berbeza - melihat kesannya ke atas jumlah individu yang dipenjarakan. Penyelidik berpendapat wujud hubung kait di antara pendapatan yang bertambah dengan penurunan risiko seseorang dipenjarakan atas sebab jenayah. Sekiranya dibuktikan benar, ini menunjukkan pertambahan pada pendapatan akan menyebabkan penurunan kadar jenayah.

Kesimpulan yang boleh kita dapat

isu masalah gaji minima di malaysia

Penyelidikan kumpulan ini membuktikan wujud kesan positif kenaikan gaji minima dengan penurunan golongan banduan di bandar-bandar tersebut. Kenaikan gaji minima sebanyak 8 peratus dilaporkan mampu membuatkan kebarangkalian seseorang menjadi bakal penjenayah menurun sebanyak 2 peratus. Hasil penyelidikan mereka membuktikan wujud kesan signifikan positif sekiranya gaji minima ditingkatkan.

Walau apa pun pandangan anda, kesemua penyelidikan yang dijalankan ini mempunyai kesimpulan pada skop yang terhad berikutan ruang sampel yang boleh berubah-ubah atau bergantung kepada sampel terpilih yang boleh dipertikaikan.

Jadi tidak ada kesimpulan dapat dibuat berkenaan isu gaji minima dan kesannya. Kalau begitu, mengapa artikel ini ditulis?

Artikel ini cuba menjelaskan kepada anda semua akan wujud pelbagai kesan sekiranya kenaikan gaji minima dilaksanakan di Malaysia, baik dan buruk. Pihak yang khuatir pasti melihat sudut negatif dan menentang pelaksanaannya, sementara bagi penyokong pula pasti melihat kenaikan gaji minima adalah kunci kepada semua masalah.

Apa yang dikhuatiri dalam mengambil kenaikan gaji minima sebagai solusi adalah kesan jangka panjang yang tidak dapat ditanggung syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana, yang terdedah kepada risiko pengecilan jumlah pekerja serta mungkin juga penguncupan atau lebih teruk, penutupan perniagaan.

Langkah yang lebih dalam meneliti isu gaji minima ini, adalah dengan terus melihat hasil kawasan atau bandar di luar negara yang telah melaksanakan kenaikan, lalu diselidik kesan buruk dan baiknya.

Langkah menaikkan gaji minima terlalu besar dalam masa terlalu singkat akan menyebabkan kesukaran bersaing pada masa hadapan, tidak menaikkan gaji minima pun akan menyebabkan produktiviti pekerja kekal berada ditakuk tertentu sahaja.

Kerajaan perlu mengambil langkah bijak dalam menyeimbangkan kesan baik dan buruk menaikkan gaji minima kerana sudah terbukti, kenaikan gaji minima bukanlah satu-satunya solusi kepada masalah kos sara hidup orang ramai.


Artikel ini adalah terjemahan kepada artikel 'Be careful when raising minimum wages' yang diterbitkan oleh Bloomberg.




Hakcipta iluminasi.com (2017)