Dengan bermulanya pembukaan sempadan negara selepas memasuki fasa endemik Covid-19, ramai rakyat dan pelancong yang mula merancang atau sudahpun mula menjelajah ke seluruh pelosok dunia.
Bagaimanapun, sebelum anda bertolak ke mana-mana negara asing, sudah pasti anda akan mengkaji terlebih dahulu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat di negara tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Jika anda memilih untuk menyewa kenderaan dan memandu sendiri apabila tiba di destinasi, pastikan anda fahami dahulu peraturan dan undang-undang trafik di sana. Ini disebabkan terdapat pelbagai prosedur yang mungkin berbeza daripada undang-undang negara kita. Jangan sampai tersilap langkah kerana anda mungkin boleh disaman atau ditangkap pihak berkuasa.
Kami kongsikan beberapa undang-undang dari negara lain yang mungkin anda bakal kunjungi.
1. Jerman
Tidak hairan jika dikatakan lebuh raya paling terkenal di dunia mungkin adalah autobahn yang terletak di Jerman. Hal ini demikian kerana di majoriti kawasan di sepanjang lebuh raya tersebut, tiada pematuhan had laju yang dikenakan. Pemandu bebas memandu mengikut kelajuan yang selesa buat mereka.
Bagaimanapun, sebelum memasuki laluan autobahn ini, setiap pemandu perlulah memastikan minyak kenderaan sentiasa mencukupi kerana mereka tidak dibenarkan berhenti sewenang-wenangnya di tepi lebuh raya dan ia menjadi suatu kesalahan lalu lintas.
Selain itu, pemandu dilarang memotong di bahagian kanan. Kenderaan yang bergerak perlahan perlu sentiasa berada di lorong kanan untuk memberi laluan kepada kenderaan yang lebih laju di sebelah kiri.
2. Alabama, Amerika Syarikat
Seorang pemandu yang waras tidak akan pernah terfikir untuk memandu sambil menutup mata dengan kain. Secara logik, sudah semestinya perbuatan sebegitu mengundang bahaya dan tidak perlu dijadikan undang-undang.
Berlainan pula ceritanya di Alabama, Amerika Syarikat. Mungkin masyarakat di sana kerap ditangkap memandu sambil menutup mata sehinggakan kerajaan negeri terpaksa menggubal undang-undang khusus untuk mengelakkan pemanduan berbahaya sebegitu.
3. Thailand
Walaupun Thailand terkenal sebagai lokasi pelancongan tepi laut namun para pengunjung dinasihatkan agar memakai baju terlebih dahulu apabila memandu menuju ke pantai atau sebelum bergerak pulang ke tempat penginapan.
Hal ini disebabkan undang-undang negara itu melarang sebarang aksi tidak sopan atau tidak memakai baju di khalayak ramai. Sekiranya didapati bersalah, pelaku boleh didenda tidak melebihi 500 baht (RM62).
4. Sweden
Di Sweden dan beberapa negara Scandinavia lain, pemandu diwajibkan memasang lampu kenderaan walaupun pada waktu siang. Penggunaan Daytime Running Light (DRL) pada kereta sudah menjadi satu perkara biasa bagi pemandu di sana.
Cuaca yang tidak menentu dan keadaan yang gelap sepanjang hari semasa musim sejuk menyebabkan undang-undang ini dikenakan sebagai langkah keselamatan bagi semua pemandu yang berada di atas jalan raya.
5. Cyprus
Jika anda sudah biasa makan atau minum kopi dalam kenderaan sewaktu dalam perjalanan ke mana-mana, anda mungkin sukar menyesuaikan diri di Cyprus. Di sana, perbuatan makan dan minum semasa memandu adalah dilarang sama sekali kerana dilaporkan boleh mengakibatkan pemandu kehilangan fokus.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat, sebanyak 80% kemalangan dan 65% hampir kemalangan adalah disebabkan makan sambil memandu.
Selain itu, pemandu dilarang merokok sekiranya terdapat kanak-kanak di bawah 16 tahun di dalam kenderaan.
6. Filipina
Di Manila, pihak berkuasa Lembaga Pembangunan Metropolitan Manila (MMDA) telah pun menguatkuasakan undang-undang pengekodan nombor plat yang berjaya mengurangkan kesesakan trafik di bandar tersebut sehingga 20 peratus.
Mengikut peraturan itu, kenderaan dengan nombor plat berakhir dengan 1 dan 2 tidak boleh menggunakan jalan raya pada waktu sibuk setiap Isnin; nombor akhir 3 dan 4 dilarang masuk pada setiap Selasa; nombor 5 dan 6 pada hari Rabu; 7 dan 8 pada hari Khamis; serta 9 dan 10 pada setiap Jumaat.
Ini bermakna, jika nombor plat anda adalah WYU5235, maka anda tidak dibenarkan memandu di bandar Manila pada setiap hari Rabu.
Terkini, MMDA bercadang untuk mengurangkan lagi kadar kesesakan trafik sehingga 40 atau 50 peratus dengan penggunaan plat berakhir nombor ganjil atau genap pada hari-hari tertentu sahaja.
7. Jepun
Semasa musim hujan, jalan-jalan mungkin akan dinaiki air dan dipenuhi lopak berlumpur. Di negara yang sangat mementingkan adab dan budi bahasa seperti Jepun, pejalan kaki sering diberikan keutamaan berbanding pemandu.
Menurut undang-undang di sana, sekiranya anda memandu dan memercikkan air kepada mana-mana pejalan kaki, anda boleh dikenakan denda sebanyak 6,000 yen (RM205). Selain membayar denda, anda juga perlu membayar kos membersihkan pakaian bagi mangsa.