Dianggarkan seramai 3,400 orang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya setiap hari. Ini bermakna sekitar 1.25 juta orang menemui maut akibat kemalangan jalan raya di seluruh dunia setiap tahun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak satu pertiga daripada jumlah kematian ini adalah disebabkan oleh pemanduan melebihi had laju. Lebih menyedihkan apabila sebahagian besar daripadanya melibatkan pemandu muda.

Banyak negara telah cuba memikirkan jalan terbaik untuk menangani masalah ini dengan mewujudkan pelbagai inisiatif yang inovatif untuk menghalang para pemandu daripada memecut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sistem "Day Fine"

Di Finland misalnya, saman melebihi had laju (melebihi 20km/j) akan dikenakan mengikut pendapatan pemandu. Pihak berkuasa di sana menggunakan sistem "denda harian" (Day Fine) yang dikira berdasarkan pendapatan boleh guna harian pesalah iaitu gaji yang telah ditolak bayaran keselamatan sosial, cukai dan kos sara hidup sekitar €255 (RM1,200) sebulan.

Secara umumnya, anggaran nilai kiraannya adalah jumlah gaji harian yang dibahagi dua. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa lebih tinggi kadar had laju yang dilanggar, maka lebih banyak gandaan bilangan 'hari' yang dikenakan. Kadar minimum satu "Day Fine" tidak boleh bernilai kurang daripada €6 (RM28) dan setiap tanggungan di bawah jagaan pesalah akan mendapat rebat sebanyak €3 (RM14) daripada nilai "Day Fine."

kamera akan menangkap kenderaan yang melebihi had laju

Kesimpulannya, lebih tinggi gaji anda, maka lebih tinggilah nilai "Day Fine" tersebut dan lebih laju anda memandu, maka semakin tinggilah jumlah saman yang anda perlu bayar.

Disebabkan itulah banyak berita menggemparkan tentang jumlah saman mencekik darah yang dilayangkan kepada pemandu-pemandu kaya. Pada tahun 2002, bekas pengarah Nokia, Anssi Vanjooki, menerima arahan supaya membayar saman berjumlah 116,000 euro (RM547,000) selepas kamera menangkap gambarnya menunggang motosikal selaju 75km/j di jalan dengan had kelajuan 50km/j.

Pada tahun 2015, usahawan Finland iaitu Reima Kuisla pula disaman sebanyak 54,000 euro (RM255,000) kerana memandu lebih 22km/j daripada had laju sepatutnya iaitu 50km/j.

reima kuisla usahawan finland menerima saman tinggi akibat memandu melebihi had laju

Pelaksanaan di negara lain

Namun begitu, Finland bukanlah satu-satunya negara yang mengamalkan "hukuman progresif" sebegini bagi kesalahan had laju. Switzerland juga menggunakan sistem yang seumpamanya. Malah, negara ini kini masih memegang rekod dunia dengan jumlah saman termahal yang pernah dikenakan kepada seorang pemandu dari Sweden pada tahun 2010.

Pesalah tersebut ditangkap memandu pada kelajuan 290km/j hingga menyebabkan dia didenda 3,600 Swiss francs sehari untuk 300 hari. Maka, jumlah saman yang perlu dibayar adalah sekitar 1,080,000 Swiss francs (RM4.5 juta).

polis dengan kamera had laju saman

United Kingdom pula telah memperkenalkan penalti bagi kesalahan had laju yang lebih ketat pada tahun 2017. Pemandu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga 175% daripada jumlah pendapatan mingguan, mengikut skala gelongsor bergantung kepada betapa teruk kesalahan tersebut. Walau bagaimanapun, jumlahnya dihadkan kepada £2,500 (RM13,242).

Negara-negara Eropah telah menjadi pelopor kepada penggubalan undang-undang pemberian saman dalam jumlah yang besar. Selain itu, mereka juga telah memulakan hukuman lain seperti menarik balik lesen, mengimpaun kenderaan serta memenjarakan pemandu.

Hukuman vs Pemulihan

Perancis, Finland, Sepanyol dan Jerman semuanya mempunyai undang-undang yang boleh memenjarakan pengulang laku bagi kes memandu melebihi had laju.

Konsep hukuman sedemikian menjadi mekanisme utama yang diguna pakai oleh majoriti negara di dunia untuk membanteras kes kesalahan seumpamanya. Akan tetapi, ada juga beberapa negara yang cuba melaksanakan kaedah-kaedah yang lebih positif untuk melindungi pengguna jalan raya serta menggalakkan pemanduan berhemat.

Sebagai contoh, sebagai salah satu langkah mencapai kempen kematian kemalangan sifar sebelum tahun 2020, Sweden telah mengetatkan undang-undang jalan raya di negara tersebut dan pada masa yang sama menaik taraf kemudahan infrastruktur di sana.

sweden menambah bilangan bulatan dan mengurangkan persimpangan di negara itu

Menurut WHO, hampir separuh daripada statistik kematian akibat kemalangan jalan raya itu merupakan "pengguna jalan raya yang mudah terdedah pada bahaya" iaitu pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal. Disebabkan itu, Sweden kini membina lebih banyak bulatan, mengurangkan bilangan persimpangan dan membuat sedikit perubahan di mana kenderaan tidak boleh membelok atau membuat pusingan U di kawasan lintasan zebra.

Selain itu, Sweden juga sedang dalam proses membina lebih banyak jejantas untuk pejalan kaki dan mengubah laluan penunggang basikal supaya berlawanan dengan arah trafik.

keselamatan pengguna jalan raya yang lebih berisiko dapat dikurangkan jika pemandu lain memandu secara berhemat

Inisiatif syarikat insurans

Di United Kingdom, syarikat-syarikat insurans menggunakan teknologi untuk lebih menggalakkan pemanduan berhemat di kalangan pengguna jalan raya. Sistem Telematics yang juga dikenali sebagai perakam kotak hitam boleh dipasang pada kenderaan untuk memantau cara dan gaya pemanduan seseorang. Pengguna yang disasarkan adalah golongan pemandu muda yang baru mendapat lesen kerana kumpulan ini adalah yang paling kerap membayar premium tinggi bagi insurans kenderaan.

Kotak hitam boleh dipasang tanpa sebarang kos tambahan. Malah, pihak syarikat insurans juga menawarkan diskaun istimewa bagi premium insurans sebagai sebahagian sistem ganjaran untuk memberi dorongan kepada pemandu supaya memandu secara berhemat.

pemasangan black box pada kenderaan pemandu yang baru belajar memandu

WHO membuat jangkaan yang bilangan kemalangan jalan raya di seluruh dunia akan semakin meningkat disebabkan lebih ramai orang di negara-negara membangun akan mampu memiliki kenderaan.

Pendekatan yang lebih inovatif sebagai penggalak pemanduan berhemat dan mencegah pengguna jalan raya daripada memandu dengan laju adalah sangat penting sekiranya dunia ingin mencapai sasaran Agenda Pembangunan Mampan 2030 dalam mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)