Kredit foto asal: Instagram.com/umminazeera & Astro Shaw / malaysiakini.com
Pelakon Ummi Nazeera mengakui meremang bulu roma ketika menjayakan babak dibaluti kain kafan menerusi lakonan dalam filem terbarunya, 'Bisik Pada Langit'.
Menurut Ummi, babak berkenaan memerlukan kawalan minda supaya dapat kekal fokus.
Ini merupakan antara babak yang mencabar kerana saya mempunyai klaustrofobia iaitu takut pada ruang yang sempit dan tertutup.
Jadi saya perlu tenangkan diri supaya tidak panik dan mengawal minda untuk terus fokus sepanjang melakonkan babak berkenaan.
Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan saya akui babak ini memberikan pengalaman berbeza untuk saya.
Bagaimanapun ketika dikafankan, hati saya terdetik begini agaknya rasa kalau kita sudah tiada nanti.
Sementara itu, Ummi berkata pelakon veteran Jalil Hamid banyak memberikannya pertolongan dan tips demi memastikan adegan tersebut seakan benar-benar terjadi.
Bukan senang untuk melakonkan watak meninggal dunia, walaupun pejam mata secara tidak langsung bebola mata pasti akan kelihatan bergerak-gerak.
Bagaimanapun Uncle Jalil memberikan tips untuk membantu saya, katanya untuk menampakkan babak tersebut ‘real’, saya perlu menutup mata sambil menjulingkannya.
Memang benar cara itu berkesan dan saya amat berterima kasih kepadanya.
Filem terbitan Astro dan Nusantara Seni Sdn Bhd itu akan memulakan tayangannya di pawagam pada 21 September ini.
Filem 'Bisik Pada Langit' yang diarahkan oleh Kabir Bhatia ini turut dibintangi oleh pelakon berwibawa lain seperti Jalil Hamid, Datin Fadilah Mansor, Beto Kusyairi, Na’im Daniel dan Erwin Dawson.
Sumber berita: astrogempak.com.my