Oleh pada 29 Jul 2018 kategori

Artikel ini ditulis oleh saudara Bernard Ng yang diterima oleh pihak iluminasi.com menerusi e-mel dan telah disunting bagi memudahkan pembacaan.

Bernard Ng adalah rakyat Malaysia yang merupakan graduan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC). Kini beliau sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang antropologi di Universiti Kebangsaan Taiwan.

Tujuan penulisan artikel ini adalah bertujuan untuk memperjelaskan tanggapan yang salah terhadap sistem UEC mengenai isu Bahasa Melayu dan juga subjek Sejarah.


Isu salah tanggapan jauh lebih penting dari isu pengiktirafan

adakah uec menyukarkan penyatuan negara

Persoalan saya bukan tentang sama ada Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) patut diiktiraf oleh kerajaan, walaupun ini salah satu daripada isi manifesto BN dan PR semasa PRU14.

Saya cuma tidak senang hati terhadap alasan-alasan yang dibentangkan iaitu:

  1. Kelemahan pemegang UEC dalam BM
  2. Sistem pendidikan majmuk (dan subjek sejarah yang diajar) menghalang perpaduan negara

Apa yang saya ingin bincangkan adalah dua salah tanggapan ini, bukan isu pengiktirafan. Sesetengah pihak mempunyai salah faham yang banyak tentang sistem UEC.

Mereka beranggapan bahawa semua pemegang UEC tidak menduduki peperiksaan SPM. Sebenarnya, kebanyakan sekolah menengah pensendirian cina (SMPC) mendasarkan kedua-dua sukatan pelajaran, iaitu SPM dan UEC.  

Isu Bahasa Melayu

protes bahasa melayu

Ulasan yang sering didengar adalah kekurangan penggunaan BM dalam SMPC. Ini menyebabkan kelemahan Bahasa Melayu dalam kalangan SMPC.

Saya bersetuju dengan peranan Bahasa Melayu dalam proses menyatukan negara. SMPC juga mengajar Bahasa Melayu dan kesusasteraan.

Misalnya, "Sejarah Melayu" turut diajar. Dalam kes saya, saya belajar Pendidikan Moral SPM, Sejarah SPM, KHB (kemahiran hidup bersepadu) PMR, Geografi PMR, termasuk Bahasa Melayu.

Saya memperoleh 11A dalam peperiksaan SPM dan ini termasuk kedua-dua mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di mana saya mendapat A1.

Ada yang berpendapat bahawa penggunaan Bahasa Melayu adalah sangat minimum di SMPC, dengan anggapan semua pelajar SMPC ialah orang berbangsa Cina.

Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan Bahasa Melayu adalah kurang di SMPC, tetapi “kurang” bukan bermaksud “langsung tiada”.

Dasar sekolah dan metodologi pengajaran guru memainkan peranan yang lebih penting.

Misalnya, guru moral saya mampu bertutur dalam Bahasa Mandarin, tapi beliau mematuhi prinsipnya: hanya membenarkan Bahasa Melayu digunakan dalam kelas.

pelajar dari kalangan pelbagai bangsa

Dengan usaha sebegini, barulah tahap penguasaan Bahasa Melayu kita meningkat.

Dalam isu kemahiran Bahasa Melayu, sikap keluarga Cina memainkan peranan yang sangat penting. Sikap memandang rendah terhadap Bahasa Melayu wujud dalam diri sesetengah pelajar Cina, sama ada di sekolah menengah kebangsaan (SMK) ataupun SMPC.

Sikap ini menyebabkan mereka mengelak daripada menggunakan Bahasa Melayu walaupun pelajar SMK lebih berpeluang untuk mempratikkan penggunaan Bahasa Melayu.

Terdapat juga sesetengah graduan SPM dalam kalangan rakan Cina saya mempunyai penguasaan Bahasa Melayu yang lebih lemah berbanding dengan saya.

Subjek sejarah dalam sistem UEC

Mata pelajaran sejarah dalam sistem UEC mengandungi 57.36% sejarah Malaysia dan 42.64% sejarah dunia. Anggapan bahawa “sejarah dunia” ini semuanya sejarah negara China adalah tidak benar.

Sejarah dunia termasuk Sejarah Islam, Yahudi, Kristian, Hindu dan Buddha kerana semua ini merupakan agama utama di dunia.

Sejarah empat tamadun utama dunia turut diajar, termasuklah sejarah tamadun Cina. Tamadun Cina, Indus, Mesir Purba dan Mesopotamia adalah harta milik seluruh dunia.

buku sejarah tingkatan 5 spm

Bukankah pemikiran antarabangsa dan pemahaman kepelbagaian budaya amat penting dalam zaman globalisasi ini?

Mari kita bincangkan sejarah tempatan. Adakah isi kandungan sejarah SPM lengkap dalam pelbagai segi? Sejarah SPM mengutamakan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka, Johor dan Malaya.

Sejarah Kedah Tua dan Langkasuka tidak diutamakan. Adakah ini disebabkan oleh agama-agama negara tersebut adalah Hindu atau Buddha?

Sistem Jajahan dan Sistem Dato di Sabah dan Sarawak semasa Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu turut diabaikan. Sejarah Kesultanan Sarawak dan ciptaan sistem tulisan Orang Iban (seperti Orang Maya) tidak disebut langsung.

Sejarah Orang Asli di semenanjung dan sejarah mereka dijadikan sebagai hamba turut tidak dinyatakan. Perjanjian Malaysia 1963 pun tidak diberi perhatian. Itu kononnya "Sejarah Malaysia" dalam SPM.

Walaupun sejarah UEC tidaklah begitu menyeluruh, namun sekurang-kurangnya agenda “Malayisation”, “Malayanisation” dan “Islamisation” kurang ketara.

Adakah tiga prinsip ini definisi tunggal perpaduan negara kita? Ini soalan saya untuk perbincangan masa depan.

Mengikut sistem pendidikan negara China?

republik china dan republik rakyat china

Sesetengah pihak dengan membuta tuli menuduh bahawa UEC mengikut sukatan pelajaran “negara Cina” dengan sepenuhnya. Sebelum kita memastikan kebenaran tuduhan ini, kita perlu memastikan negara Cina yang mana dirujuk oleh mereka.

Adakah ia Republik China (Taiwan) atau Republik Rakyat China (China)? Sebenarnya, dasar pendidikan kedua-dua negara ini berubah sepanjang masa. Pengkritik perlu menunjukkan tempoh dasar pendidikan yang dirujuk.

Saya kurang pasti bagaimana sesetengah pemimpin tinggi mencapai kesimpulan sebegitu.

Jika UEC mengikuti sistem dari negara China, tidak mungkin pelajar-pelajar dari negara tersebut masih sentiasa keliru dengan konsep “Malaya” dengan “Malaysia”, ataupun istilah “Orang Melayu” dengan “Orang Malaysia”.

kumpulan pembantah pengiktirafan uec

Terdapat salah tanggapan bahawa UEC diiktiraf di negara China dan Taiwan kerana mengikuti sukatan pelajaran negara tersebut sepenuhnya. Hakitatnya, UEC bukan diiktiraf sekadar di China dan Taiwan sahaja.

UEC juga diiktiraf di Ireland, Hong Kong, Singapura, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Perancis, Jepun, United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada dan banyak lagi.

Adakah ini juga bermakna UEC turut mengikuti sukatan pelajaran semua negara di atas?

Perpaduan sukar dicapai jika terdapat sistem persekolahan majmuk?

sekolah tamil di malaysia

Sesetengah pihak berpendapat bahawa sistem persekolahan yang berlainan menghalang interaksi antara kaum. Pada pendapat saya, sekolah bukanlah lokasi tunggal interaksi antara kaum berlaku.

Interaksi antara kaum juga berlaku dalam kalangan jiran tetangga, saudara-mara, di tempat ibadat dan rekreasi. Cadangan diberi bahawa menyatukan sistem persekolahan adalah cara yang terbaik dalam perpaduan negara.

Apakah pendirian pencadang terhadap sekolah agama? Sekolah agama juga berlainan dengan sekolah kebangsaan. Saya mempertahankan kewujudan sekolah agama, asalkan nilai bertolak-ansur dan saling menghormati diajar.

Agama seperti Islam juga mementingkan nilai-nilai positif. 

Perpaduan negara tidak semestinya wujud selepas sistem selain daripada SMK dihapuskan. Ambil negara yang digemari oleh para pengkritik, iaitu Taiwan. Sistem persekolahannya hanya tunggal, tapi adakah rakyatnya bersatu-padu?

Dua ideologi politik yang amat berbeza, iaitu bersatu dengan Tanah Besar China dan merdeka sebagai Negara Taiwan, adalah agak ketara dalam semua sudut kehidupan.

Andainya pemegang UEC sememangnya mengikuti sistem persekolahan Taiwan sepenuhnya, sepatutnya terdapat dua ideologi politik yang berbeza di kalangan pelajar UEC. Tapi hakitatnya, perbezaan ideologi politik ini tidak ketara.

Contoh Taiwan digunakan kerana saya mengikuti sistem pendidikannya selama dua tahun, barulah saya rasa saya cukup layak untuk mengutarakan pendapat.

rakyat sarawak bersatu padu

Saya tidak memberi contoh negara lain dengan sesuka hati berdasarkan bacaan media sahaja.

Laporan media tidak semestinya menyeluruh dan saksama. Justeru itu, saya berani mengemukakan perkara berkenaan isu UEC kerana saya mempunyai pengalaman menjalani dan mempelajari kedua-dua sukatan pelajaran UEC dan SPM.

Biar saya jelaskan dengan contoh yang kita fahami. Mengapakah pengiktirafan UEC di Sarawak selama dua tahun ini tidak menimbulkan kebimbangan seperti di semenanjung?

Bukankah sistem pendidikan Sarawak majmuk dan mengapa perpaduan dan keharmonian kaum di Sarawak jauh lebih kukuh berbanding dengan negeri-negeri di semenanjung?

Sarawak mempunyai banyak persamaan dengan negeri lain jika dibandingkan dengan luar negara. Kenapa kita tidak belajar dari negeri ini? Bukti ini lebih kukuh berbanding dengan percubaan (penyatuan sistem) yang dicadangkan.

Adakah kaedah yang lebih baik?

cerita ola bola memaparkan penyatuan kaum melalui sukan

Perpaduan negara boleh dicapai melalui kegiatan sukan atau seni di peringkat daerah, negeri atau negara. Pada hemat saya, sukan merupakan kaedah yang paling berkesan dan sesuai setakat ini.

Cuba lihat dalam pertandingan badminton di antara LCW menentang Lin Dan, pihak manakah yang disokongi oleh masyarakat Cina Malaysia?

Cuba lihat dalam kejohanan FIFA World Cup, pertandingan bola sepak mampu menyatukan rakyat seluruh negara dengan senang tanpa kebimbangan.

Pihak-pihak yang selalu membangkitkan isu-isu sensitif kaum dan agama perlu dikritik dulu, seperti titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V pada sesi parlimen terbaru ini.

Saya agak bersetuju dengan pendapat Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik. Terdapat banyak salah faham mengenai UEC oleh pihak yang membantah. Stereotaip yang dikemukakan oleh pembantah terhadap pemegang UEC tidak semestinya benar.

Isu salah tanggapan adalah jauh lebih penting daripada isu pengiktirafan. Pengiktirafan UEC tidak akan berlanjutan dan tahan lama tanpa usaha saling memahami antara satu sama lain.


tags : , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)