spm vs uec malaysia

Gambar sekadar hiasan. Artikel ini adalah pandangan peribadi Ahmad bin Abdul

Isu tuntutan segelintir masyarakat Cina dalam meminta kerajaan mengiktiraf sijil peperiksaan UEC kerap kali kedengaran, setiap kali wujud isu yang menimbulkan ketegangan kaum. Walau bagaimanapun, isu tersebut selalunya tidak menemui jalan penyelesaian berikutan kerajaan terdahulu dilihat tidak mahu menolak ataupun menerima tuntutan tersebut, sebelum isu itu lenyap semula.

Ketika ini, isu tuntutan UEC ini kembali hangat berikutaan gesaan ramai pihak yang mahukan solusi secepat mungkin, yakni pengiktirafan terhadap sijil tersebut diberikan sepenuhnya oleh kerajaan baru Malaysia sekarang.

Bagi Ahmad bin Abdul, seorang penyelidik serta ahli akademik, rasa gusar yang timbul membuatkan beliau terpaksa bangun berkongsikan pandangan terhadap isu ini. Kami kongsikan kepada anda hasil nukilan beliau.

Unified Examination Certificate - rahmat atau bala Malaysia?

sjkc cina school sekolah

UEC atau Unified Examination Certificate adalah sijil pelajaran yang digunakan oleh sekolah persendirian Cina di Malaysia.

Mereka ada sistem pendidikan sendiri di bawah seliaan Dong Zong (badan pendidikan Cina), berikutan keenganan mereka mengikut sistem pendidikan kebangsaan. Walau demikian. kebanyakan sekolah masih menawarkan subjek-subjek SPM berikutan kewajipan mempunyai sijil SPM di negara kita dalam urusan pendidikan serta peluang mencari pekerjaan.

Sejak mula lagi, UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan kita bermula zaman Tunku Abdul Rahman. Pendapat ini turut sama dipegang oleh tokoh sezaman beliau seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin. Boleh dikatakan pada zaman tersebut tokoh-tokoh yang memacu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan mempunyai semangat nasional yang tinggi.

Tun Tan Siew Sin sendiri menolak idea penggunaan bahasa Cina sebagai medium di sekolah Malaysia, sehinggakan beliau tidak disukai dan dikecam oleh aktivis pendidikan Cina.

Perjuangan Lim Lian Geok

lim lian geok tugu

Kisah perjuangan menegakkan pendidikan yang lebih sentrik kepada kaum Cina tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan kisah Lim Lian Geok, seolelaki kelahiran China yang berpindah ke Malaysia atas desakan ekonomi. Beliau dilantik menjadi guru di antara sebelum terkenal sebagai antara aktivis paling lantang menuntut pendidikan 'Chinese-centric', meminta bahasa kaum Cina diiktiraf sebagai salah satu bahasa rasmi di Malaysia.

Lian Geok mendapat sokongan institusi Dong Zong yang sejak penubuhannya memang bermatlamat mahu memastikan pendidikan Cina diiktiraf di Malaysia. Pengaruhnya dapat dilihat sehingga ke hari ini. Ekoran penentangannya terhadap dasar yang cuba diperkenalkan kerajaan Perikatan ketika itu, Lim Lian Geok dibuang kerakyatan kerana dianggap cuba mencetuskan ketidakharmonian antara kaum.

Walaupun begitu bagi segelintir masyarakat Cina, mereka menganggap Lian Geok adalah seorang patriot sebenar yang mahu membawa agenda masyarakat Cina serta impian negara kita. Berikutan kematiannya, tugu peringatan memperingati jasa beliau dibina di jalan Maharajalela, yang kerap menjadi tempat wajib dilawati secara tahunan oleh pelajar-pelajar sekolah persendirian Cina.

Bagi masyarakat Cina di Malaysia, Lim Lian Geok merupakan wira kepada kesinambungan pendidikan Cina.

Kita bukan China atau Taiwan

sekolah cina malaysia

Walaupun sekolah persendirian Cina tidak menerima bantuan dana dari kerajaan, majoriti sekolah mereka jauh lebih mewah dari segi infrastruktur dan kemudahan. Sumbangan kewangan banyak disalurkan oleh masyarakat Cina setempat agar sekolah ini terus kekal serta dapat menawarkan fasiliti terbaik untuk pelajar dan guru.

Dalam skop pengajaran pula, bahasa Mandarin diletakkan sebagai medium pengajaran dengan penekanan diberikan kepada subjek-subjek di bawah UEC dan hanya satu subjek Bahasa Melayu disertakan, sebagai keperluan memenuhi syarat minima yang ditetapkan kerajaan.

Oleh kerana sijil UEC tidak diiktiraf Malaysia, pelajar sekolah persendirian Cina perlu ke luar negara yang mengiktiraf sijil UEC seperti China dan Taiwan untuk menyambung pengajian peringkat tertiari. Negatifnya, pelajar-pelajar ini terpaksa melupakan hasrat untuk bekerja dalam sektor awam serta peluang yang mengecil berikutan ketiadaan keperluan sijil SPM di negara kita.

Jika UEC diiktiraf, apa kesannya pada negara?

peperiksaan uec

Seandainya kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan mengambil langkah mengiktiraf sijil UEC, ini sebenarnya akan membuka isu yang lebih besar dalam jangka masa panjang.

Pasti akan wujud polemik dalam masyarakat sekiranya kita terpaksa mencari jalan menerima kedua-dua sijil dalam sistem sosial kita. Pelajar yang mengambil laluan UEC akan mengikuti silibus yang berbeza dengan pelajar Malaysia yang mengikuti susur galur SPM.

Apa yang lebih dikhuatiri, jurang di antara kaum akan menjadi lebih besar kerana UEC dilaksanakan di sekolah-sekolah persendirian Cina. Dengan medium pengajaran bahasa Mandarin, ini akan mengakibatkan kurangnya pendedahan komunikasi di antara pelajar di sekolah tersebut dengan pelajar dari kaum lain di negara kita.

Mengiktiraf UEC bermakna kita akan melahirkan generasi kaum Cina yang semakin terpisah daripada idea asimilasi dan pergaulan antara kaum. Kesannya mungkin tidak dirasai secara mengejut, tetapi masalah perbezaan pendapat di antara kaum pada pendapat penulis akan lebih diburukkan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf UEC hanya atas dasar kepentingan masyarakat Cina semata-mata.

Kesan domino yang mungkin wujud selepas pengiktirafan UEC pada ramalan penulis, akan wujud gesaan agar sekolah-sekolah jenis kebangsaan CIna mula mahu memberi penekanan silibus mereka yang selama ini berpandukan falsafah pendidikan negara, kepada silibus yang digunapakai untuk UEC.

Tak salah rasanya kalau penulis katakan, Inilah yang diperjuangkan oleh Dong Zong sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi. Begitulah serba sedikit kesan Domino yang saya maksudkan.

Mengapa terlalu mengikut masyarakat Cina luar negara?

prof teo seng kok

Kementerian Pendidikan ketika ini sudahpun didesak beberapa kumpulan masyarakat dan politik Cina untuk mula melaksanakan janji dalam manifesto pilihanraya, untuk Malaysia mengiktiraf UEC. Pada hemat penulis, tidak wujud kebaikan bersama dapat dikongsi rakyat Malaysia, sekiranya kerajaan mengambil langkah memenuhi janji tersebut.

Saya merasakan majoriti besar rakyat Malaysia khasnya orang Melayu dan India tidak jelas tentang isu UEC, jadi saya menjalankan tanggungjawab saya untuk menerangkan serba sedikit tentang perihal ini agar kita tidak melakukan kesilapan yang hanya merugikan kita dalam jangka masa panjang - sebagai sebuah negara.

Adalah menjadi tanggungjawab saya memaklumkan tentang isu ini atas kapasiti saya sebagai seorang pengkaji dan ahli akademik. Sekiranya dilihat dengan jujur dan ikhlas, isu yang saya bawakan ini sepatutnya tidak dilihat sebagai satu usaha membawa isu perkauman. Kita patut menilai isu ini dalam skop yang jauh lebih besar iaitu pembangunan jati diri masyarakat.

prof khoo kay kim

Antara individu berbangsa Cina yang saya rasakan baik untuk dicontohi dalam isu pendidikan serta usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, adalah Professor Datuk Dr. Teo Kok Seong yang kerap membidas masyarakat Cina agar tidak terlalu terikut-ikut mahu sama seperti masyarakat Cina di Hong Kong dan Taiwan, sehingga terlupa keperluan-keperluan menjadi warganegara Malaysia yang sedia ada.

Selain itu, Professor Emeritus Khoo Kay Kim adalah antara negarawan berbangsa Cina yang dilihat mampu menjadi contoh terbaik dalam meneliti apa itu identiti sebenar 'Cina Malaysia.' Walaupun mendapat pendidikan awal di sekolah aliran Inggeris, perkenalannya dengan seni teater serta acara kesenian membawanya kepada minat untuk menguasai Bahasa Melayu dengan lebih baik.

Minatnya itu berkembang sehinggakan beliau mengambil sastera Melayu sebagai pilihan minor semasa zaman pendidikannya. Kini Prof. Khoo Kay Kim bukan saja terkenal sebagai seorang yang memberikan impak besar pada negara kita, malahan turut sama terkenal sebagai seorang tokoh yang mampu berkomunikasi dengan Bahasa Melayu pada tahap sempurna. (Kami pernah menampilkan beliau dalam artikel kami berkenaan gelaran profesor sebelum ini. - admin)

buku travelog

Apa yang saya ingin sampaikan, wujud perbezaan yang sangat besar dalam mentaliti pemikiran pemimpin masyarakat Cina zaman dahulu dengan zaman sekarang di negara kita, sehingga mempengaruhi corak berfikir masyarakat Cina secara amnya.

Dengan laporan hampir 95 peratus pengundi Cina mengundi kerajaan ketika ini, mungkin didorong kuat hasrat mahu melihat UEC diiktiraf. Persoalannya, ke mana hala tuju Malaysia, apabila bangsa lain berbahasa Melayu sementara masyarakat Cina lebih gemar berbahasa sesama mereka sahaja?


tags : , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)