Kredit foto: Mstar
Penyanyi Nita Hamzah, 37, bertindak menunda majlis pernikahan dengan tunangnya, Mohd Fareez Shamsul Bahari, yang sepatutnya berlangsung pada bulan ini.
Kata Nita, dia akan melaksanakan hasrat itu sebelum Ramadhan ini dengan memberi keutamaan kepada perkara wajib.
"Saya dan tunang merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana dan cukuplah dahulukan apa yang wajib iaitu upacara pernikahan.
"Tak perlulah nak buat besar-besar, cukuplah kenduri kecil-kecilan. Kalau ada rezeki lebih baru boleh fikir majlis lain," katanya kepada Mstar Online.
Nita yang juga naib juara Malaysia Idol 2005 mengikat tali pertunangan dengan Fareez, 29, pada Ogos 2017.
Atas punca tertentu, Nita mengumumkan pernikahan yang dirancang terpaksa ditunda.
Kredit foto: Astro Gempak
"Ikutkan kami akan bernikah bulan ini, namun atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan ia terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang lain.
"Insya-Allah kalau tiada aral melintang, pernikahan akan berlangsung sebelum bulan Ramadan ini. Doakan ia dipermudahkan ya," katanya.
Dalam pada itu, Nita berkata, dia bersikap terbuka bercakap soal jodoh dengan harapan peminat dapat mendoakan yang terbaik buatnya.
"Saya memang tak pernah sorok mengenai tunang dan tak kisah kalau orang tahu siapa bakal suami. Saya hanya jadi diri sendiri dan berkongsi berita gembira dengan semua.
"Ada peminat yang memberi ucapan yang baik-baik dan secara tak langsung ia menjadi doa untuk kami apabila mendirikan rumah tangga nanti," katanya.
Beralih kepada perkembangan kerjaya seni, Nita bakal terbit dengan buah tangan terbaharu, single Hadirlah Cinta hasil ciptaan komposer Sharon Paul dan senikata oleh Iman Imran.
"Sejujurnya, saya sangat gementar bercampur teruja dengan kemunculan single ini kerana pelbagai cabaran dan rintangan telah saya lalui.
"Saya juga ingin berterima kasih kepada Datin Alyah yang menjadi orang kuat mendorong saya untuk terus berjuang dipentas seni ini. Jasa baiknya tidak mungkin saya lupakan," katanya yang telah 11 tahun berkecimpung dalam bidang muzik.
Sumber berita: Mstar