tsutomu yamaguchi mangsa bom atom

Tsutomu Yamaguchi sedang merancang untuk meninggalkan bandar Hiroshima selepas habis tempoh tiga bulan tugasan dia di situ, ekoran tugasnya menyelia sebagai jurutera marin bersama Mitsubishi Heavy Industries.

Pada 6 Ogos 1945, dia sepatutnya berangkat pulang ke rumah kembali kepada isterinya, Hisako dan anaknya yang masih kecil bernama Katsuoshi. Tertinggal permit perjalanan di pelabuhan tempat dia bekerja, dua rakannya, Akira Iwanaga dan Kuniyoshi Sato beredar dahulu, sementara Tsutomu balik semula ke pelabuhan.

LETUPAN PERTAMA

hiroshima selepas bom atom

Sekitar jam 8.15 pagi, Tsutomu yang sedang berjalan kaki terdengar deruman bunyi enjin pesawat dari udara. Dia nampak sebuah pesawat menjatuhkan satu objek yang mempunyai payung terjun. Sejenak kemudian, Tsutomu tidak mampu melihat apa-apa, hanya cahaya memenuhi penglihatan. Sempat Tsutomu berbaring atas tanah sebelum satu letupan kuat kedengaran.

Tercampak Tsutomu ke udara berpusing-pusing sebelum jatuh kembali ke tanah. Tidak menyedari apa yang telah berlaku akibat pengsan, Tsutomu tersedar dalam keadaan segala-galanya gelap tanpa sebarang bunyi. Di kejauhan dia nampak awan gergasi berbentuk cendawan terbentuk di bandar Hiroshima. Wajah dan tangannya melecur teruk sementara gegendang telinganya pecah, menjejaskan pendengarannya.

Kedudukan Tsutomu ketika itu lebih kurang 3 kilometer saja dari lokasi di mana bom atom dijatuhkan oleh pesawat B-29 milik tentera Amerika Syarikat. Berlegar-legar mencari arah, Tsutomi menemui Akira dan Kuniyoshi yang terselamat. Terpaksa bermalam di situ, mereka bertiga mendapat khabar laluan keretapi masih lagi berfungsi. Berjaya menaiki keretapi, sepanjang perjalanan Tustomu menyaksikan sendiri kesan letupan tersebut. Banyak lagi api belum dapat dipadamkan. Badan bergelimpangan tanpa diuruskan.

LETUPAN KEDUA DI NAGASAKI

kesan nuklear bom atom 2

Jambatan runtuh membuatkan perjalanan terhenti memaksa penumpang termasuklah mereka bertiga meredah sungai yang dipenuhi mayat, sebelum menyambung perjalanan dengan keretapi ke Nagasaki. Setibanya di sana, Tsutomu terus ke sebuah hospital merawat kecederaannya. Wajah yang melecur menyukarkan Tsutomu berkata-kata dan dikenali.

Sehinggakan apabila tiba di rumahnya sendiri, dia menghadapi masalah untuk meyakinkan keluarganya yang dia sudah pulang.

Kesan lecuran pada tubuh tidak menghalang untuk Tsutomu kembali bekerja pada pagi 9 Ogos 1945. Dipanggil masuk untuk memberikan laporan tentang apa yang berlaku pada pelabuhan milik Mistubishi di Hiroshima, Tsutomu menceritakan kisah beliau tentang hari itu kerana pihak Mitsubishi tidak dapat mempercayai berita tentang kekuatan sebuah bom yang mampu menghancurkan satu bandar.

Ketika masih lagi dalam perbincangan itulah, perkara yang telah dilalui oleh Tsutomu 3 hari lepas di Hiroshima, berlaku lagi sekali. Cahaya putih mula menutup penglihatan Tsutomu/ Menyedari apa yang dia sudah lalui sedang berlaku lagi, Tsutomu cepat-cepat berbaring di atas lantai.

Impak letupan membuatkan kain yang membalut lukanya tertanggal dan sekali lagi Tsutomu merasai gelombang radisasi daripada bom yang sebenarnya lebih kuat berbanding dengan bom di HIroshima. Nasib Tsutomu lebih baik kali ini. Pejabatnya yang terletak di kawasan yang agak berbukit menjadi penghadang kepada impak bom tersebut.

Begitupun, bangunan tempat Tsutomu bekerja tetap rosak teruk dan hampir ranap.

KELUARGA TSUTOMU TERSELAMAT KERANA TAKDIR

kesan nuklear bom atom

Berlari ke rumah sepantas yang boleh, Tsutomu melihat rumahnya runtuh. Berdepan situasi menakutkan kehilangan keluarganya, Tsutomu berlegar-legar sebelum menemui isteri dan anaknya dalam keadaan cedera ringan. Isteri Tsutomu dan anaknya Katsuoshi bernasib baik, berada di luar bagi mendapatkan ubat lecur untuk luka suaminya. Isteri Tsutomu berjaya berlindung dalam sebuah terowong ketika letupan berlaku.

Jika dilihat, kecederaan yang dialami oleh Tsutomu 3 hari awal dalam letupan pertama, secara tidak sengaja telah menyelamatkan nyawa keluarganya sendiri.

Terselamat dalam kedua-dua letupan itu memberi kesan pada fizikal Tsutomu. Radiasi yang diterima dua kali mula menyebabkan rambutnya gugur dan tangannya mula menunjukkan kesan reput. Muntah-muntah sudah jadi rutin beliau.

Kerajaan Jepun menerusi Maharaja Hirohito mengumumkan perletakan senjata dan menyerah diri pada 15 Ogos 1945, lebih seminggu selepas bom pertama dilepaskan di HIrosshima.

MENERUSKAN KEHIDUPAN

zaman muda tsutomu yamaguchi

Walaupun hidupnya merana, keadaan Tsutomu semakin lama beransur baik dan dia kembali menjalani hidup biasa. Semasa Jepun diperintah oleh tentera Perikatan, Tsutomu sempat bertugas sebagai penterjemah kepada tentera Amerika Syarikat, sebelum kembali bekerja sebagai jurutera marin bersama Mitsubishi.

Keluarganya dikurniakan dua lagi anak perempuan selepas tragedi itu, namun kesan radiasi tetap tidak mampu hilang sebegitu sahaja. Salah seorang anak perempuannya, Toshiko menceritakan Tsutomu terpaksa hidup dengan balutan sepanjang masa bagi melindungi kulitnya dan kepalanya botak, walaupun lama-kelamaan rambut mula tumbuh semula. Isteri Tsutomu yang turut terkena hujan yang turun selepas letupan, yang digelarkan 'hujan hitam' oleh penduduk Jepun juga mengalami masalah radiasi yang teruk.

Anak sulungnya yang terselamat dalam letupan di Nagasaki, Katsuoshi meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2005. Anak perempuannya, Naoko sakit sepanjang hidup dan Toshiko sendiri menghadapi masalah sel darah putih yang sentiasa rendah. Isteri Tsutomu akhirnya meninggal akibat kanser buah pinggang dan hati, selepas merana sepanjang hayat.

Dianggarkan seramai 260,000 orang yang terselamat selepas letupan bom atom itu berjaya meneruskan hidup. Dalam kumpulan itu, dianggarkan ada 165 orang yang mempunyai nasib sama dengan Tsutomu - merasai kesan kedua-dua letupan di Hiroshima dan Nagasaki. Dua rakannya yang turut berada di Hiroshima, Akira dan Kuniyoshi juga turut berada di Nagasaki ketika letupan kedua.

Tsutomu tidak gemar menceritakan pengalamannya kepada orang lain, memilih untuk menyimpan kisahnya sendirian. Dia meneruskan hidup seperti biasa, mengelakkan dirinya daripada terlibat dalam sebarang aktiviti tunjuk perasaan anti bom atom selepas itu.

STATUS HIBAKUSHA

potret hibakusha

Pada 1957, kerajaan Jepun mengumumkan rakyat yang terkena letupan bom akan diberikan status 'hibakusha' bagi membolehkan bantuan dan dana hidup disalurkan kepada mereka. Tsutomu diiktiraf sebagai individu yang terselamat daripada letupan di Nagasaki dalam kad yang dikeluarkan, tanpa insiden di Hiroshima diambil kira. Tsutomu tidak memandang perkara itu sebagai satu perkara yang perlu diperbesarkan.

Dia meneruskan hidup seperti biasa. Hanya mereka yang rapat tahu dia adalah salah seorang individu unik yang terselamat dalam letupan dua bom atom.

Masih dihantui imej badan-badan terapung dalam sungai serta gambaran manusia yang luruh dagingnya selepas letupan yang dilihat di depan mata, Tsutomu mula lantang mengkritik isu bom atom selepas kematian anak sulungnya Katsuoshi pada tahun 2005.

Dia menulis sebuah buku tentang tragedi tersebut , memilih untuk menceritakan pengalamannya dalam bentuk sajak. Pendedahan itu membolehkan Tsutomu terpanggil menjadi tetamu kepada sebuah dokumentari bertajuk Nijuuhibaku atau 'DIbom dua kali, Terselamat dua kali' yang disiarkan pada tahun 2006 di Jepun.

KEMATIAN TSUTOMU SELEPAS DUA KALI HAMPIR MATI

kubur tsutomu yamaguchi

Ekoran pendedahan itu, Tsutomu dijemput untuk memberikan ucapan pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tsutomu menggunakan peluang itu bagi menggesa senjata nuklear diharamkan dan memohon kerjasama kerajaan-kerajaan dunia supaya tidak lagi membangunkan senjata sekuat bom atom.

Pada Januari 2009, Tsutomu melakukan permohonan membetulkan kad hibakusha beliau supaya status Hiroshima dimasukkan sekali. Kerajaan Jepun mengiktiraf permohonan itu dan Tsutomu secara rasmi menjadi satu-satunya individu yang diiktiraf terselamat dalam dua letupan bom atom.

Setahun kemudian, pada 4 Januari 2010, Tsutomu Yamaguchi menghembuskan nafas terakhir akibat kanser perut yang melanda beliau sekian lama pada usia 93 tahun, selepas menyaksikan sendiri keburukan penggunaan senjata nuklear dalam menyelesaikan sengketa antara negara.


tags : , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)