penjara di amerika

Aku bangun setiap hari pada jam 4.55 pagi. Kenapa? Ini kerana pada aku, kebebasan untuk memilih sendiri jam berapa aku bangun merupakan satu perkara yang penting padaku. Bagaimanapun, bukan setiap hari aku berjaya bangun pada waktu tersebut, kerana ada banyak rutin yang boleh berubah di sini. Walaupun begitu, aku cuba bangun seawal boleh sebelum pintu kurungan kami dibuka setiap hari pada jam 5.15 pagi.

Aku tak mahu terus terkurung dalam bilik yang mengurung aku selama beberapa jam.

Kebiasaannya, aku memilih untuk makan bijirin oat dengan mentega kacang, melainkan pada hari Ahad di mana hidangannya telur, kentang dan roti bakar. Sebagai seorang yang bekerjaya dalam penjara, aku berkemampuan untuk membeli bijirin oat dan mentega kacang.

Kerja setiap hari bermula pada jam 6 pagi. Aku bernasib baik dapat bekerja di sini dalam kerja yang kami gelarkan 'kerja waktu industri.' Kerjaku berjalan 8 jam sehari, 5 hari seminggu. Tugasku berkisar di bahagian perkhidmatan cucian industri di sini.

Kami memproses kain cadar dan selimut dari hospital, kolej dan institusi berdekatan. Aku terlibat untuk memastikan operasi cucian berjalan lancar, bertanggungjawab memeriksa mesin, menyelenggara dan memastikan proses pembaikian berkala dilakukan.

rupa penjara

Tugas aku gajinya mewah juga berbanding banduan-banduan lain.

Secara purata banduan yang bekerja mendapat USD45 sebulan berbanding aku yang bergaji USD145 sebulan. Dengan pendapatan itu, aku dapat kerap menghubungi keluarga melalui telefon yang disediakan, dengan caj 16 sen setiap minit serta mampu membeli barangan yang lebih baik untuk aku gunakan seperti makanan.

Selain itu, pendapatan itulah yang aku gunakan bagi membayar yuran mahkamah serta pampasan ke atas perbuatan jenayah aku yang mengakibatkan aku ke penjara. Sudah lebih 17 tahun aku membayar hutang berjumlah USD15 ribu ini dan harapan aku, bila aku bebas - aku tidak menanggung hutang lagi.

Waktu tengahari kami habiskan dengan makan tengahari. Menu makanan hanya akan ditukarkan setiap 3 bulan sekali dan bagi aku yang sudah 17 tahun di dalam, itu sesuatu yang aku dah tak sanggup hadam.

Jam 1 hingga 2 tengahari, aku diberikan masa lapang yang aku kerap penuhi dengan berjalan di sekeliling trek dan mungkin juga membaca, belajar atau apa saja aktiviti yang memberikan aku manfaat. Kerja diteruskan semula sehingga jam 5 petang. Selepas itu kami diberikan makan malam dan masa untuk berehat.

ruang hulur makanan banduan

Sebelum kami dimestikan kembali ke bilik pada jam 8.30 malam, aku cuba menulis surat, membaca atau menelefon keluarga dan rakan-rakan. Ada kalanya, kami dapat melibatkan diri dalam majlis di dalam penjara seperti majlis keraian atau kutipan derma. Jika aku bernasib baik, kami dapat menyertai program kesedaran juvana bagi mendidik masyarakat luar tentang kehidupan dalam penjara.

Bagaimanapun, bagi majoriti anduan yang tidak terlibat, mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen atau paling tidak, hanya merenung dinding sehinggalah masa yang diberikan habis.

Apabila disoal kepada aku bagaimana kehidupan dalam penjara, aku hanya boleh katakan kehidupan di sini sunyi. Setiap saat dalam hidup kita dirancang oleh pihak lain untuk kita. Bagaimanapun, kesunyian yang ada membolehkan kita banyak mengenali diri sendiri.

Kehidupan penjara yang ditonjolkan dalam media cukup berbeza dengan apa yang kami lalui, kerana dalam media, apa yang dinampakkan hanyalah perkara-perkara besar yang berlaku. Kita tidak boleh nampak kesunyian yang timbul hasil daripada hidup di sini setiap hari. Rasa pengasingan itu gagal ditonjolkan dalam media. Hasil daripada pengasingan itulah yang memberi kesedaran tentang kesalahan yang kita lakukan, bukan sahaja memberi kesan pada mangsa, malahan pada keluarga kita, komuniti dan masyarakat.

Apa yang aku cuba nyatakan di sini?

Kami, banduan juga manusia biasa yang pernah melakukan kesilapan terhadap masyarakat dan kami dihukum. Aku secara peribadi sedar apa yang telah aku lakukan. Tanpa peluang untuk menyertai semula masyarakat, kami hanya akan terus terjerumus dengan kesalahan kami.

Dalam sebuah pertemuan dengan pelajar-pelajar kolej yang dibenarkan melawat penjara kami, aku ditanyakan satu soalan;

"Sebagai banduan, adakah seorang banduan layak diberikan peluang kedua?"

Aku termangu sejenak mendengar soalan dia. Setelah berfikir, aku menjawab masyarakat perlu memberikan individu seperti kami peluang. Ini kerana tanpa peluang kedua diberikan kepada kami, kami yang telah melalui proses pemulihan dan menaik taraf diri dengan kemahiran serta kemahuan untuk memajukan diri - hanya akan kembali kepada tabiat asal kami apabila kami rasa diri ini tidak diperlukan masyarakat. Kami hanya boleh berubah jika kami rasa masyarakat memerlukan kami. Jika tidak, sukar untuk kami berubah menjadi seorang yang mampu menyumbangkan sesuatu kepada anda semua.

Nukilan Travis pada 15 Julai 2015

Terjemahan dan olahan semula artikel A Day in the Life of a Prisoner


tags : , , , , , , ,








Hakcipta iluminasi.com (2017)