Saban tahun, peminat buku dan pelbagai bahan bacaan lain pastinya ternantikan jualan besar-besaran buku di karnival Pesta Buku Antarabangsa dan Big Bad Wolf yang sentiasa menghidangkan pelbagai jenis bahan bacaan pada harga istimewa.

Bagi peminat buku, inilah peluang terbaik untuk memborong pelbagai jenis buku pada harga lebih murah. Namun, percaya atau tidak, ada orang yang gemar membeli buku tapi buku yang dibelinya langsung tidak dibaca?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin kedengaran pelik namun golongan ini benar-benar wujud. Malah, di Jepun budaya ini juga dikenali sebagai "tsundoku". Budaya ini juga bukanlah sesuatu yang baru malah terdapat penulisan terbitan tahun 1879 yang sudah menggunakan terma "tsundoku" seawal tahun 1879.

Asal usul perkataan tsundoku

pengumpul buku 30

Dalam bahasa Jepun, perkataan "doku" merupakan sebuah perkataan kata kerja yang membawa maksud "membaca". Sementara itu, perkataan "tsun" pula berasal daripada perkataan "tsumu" yang membawa maksud "mengumpul.

Apabila kedua-dua perkataan ini disambung, ia membawa maksud membeli bahan bacaan dan mengumpulnya. Menurut seorang penulis Jepun Mori Senzo, frasa "tsudoku sensei" dapat ditemui dalam penulisan pada tahun 1879 lagi.

Menurut beliau, ianya mungkin sebuah satira yang menggambarkan golongan guru yang mempunyai banyak bahan bacaan namun tidak sekali-kali membacanya. Walaupun perkataan tsundoku seolah-olah seperti satu penghinaan, menurut Prof Andrew Gerstle dari University of London, perkataan ini langsung tidak membawa stigma buruk di Jepun.

Tsundoku vs Bibliomania

tsundoku

Sekiranya anda seorang peminat buku, anda pasti biasa mendengar perkataan "bibliomania".

Bibliomania adalah tajuk sebuah novel Abad ke-19 oleh Thomas Frognall Dibdin yang mendakwa meneroka "kegilaan terhadap buku", yakni perbuatan tidak dapat berhenti daripada mengumpul buku.

Menurut penulis buku ini, seseorang yang mempunyai bibliomania boleh ditakrifkan sebagai seseorang yang obses mengumpul buku yang unik, misalnya buku keluaran edisi pertama, edisi ter dan buku illustrasi.

Walau bagaimanapun, dua abad kemudian, menurut Oxford University Press istilah ini tidak lagi membawa maksud obsesi sebaliknya ia telah beralih kepada "kegairahan" terhadap pengumpulan buku.

Walaupun tsundoku dan bibliomania seakan-akan membawa maksud yang sama, terdapat perbezaan antara keduanya.  Bibliomania menggambarkan niat untuk mengumpul; koleksi buku sementara tsundoku pula menggambarkan niat untuk membaca buku tetapi tidak membacanya sehingga membawa kepada pengumpulan buku yang banyak secara tidak sengaja.

Adakah perkataan tsundoku hanya terhad kepada buku sahaja?

koleksi buku

Perkataan "doku" itu sendiri membawa maksud buku maka perkataan tsundoku ini secara umumnya ekslusif untuk mereka yang gemar mengumpul buku tetapi tidak membacanya sahaja.

Walau bagaimanapun, dalam kehidupan sebenarnya terdapat ramai lagi melakukan perkara sama (yakni mengumpul tanpa sedar) seperti mengumpul permainan video dan sebagainya.

Kredit:

  1. BBC News
  2. Wikipedia
  3. Atlas Obscura



Hakcipta iluminasi.com (2017)