tsar bomba bom nuklear paling kuat

Pada tahun 1961, Kesatuan Soviet telah menguji sebuah bom hidrogen RDS-220 yang sangat kuat dan ianya dianggap terlalu besar untuk digunakan dalam mana-mana perperangan. Kesan letupan bom itu juga melebihi jangkaan dari segala semua sudut.

Pada asalnya, tujuan bom nuklear ini diwujudkan adalah ringkas iaitu untuk mencipta bom nuklear yang boleh membuatkan Kesatuan Soviet mendahului Amerika Syarikat dalam perlumbaan pembinaan senjata nuklear.

soviet tsar bomb king of bomb display

Matlamat yang sia-sia

Matlamatnya adalah untuk menakut-nakutkan seluruh dunia agar tunduk kepada kuasa Kesatuan Soviet. Namun, pada realitinya tiada siapa yang menyangka bahawa bom nuklear yang diberi nama Tsar Bomba adalah jauh lebih dahsyat daripada apa yang dibayangkan.

replika tsar bomba

Tsar Bomba atau nama kodnya Ivan atau Vanya ini mempunyai ukuran 26 kaki panjang dan berat yang hampir mencapai 27 tan metrik. Ia mempunyai reka bentuk yang seakan sama dengan bom nuklear "Little Boy" dan "Fat Man" yang digunakan oleh Amerika Syarikat untuk menghancurkan Hiroshima dan Nagasaki 15 tahun sebelum itu. Selain rekaannya, tiada apa yang menyamai Tsar Bomba ini.

Bom ini mempunyai masalah kerana terlalu besar untuk dimuatkan walaupun menggunakan pesawat Soviet paling besar. Ia perlu dipasang pada bahagian luaran secara khusus untuk dibawa ke tapak ujian nuklear.

Pesawat Tupolev, sebuah pesawat tentera bersaiz besar dengan empat enjin yang direka khas untuk mengangkut bahan letupan telah dipilih untuk membawa Tsar Bomba ke destinasinya iaitu Pulau Novaya Zemlya yang hanya mempunyai populasi penduduk yang sedikit. Ia terletak di Laut Barents, utara negara Scandinavia dan barat laut Kesatuan Soviet.

pesawat tupolev tu95

Pesawat pengebom Tupolev model Tu-16 yang telah diubah suai bersedia untuk memantau sampel udara dan merakamkan letupan akan terbang di sebelah pesawat Tupolev Tu-95V yang membawa Tsar Bomba. Bagi tujuan keselamatan, bom itu akan dilepaskan menggunakan payung terjun yang beratnya mencapai 800kg.

Tsar Bomba yang dijatuhkan itu akan diletupkan pada ketinggian yang ditetapkan. Mengikut perancangan, ketika bom itu akan diletupkan, kedua-dua pesawat itu sudahpun berada 30 batu jauh dari tapak letupan dan mereka mempunyai peluang paling tinggi untuk selamat iaitu 50%.

Semuanya mengikut perancangan sehinggalah bom itu dijatuhkan

letupan tsar bomba

Tepat pada jam 11.32 pagi waktu Moscow, Tsar Bomba telah diletupkan dan menghasilkan bebola api besar dengan saiz lima batu lebar dan boleh dilihat dari jarak 630 batu jauhnya. Awan berbentuk cendawan yang terhasil dari letupan itu pula menjulang naik sehingga 40 batu tinggi dan melebar sehingga 63 batu dari kiri ke kanan.

Tenaga yang terhasil dari letupan itu bersamaan dengan ledakan 57 juta tan TNT, atau 1,570 kali ganda lebih kuat daripada gabungan bom nuklear yang diledakkan di Hiroshima dan Nagasaki. Ia juga adalah 10 kali ganda lebih kuat daripada semua gabungan senjata yang dihasilkan semasa Perang Dunia Kedua. Malah, gelombang letupan Tsar Bomba ini telah mengorbit bumi sebanyak tiga kali.

perbandingan letupan bom nuklear

Sebuah penempatan iaitu Kampung Severny di Novaya Zemlya yang terletak kira-kira 34 kilometer dari tapak letupan telah musnah sama sekali. Malah, bandar-bandar yang terletak dalam lingkungan 100 batu juga merasai kesannya apabila ada laporan mengenai rumah-rumah yang roboh, tingkap pecah dan bumbung yang rosak manakala komunikasi radio pula terganggu selama lebih daripada satu jam.

Manakala kedua-dua pesawat Tupolev itu pula nyaris-nyaris terkorban. Gelombang daripada letupan Tsar Bomba itu telah menyebabkan pesawar gergasi itu menjunam sehingga kepada ketinggian 3,300 kaki sahaja lagi sebelum juruterbang berjaya mengawal keadaan kepada normal.

Kebenaran yang menakutkan dibongkar

Setelah melakukan ujian nuklear itu, Kesatuan Soviet telah dikutuk sekeras-kerasnya di peringkat antarabangsa oleh Amerika Syarikat, Great Britain dan Sweden. Selepas itu barulah kebenaran terbongkar apabila satu perubahan sudahpun dilakukan ke atas Tsar Bomba untuk mengurangkan kadar kemusnahan. Jika tidak, ia sepatutnya adalah dua kali ganda lebih kuat daripada yang diuji.

Walaupun kemusnahan sudahpun berlaku, namun terdapat beberapa perkara yang dilihat sebagai positif mengenai letupan itu. Kerana letupan bebola api itu berlaku di udara bukannya di atas permukaan bumi, jumlah radiasi yang terhasil daripadanya adalah sangat rendah dan mengejutkan ramai pihak.

Arkitek yang mengetuai rancangan Tsar Bomba iaitu Andrei Sakharov, telah membatalkan kesemua rancangan masa hadapannya membina bom nuklear dan dia mendedikasikan hidupnya untuk menentang pembinaan bom yang lain. Ini kerana, dia berpendapat sekiranya bom yang lebih besar lagi dijatuhkan, ia akan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk kepada bumi dan tidak berguna sama sekali lagi bagi manusia untuk terus hidup.


tags : , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)