Oleh pada 31 Aug 2017 kategori

Selama ini, rakyat Malaysia hanya perlu mempersiapkan diri dan keluarga sekiranya berlaku kecemasan seperti bencana alam. Banjir, gempa bumi, jerebu, kemarau dan sebagainya. Tetapi sejak Korea Utara dikhabarkan telah melancarkan peluru berpandu balistik antara benua yang pertama pada 4 Julai yang lalu, mungkin kita perlu mula bersedia untuk sebarang kemungkinan yang tidak pernah tercapai dek akal.

Peluru berpandu Korea Utara itu merupakan sebuah roket yang direka khas supaya boleh bergerak lebih dari 5,000 km sambil membawa senjata yang dipasang ke badannya. Terbaru, negara penindas itu dilaporkan memiliki sebanyak lebih daripada 14,900 senjata nuklear.

kesan nuklear bom nagasaki

Ancaman nuklear

Amerika Syarikat telah mula membuat persiapan untuk menghadapi pelbagai senario yang mungkin terjadi. Kerajaan persekutuan AS telah menggariskan beberapa panduan kepada rakyatnya ketika menghadapi ancaman nuklear. Walaupun pihak kerajaan membuat pelbagai rancangan untuk negara secara umum, sebenarnya rakyat juga perlu bersiap sedia dengan beberapa alatan asas untuk menjamin keselamatan diri.

Menurut Brooke Buddemeier, seorang ahli fizik kesihatan yang merupakan pakar dalam bidang radiasi, anda tidak boleh melarikan diri daripada kesan luruhan nuklear kerana ia masih boleh dibawa oleh angin altitud tinggi selaju 160 km/j. Selepas berlakunya ledakan nuklear, anda perlu mencari tempat perlindungan secepat yang mungkin dan mengelakkan diri daripada kontaminasi dalam jangka masa 24 hingga 48 jam sehingga diberikan arahan selanjutnya.

Anda tidak dapat melarikan diri daripada jatuhan bom nuklear tetapi tips pencegahan kesan nuklear boleh menyelamatkan ratusan ribu nyawa yang lain.

2b31d6cf00000578 0 image a 1 1439022531470

Kit Kecemasan

Mungkin apabila berlaku letusan nuklear, ramai orang akan berpusu-pusu menyimpan stok pil potassium iodide (atau kalium iodida) yang dikhabarkan boleh mengubati keracunan radiasi. Walau bagaimanapun, menurut Brooke, ia sebenarnya tidaklah berkesan seperti yang dijangka. Pil itu hanyalah untuk mengelakkan penyerapan radio-iodine yang merupakan salah satu daripada beribu-ribu jenis radionuklid di luar sana. Radio-iodine ini mungkin hanya sekitar 0.2% daripada pendedahan keseluruhan.

Daripada anda keluar rumah untuk mencari pil ini hingga terdedah lebih lama dalam udara yang tercemar, lebih baik anda bergegas ke tempat perlindungan dengan barang-barang berikut:

selamatkan diri dengan kit keselamatan nuklear 2

1. Radio

Brooke menyarankan agar anda mencari sebuah radio yang dikuasakan dengan bateri dan engkol yang boleh dipusing menggunakan tangan. Lebih baik sekiranya radio tersebut menyediakan port USB untuk mengecas peranti anda yang lain. Semasa berada di tempat perlindungan, terutama sekali di bawah tanah misalnya, anda perlu pastikan yang anda masih boleh menerima hebahan kecemasan dan arahan selanjutnya seperti maklumat keadaan di luar dan bila waktu yang selamat untuk keluar.

Walaupun boleh menggunakan telefon bimbit, tapi ada kebarangkalian yang menara telekomunikasi mungkin telah rosak dan menyebabkan anda tidak dapat sebarang isyarat.

2. Air

Apabila berada di tempat perlindungan, anda memerlukan bekalan air yang tidak tercemar. Ini termasuklah air untuk diminum dan juga air untuk mencuci partikel-partikel radioaktif yang telah terlekat di badan semasa menuju ke tempat perlindungan. Menurut Ready.gov, anggaran air yang diperlukan bagi setiap individu semasa kecemasan adalah 3.8 liter setiap hari.

3. Makanan

Walaupun tubuh manusia boleh bertahan lama tanpa makanan, namun jangka masa setiap individu mungkin berbeza dan rasa lapar itu mungkin hanya menambah kepada tahap stress anda. Jadi, anda mungkin boleh menyimpan makanan yang boleh digunakan ketika kecemasan seperti bar sarapan atau bar tenaga dan letak bersama kit kecemasan anda. Jika anda ingin menyimpan makanan dalam tin, lebih baik jika ia siap dengan pembuka yang boleh ditarik sendiri.

4. Ubat-ubatan

Jika anda perlu mengambil ubat-ubatan setiap hari, pastikan anda bawa bersama semua ubatan ke tempat perlindungan. Tiada guna jika anda menyelamatkan diri daripada ancaman nuklear tetapi anda tidak dapat mengekalkan tahap kesihatan diri.

Selain daripada empat keperluan asas di atas, Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan AS (FEMA) juga menyarankan anda mempunyai barang-barang berikut di dalam kit kecemasan anda. Kit ini bukan sahaja boleh digunakan ketika serangan nuklear, malah ketika menghadapi bencana alam seperti ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya:

  1. Peta : untuk mengetahui lokasi dan laluan selamat yang boleh digunakan menurut hebahan radio
  2. Lampu suluh dan bateri tambahan
  3. Peti pertolongan cemas yang asas
  4. Pita pembalut (duct tape) dan plastik pembalut : untuk melindungi tempat perlindungan dengan menyekat partikel udara tercemar daripada masuk ke dalam kawasan
  5. Wisel : untuk memberikan isyarat sekiranya memerlukan bantuan
  6. Topeng muka : sekurang-kurangnya satu unit bagi setiap orang untuk menapis udara tercemar
  7. Plastik sampah dan wipes : untuk sanitasi peribadi. Buka lapisan luar baju secepat mungkin dan bungkus dengan ketat sekiranya anda telah terdedah kepada radiasi.
  8. Playar atau perengkuh : untuk memutuskan bekalan utiliti, sekiranya perlu

Marilah kita berdoa supaya negara kita yang aman sejahtera ini dilindungi dan akan sentiasa bebas daripada ancaman serangan nuklear negara lain. Semoga dijauhkan.

Rujukan :




Hakcipta iluminasi.com (2017)