Sumber Foto: tristandc.com

tristan da cunha kepulauan berpenduduk paling terpencil di dunia 177

Sumber Foto: furfeatherandfin.com

Artikel ini akan berkongsi tentang sebuah kepulauan yang sangat terpencil, iaitu Tristan da Cunha. Mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk bercuti di sini. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.  

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kedudukan Kepulauan Tristan da Cunha

kedudukan kepulauan tristan da cunha 4ft11

Sumber Foto: ontheamajing.blogspot.my

Tristan da Cunha adalah nama bagi kepulauan gunung berapi yang terletak di South Atlantic, dan juga nama bagi pulau utama kumpulan berkenaan. Kepulauan Tristan da Cunha adalah kepulauan berpenduduk paling terpencil di dunia.

Destinasi terkenal paling berhampiran dengan kepulauan berkenaan adalah Cape Town di Afrika Selatan. Untuk menaiki kapal terbang ke sana bukanlah suatu alternatif kerana kepulauan tersebut tidak mempunyai landasan kapal terbang. 

Satu-satunya cara untuk sampai ke Tristan da Cunha adalah melalui bot, yang mengambil masa lebih kurang seminggu. 

Pulau berpenghuni yang paling hampir dengan Tristan da Cunha adalah Saint Helena dengan jarak sejauh 2,000 km antara keduanya. Tanah benua paling hampir dengan kepulauan tersebut pula adalah Afrika Selatan, dengan jarak sejauh 2,400 km. 

Amerika Selatan pula terletak di arah bertentangan berbanding Afrika Selatan, pada jarak 3,360 km. 

Sejarah Awal Kepulauan Tristan da Cunha

sejarah awal kepulauan tristan da cunha

Sumber Foto: ebay.in

Kepulauan Tristan da Cunha adalah sebahagian daripada wilayah luar British, dengan nama rasmi 'Saint Helena, Ascension, and Tristan da Cunha'. Menurut rekod sejarah, kepulauan berkenaan pertama kali dijumpai pada tahun 1506 oleh seorang pengembara Portugal iaitu Tristão da Cunha.

Selain penemuan kepulauan tersebut, Tristão juga dikenali kerana sumbangan beliau terhadap Raja Portugal iaitu King Manuel I, serta peranan sebagai duta kepada Pope Leo X di Rom. 

Pada tahun 1506, ketika berada di perairan berhampiran kepulauan berkenaan, beliau menghadapi kesukaran untuk mendarat kerana keadaan laut yang sangat bergelora. Namun, beliau mengambil peluang dengan menamakan kepulauan tersebut bersempena nama beliau. 

Pendaratan Pertama di Kepulauan Tristan da Cunha

pendaratan pertama di kepulauan tristan da cunha oleh rui vaz pereira

Menurut beberapa sumber, manusia pertama yang mendarat serta menjejakkan kaki ke kepulauan tersebut juga seorang pengembara dari Portugal.

Peristiwa berkenaan dikatakan berlaku pada tahun 1520 apabila sebuah kapal yang diketuai oleh Rui Vaz Pereira berhenti di Tristan da Cunha untuk mencari air minuman yang bersih. 

Pendaratan pertama yang mempunyai rekod bahawa ianya benar-benar berlaku adalah pendaratan oleh kru kapal Syarikat Hindia Timur Belanda, melalui kapalnya iaitu Heemstede pada 7 February 1643. 

Sekitar suku abad berikutnya, Belanda telah beberapa kali berhenti di kepulauan berkenaan, dan sehingga tahun 1656, mereka telah menghasilkan secara kasar peta pertama kawasan tersebut.  

Penerokaan secara keseluruhan kepulauan Tristan da Cunha telah dilakukan oleh Perancis pada tahun 1767 apabila seorang kru kapal Perancis yang bernama Heure du Berger telah tinggal di kepulauan tersebut selama 3 hari. 

Penempatan Awal Di Kepulauan Tristan da Cunha

penduduk pertama kepulauan tristan da cunha jonathan lambert

Sumber Foto: bolaffi.it

Walaubagaimanapun, kepulauan tersebut terus tidak berpenghuni sehinggalah abad ke-19. Jonathan Lambert yang berasal dari Massachusetts adalah penduduk pertama kepulauan itu.

Beliau tiba di Tristan da Cunha pada 27 Disember 1810, bersama 2 orang lelaki. Pada saat itu, Jonathan secara terbuka mengisytiharkan kepulauan tersebut sebagai hak beliau, dan menamakannya 'Islands of Refreshment'.

Sehingga tahun 1812, hanya seorang daripada 3 lelaki tersebut yang masih hidup, manakala 2 lagi mati lemas ketika memancing. Beliau meneruskan hidup sebagai petani. 

Walaubagaimanapun, pada tahun 1816, kepulauan Tristan da Cunha diletakkan sebagai salah satu tanah jajahan British, dan memerintah dari Cape Colony di Afrika Selatan. 

Satu-satunya penempatan terletak di utara kepulauan, dan dikenali sebagai 'Edinburgh of the Seven Seas'. Penempatan tersebut adalah sebuah perkampungan yang bermula sejak kurun ke-19. 

Bencana Alam Sekitar Kepulauan Tristan da Cunha

letusan gunung berapi di tristan da cunha 757

Sumber Foto: royalnavymemories.co.uk

Kepulauan Tristan da Cunha mempunyai beberapa gunung berapi yang masih aktif. Kepulauan ini secara umumnya aman damai untuk diduduki, kecuali ketika mana berlakunya letusan gunung berapi. 

Pada tahun 1961, beberapa letusan gunung berapi telah berlaku dan ianya menyebabkan kemusnahan yang agak teruk. Letusan tersebut diikuti tanah runtuh dan gempa bumi, menyebabkan seluruh populasi meninggalkan kepulauan tersebut ke England. 

Khabar angin mengatakan bahawa penduduk yang berpindah ke England berasa menyampah dengan kehidupan bandar yang sesak dan benci akan cuaca di sana.

Setelah ahli geologi mengesahkan kepulauan tersebut selamat daripada bencana alam, kebanyakan penduduk pulang semula ke tanah air mereka bagi meneruskan kehidupan seperti biasa. 

Terkini Tentang Kepulauan Tristan da Cunha

penempatan dan penghuni di kepulauan tristan da cunha

Sumber Foto: imaggeo.egu.eu

terkini tentang kepulauan tristan da cunha

Sumber Foto: classafloat.com

Sehingga 22 Januari 2017, jumlah populasi penduduk tetap di pulau utama adalah sebanyak 262 orang. Pulau-pulau lain terus tidak berpenghuni kecuali sebuah pulau yang mempunyai stesen cuaca. 

Tristan da Cunha bukanlah destinasi pelancongan yang sesuai untuk percutian. Tiada hotel, restoran atau apa-apa kemudahan di kepulauan ini.

Sekiranya anda seorang yang inginkan ketenangan di samping percutian yang mencabar, Tristan da Cunha adalah tempatnya. 

Rujukan: 

  1. thevintagenews.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)