pulau kerdil unik dunia

Setiap kali bercuti, destinasi pelancongan seperti pulau-pulau peranginan kerap menjadi pilihan orang ramai yang mahu ditemani pantai dan ombak yang menyegarkan.

Terdapat berjuta-juta pulau di dunia dengan setiap satunya mempunyai kisah unik dan sejarah misteri yang sangat menarik untuk dipelajari namun bukan semuanya sesuai untuk dijadikan kawasan pelancongan komersial disebabkan saiznya yang terhad.

Termasuklah lima pulau paling kerdil ini yang unik tetapi tak mampu memuatkan orang dalam kapasiti yang besar.

1. Pulau Just Enough Room, Amerika Syarikat

just enough room island

Seperti namanya, pulau kecil ini yang terletak di kawasan kepulauan Thousand Islands, New York, Amerika Syarikat merupakan pulau terkecil di dunia yang berpenghuni.

Saiznya hanyalah sebesar 3,300 kaki.

Pulau ini pada awalnya kosong tanpa binaan, sebelum sebuah keluarga bangsawan bernama Sizeland membeli pulau tersebut pada tahun 1950-an dengan tujuan untuk dijadikan lokasi percutian, lari dari hiruk piruk kehidupan kota.

Bagaimanapun, binaan kediaman kecil serta sebatang pokok yang ditanam di situ mula menarik perhatian pelancong untuk cuba mengunjungi tanah mereka - mengakibatkan suasana damainya mula terganggu.

2. Pulau Simping, Indonesia

simping island

Dikenali dengan nama Pulau Kelapa Dua satu masa dahulu, kerajaan Indonesia menukarkan nama pulau itu kepada Pulau Simping yang terletak di bahagian barat Kalimantan ini.

Berikutan kedudukannya yang tidak jauh daripada daratan, sebuah jambatan di bina bagi menghubungkan Pulau Simping - membolehkan orang ramai berjalan kaki ke pulau tersebut untuk menikmati keunikannya.

Tempat itu kini dijadikan kawasan rehat, ditemani beberapa batang pokok yang ada. Ada juga pengunjung yang datang ke situ membawa penyembahan berdasarkan kepercayaan mereka, memohon agar nasib yang baik melindungi diri dan keluarga mereka.

3. Pulau Dangar, Australia

pulau dangar australia

Dimiliki oleh orang asal Australia sebelum penyakit cacar menyebabkan populasi mereka menurun, pulau ini akhirnya diambil oleh oleh seorang pegawai kerajaan bernama Henry Cary Dangar sempena nama keluarganya pada tahun 1864.

Telah menjalani proses pemodenan serta menjadi salah satu tarikan utama pelancongan di kalangan masyarakat tempatan, kehidupan di Pulau Dangar jauh berbeza dengan hidup biasa masyarakat Australia.

Pulau tersebut tidak membenarkan penggunaan kenderaan berenjin, menyebabkan semua pengunjung perlu berjalan kaki atau berbasikal ke mana-mana. Untuk mengangkut barangan yang tiba di jeti ke bahagian pulau, penduduk di situ menggunakan kereta tolak.

4. Pulau Tiber, Itali

pulau dangar rom itali

Pulau Tiber dikenali dengan nama Isola Tiberina di kalangan penduduk tempatan, terletak di Rom, Itali. Pada awalnya, masyarakat di situ membina sebuah kuil bagi menyembah Dewa Helius yang dipercayai menjaga kesihatan manusia.

Berikutan sejarah itu, penduduk Pulau Tiber menukarkan tapak kuil tersebut kepada sebuah hospital pada abad ke 16 dengan pembukaan Hospital Fatebenefratelli serta sebuah gereja, terletak tidak jauh di sebelahnya.

Teknologi moden membolehkan pulau kecil sebesar 270 panjang dan 67 meter lebar itu dihubungkan dengan daratan melalui sebuah jambatan batu. Sehingga kini hospital itu masih beroperasi.

5. Pulau Bishop Rock, Britain

bishop rock pulau kecil

Berbanding dengan kesemua pulau dalam senarai ini, Pulau Bishop Rock merupakan pulau kedua paling kerdil dari segi saiznya selepas Pulau Just Enough Room. Pulau ini hanya mempunyai panjang 46 meter dengan lebar 16 meter.

Apa yang unik (dan menakutkan), Pulau Bishop Rock pernah digunakan sebagai penjara bagi menghukum pesalah, apabila pesalah yang dihukum mati akan ditinggalkan di pulau tersebut dengan sedikit bekalan roti sebelum dihanyutkan air.

Selepas beberapa insiden pelanggaran di antara bot dan pulau tersebut, kerajaan Britain membina sebuah rumah api pada tahun 1847, sebelum dihanyutkan. Rumah api kedua dibina siap pada tahun 1858 memudahkan pelayar mengesan kedudukannya.

Disebabkan oleh saiznya, akses petugas rumah api itu agak sukar kerana tiada tanah untuk berpijak jadi dia perlu memanjat dan menuruni rumah api itu dengan tali - dengan bot terikat di atas air.

Bayangkan apa nasib petugas itu kalau ikatan botnya terlepas?

Kini operasi rumah api di pulau tersebut dijalankan secara automatik tanpa perlu lagi petugas menguruskannya, memudahkan urusan membuka dan menutup lampu rumah api tersebut. 

Petugas yang dilantik kini tidak lagi perlu duduk sendirian di tengah-tengah lautan tanpa teman.



Hakcipta iluminasi.com (2017)