Pembentukan muka bumi secara semulajadi, mampu menghasilkan banyak keunikan dan keanehan yang mampu membuatkan kita berasa takjub dengan Maha Pencipta.

Salah satu lokasi paling unik di muka bumi, adalah sebuah pulau yang dinamakan sebagai Pulau Titik Vulcan (Vulcan Point Island) yang kedudukannya pasti aneh apabila cuba diterangkan.

Apa yang aneh dan unik tentang pulau kecil ini? Jom kita baca!

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kedudukan yang jarang berlaku

vulcan point kawasan unik

Pulau Titik Vulcan adalah pulau terbesar dunia yang terletak di dalam sebuah tasik yang terbentuk akibat aktiviti gunung berapi.

Dikelilingi oleh tasik yang dikenali sebagai Tasik Kuning, tasik itu pula dikelilingi oleh sebuah pulau yang dinamakan Pulau Taal. Pulau Taal pula dikelilingi tasik, yang dinamakan penduduk setempat sebagai Tasik Taal.

Tidak cukup lagi, Tasik Taal dikelilingi oleh kawasan daratan pulau yang membentuk apa yang kita kenali sebagai Pulau Luzon di Filipina.

Ini bermakna Pulau Titik Vulcan terletak dalam sebuah tasik. Tasik itu terletak di tengah-tengah sebuah pulau. Pulau itu pula dikelilingi tasik. Tasik itu pula dikelilingi oleh pulau.

Terletak di wilayah Batangas, satu ketika dulu tasik yang mengelilingi Tasik Taal dinamakan sebagai Tasik Bombon. Lokasi yang unik ini merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di Filipina, namun bentuk muka yang unik ini membawa risiko yang sangat tinggi untuk setiap pelawatnya.

Terletak di kawasan gunung berapi aktif

asap gunung berapi 2020

Pulau Taal yang terbentuk menempatkan Tasik Kuning, sebenarnya adalah gunung berapi aktif paling kecil di dunia terbentuk kira-kira lebih 5,000 tahun dahulu.

Walaupun saiznya kecil, gunung berapi tersebut merupakan gunung berapi kedua paling aktif di negara kepulauan itu selepas Gunung Berapi Mayon yang terletak di Bicol.

Ini bermakna Pulau Titik Vulcan sebenarnya berada betul-betul di tengah-tengah sebuah pusat gunung berapi yang aktif. Tasik Kuning yang mengelilingi Pulau Titik Vulcan itu sendiri sebenarnya baru terbentuk selepas letusan yang berlaku pada tahun 1911.

tasik taal yellow lake philippinnes

Disebabkan risiko itulah, walaupun Pulau Titik Vulcan dan Pulau Taal merupakan dua destinasi pelancongan utama di situ - risiko untuk pengunjung menyaksikan sendiri fenomena alam yang jarang berlaku itu agak tinggi.

Semenjak letusan besar tahun 1911 yang membentuk Tasik Kuning serta membunuh lebih 1,000 nyawa, aktiviti gunung berapi di situ tidak berhenti-henti malahan semakin aktif.

Gempa bumi direkodkan berlaku sebanyak 57 kali dalam satu hari pada bulan November 2019 sebelum letusan bulan Januari tahun 2020 berlaku.

Tasik unik hilang selepas letusan terbaru

letusan gunung berapi filipina 2020

Pada 12 Januari 2020, letusan yang diramalkan akan berlaku akhirnya benar-benar terjadi, selepas Gunung Berapi Taal meletus sehingga mengakibatkan beberapa kawasan sekitar seperti Manila, Luzon dan Ilocos terjejas disebabkan kepulan asap yang melanda.

Aktiviti gunung berapi itu aktif selama 7 hari dan diisytiharkan susut hanya pada 19 Januari, namun status berjaga-jaga masih belum ditarik balik kerana pergerakan bumi masih dikesan sehingga ke hari ini.

Insiden terbaru itu mengorbankan 39 nyawa kesemuanya. Ini disebabkan ada penduduk yang berkeras enggan berpindah ke pusat perlindungan walaupun arahan sudah dikeluarkan. Harta benda penduduk dan kediaman habis musnah diselaputi debu arang yang turun dari langit.

bencana gunung berapi 2020 filipina

Lebih malang, letusan yang terbaru itu telah menyebabkan Tasik Kuning yang telah terbentuk lebih 100 tahun kering, dipercayai akibat tindak balas air dengan magma. Disebabkan fenomena ini, Pulau Titik Vulcan yang ada sebelum ini tidak lagi dikelilingi air dan hilang keunikannya.

Ada juga pihak percaya, Tasik Kuning yang terbentuk sebenarnya disebabkan takungan air hujan yang turun di kawasan tersebut. Sekiranya hipotesis ini benar, mungkin 100 tahun lagi Pulau Titik Vulcan akan kembali memunculkan dirinya.

Namun buat masa sekarang, keunikan pulau dalam tasik dalam pulau dalam tasik dalam pulau yang terletak paling dekat dengan kita - terpaksa kita lupakan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)