Pulau-pulau dalam senarai ini adalah bintik-bintik di dalam peta yang kita langsung tidak tahu mengenainya. Lokasinya sangat terpencil, bahkan kita tidak langsung terbayang wujud penempatan di pulau-pulau ini. Artikel kali ini akan bercerita tentang 10 pulau paling terpencil di dunia yang mempunyai penduduk.
10. Svalbard (Norway)
BESARKAN TEKS A- A+
Pulau ini yang pernah dikenali sebagai Spitsbergen terletak di sebuah kepulauan di Lautan Artik. Pada kurun ke-17 dan ke-18, pulau ini digunakan sebagai pangkalan ikan paus. Ketika Perang Dunia ke-2, Nazi telah membina sebuah stesen kaji cuaca di pulau berkenaan.
Hari ini, pulau-pulau di kawasan tersebut terkenal dengan Global Seed Vault, sebuah struktur yang menempatkan 1 juta sampel benih dari seluruh dunia.
Lokasi Paling Hampir: 950 km dari utara tanah besar Norway.
Populasi: 2,667 orang.
9. Raoul Island (New Zealand)
Pernah dikenali sebagai Sunday Island, Raoul Island merupakan sebuah pulau yang mempunyai gunung berapi yang masih aktif, dan kerap kali dilanda gempa bumi. Pada tahun 2006, sekumpulan penyelidik seramai 3 orang sedang berada di tasik kawah mengukur suhu air ketika mana letusan gunung berapi tiba-tiba berlaku.
Letusan selama 40 saat itu menghamburkan sejumlah 200 ton sulfur dioksida ke udara dan tasik. Penyelidik berkenaan terpaksa berpatah balik dan keluar daripada pulau tersebut. Misi mencari dan menyelamat dijalankan, namun gagal menemui salah seorang penyelidik yang hilang.
Lokasi Paling Hampir: Sejauh 980 km dari tanah besar New Zealand.
Populasi: 10 orang.
8. Trindade Island (Brazil)
Pulau terpencil ini ditemukan oleh sepupu Vasco da Gama iaitu Estêvão pada tahun 1502, dan ianya menjadi sebahagian daripada Portugal sejak tahun berkenaan, dan kemudiannya menjadi milik Brazil sehingga kini. Sejak 100 tahun lalu, pulau ini dihuni oleh pegawai-pegawai Tentera Laut Brazil.
Pulau tersebut bersama pangkalan Tentera Laut Brazil menjadi sensasi negara dan bualan masyarakat pada tahun 1958 apabila seorang jurugambar Almiro Baraúna berjaya merakamkan objek seperti UFO di perairan pulau berkenaan.
Lokasi Paling Hampir: 1,170 km dari tanah besar Afrika Selatan.
Populasi: 32 orang.
7. Laurie Islands (Antartika)
Ramai tidak tahu, pulau terpencil ini sebenarnya menempatkan stesen kaji cuaca yang paling tua di dunia. Stesen yang dinamakan sebagai Orcadas itu siap dibina sejak 1903 ketika Era Penjelajahan Antartika oleh Scottish National Antartic Expedition.
Lokasi Paling Hampir: 1,280 km dari Falkland Islands.
Populasi: 28 orang.
6. Diego Garcia (United Kingdom)
Ramai rakyat Malaysia pasti pernah mendengar nama pulau ini yang pernah dikaitkan dengan kehilangan pesawat MAS MH370. Sehingga 1960an, Diego Garcia menjadi lokasi penempatan bagi lebih 1,500 orang bangsa Chagossians. Masyarakat Chagossians telah tinggal di pulau berkenaan sejak 1700an lagi dan tiba di sana melalui koloni French African.
Pada tahun 1968, kerajaan Britain telah memaksa kesemua bangsa berkenaan keluar daripada pulau tersebut untuk diserahkan kepada Amerika Syarikat, dan sebagai pangkalan tentera mereka. Ironinya, pangkalan tersebut diberi nama sebagai Camp Justice.
Lokasi Paling Hampir: 1,796 km dari selatan tanah besar India.
Populasi: 4,239 orang.
5. St. Helena (United Kingdom)
Seperti kebanyakan pulau dalam senarai ini, St. Helena juga adalah sebuah pulau bergunung berapi. Ketika penemuannya pada tahun 1502 oleh Sepanyol, pulau ini tidak mempunyai penghuni walaupun seorang. Hari ini, pulau berkenaan ditadbir bersama oleh Britain, Islands Ascension dan Tristan da Cunha. Selama beratus tahun St. Helena memainkan peranan penting sebagai sebuah pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapal yang berlayar antara Eropah dan Asia.
Lokasi Paling Hampir: 1,850 km dari tanah besar Angola.
Populasi: 4,534 orang.
4. Pitcairn Island (United Kingdom)
Pulau Pitcairn adalah antara pulau yang mempunyai penghuni paling sedikit di dunia. Penghuninya terdiri daripada 2 bangsa yang kebanyakkannya berasal daripada 9 orang pemberontak Bounty dan sejumlah kecil bangsa Tahiti yang menemani mereka. Kisah pemberontakan Bounty (Bounty Mutineers) adalah sebuah kejadian terkenal yang kerap kali dipaparkan dalam buku dan filem.
Lokasi Paling Hampir: 2,120 km dari tanah besar Tahiti.
Populasi: 49 orang.
3. Crozet Islands (Île de la Possession) (Perancis)
Sejarah kepulauan Crozet agak menarik. Pada September 1887, seorang lelaki yang sedang bersiar-siar di pantai Fremantle, Australia telah menemui seekor burung laut Albatross dengan sebuah tin karat diikat di lehernya. Diikat pada tin berkenaan adalah satu nota yang berbunyi, '13 mangsa kapal karam sedang berada di Crozet Islands, 4 Ogoso, 1887'.
Dalam masa lebih kurang 48 hari, burung tersebut telah terbang sejauh 5,600 km dari tempatnya ianya ditemui. Misi mencari dan menyelamatkan telah dilakukan namun tiada kesan dijumpai, dan berkemungkinan besar kesemua 13 mangsa sudah mati lemas.
Lokasi Paling Hampir: 2,370 km dari tanah besar Madagascar.
Populasi: 26 orang.
2. Tristan da Cunha (United Kingdom)
Dinamakan bersempena nama seorang penjelajah berbangsa Portugis yang menemui pulau tersebut pada tahun 1506, Tristan da Cunha adalah sebuah pulau bergunung berapi dan terletak di lokasi antara paling terpencil di dunia. Pada tahun 1961, letusan gunung berapi di Puncak Queen Mary memaksa kesemua populasi seramai 264 orang pada ketika itu untuk berpindah keluar.
Penduduk tempatan berkumpul di kawasan perairan terbuka dan berlayar menggunakan bot ke Nightingale Island sebelum mereka dibawa ke Britain melalui Cape town menggunakan kapal. 2 tahun kemudian, kebanyakan keluarga pulang semula ke ibu negeri pulau tersebut di Edinburgh of the Seven Seas bagi meneruskan kehidupan mereka.
Lokasi Paling Hampir: 2,400 km dari tanah besar Afrika Selatan.
Populasi: 293 orang.
1. Amsterdam Island (Perancis)
Lokasi tanah besar paling hampir dengan Amsterdam Island adalah Perth, Australia. Pulau ini adalah sebuah gunung berapi yang masih aktif, dan kali terakhir ianya meletus adalah pada tahun 1792. Pada tahun 1871, berlaku satu percubaan bagi menempatkan bangsa Heurtin dari Reunion Island ke pulau berkenaan.
Tidak lama kemudian, mereka meninggalkan pulau berkenaan. Sebelum bergerak, mereka meninggalkan beberapa ekor haiwan ternakan di pulau tersebut. Sehingga tahun 2008, populasi haiwan ternakan di Amsterdam Island berkembang sehingga 2,000 ekor.
Lokasi Paling Hampir: 3,370 km dari tanah besar Australia.
Populasi: 25 orang (Penyelidik)
Bolehkah anda hidup di salah sebuah pulau-pulau ini seumur hidup anda?
Rujukan & Bacaan Tambahan: