Bagaimana agaknya duduk dalam kawasan di mana haiwan mempunyai jumlah populasi jauh melebihi manusia?

Itulah yang dilalui setiap hari oleh penduduk Pulau Ao, sebuah pulau unik di Jepun terletak dalam daerah Ehime. Pulau Ao atau lebih terkenal dengan nama 'Ao-shima' (shima bermakna pulau) mempunyai nisbah populasi unik di mana kucing melebihi jumlah manusia 36:1.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa pulau tersebut kini 'dikuasai' oleh kucing?

aoshima island cats 1  optimal

Di Jepun terdapat beberapa buah pulau yang penduduknya duduk dalam situasi sama, disebabkan oleh sejarah masyarakat mereka.

Kelebihan kucing sebagai pemburu dimanfaatkan oleh nenek moyang mereka, bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi penduduk - khasnya apabila melibatkan tikus yang menjadi ancaman kepada mata pencarian mereka.

Selain Aoshima, pulau seperti Pulau Sanagi di Kagawa, Pulau Tashiro di Miyagi dan Pulau Eno di Kanagawa merupakan antara pulau yang mempunyai populasi kucing yang tinggi.

Kebanyakan pulau mula mengalami situasi ini disebabkan oleh perlunya kehadiran kucing bagi menangkap tikus yang gemar memakan ulat sutera. Selain itu, kucing juga memainkan peranan melindungi bot-bot nelayan daripada serangan tikus.

Berbeza dengan pulau-pulau lain yang dianggarkan wujud sekitar 13 pulau kesemuanya dengan situasi sama, Aoshima mempunyai keunikan tersendiri kerana jumlah kucingnya yang jauh lebih besar berbanding kembar-kembarnya.

Hubungan unik kucing dengan masyarakat Jepun

hubungan kucing dengan masyarakat jepun

Kehadiran kucing dalam jumlah yang sangat besar di Aoshima, meneruskan tradisi hubungan kucing dengan manusia yang dimiliki masyarakat Jepun.

Dikenali sebagai 'neko' dalam bahasa Jepun, kucing merupakan antara simbol yang dipercayai membawa tuah kepada masyarakat mereka. Oleh sebab itulah banyak karya popular Jepun seperti 'Hello Kitty' dan 'Doraemon' meletakkan kucing sebagai watak utama.

Sudah berabad-abad lamanya kucing menjadi pelindung kepada tokong-tokong Shinto dan Buddha di Jepun, daripada serangan tikus. Berikutan pengaruh tokoh agama masa lalu, golongan bangsawan Jepun mula memelihara kucing sebagai 'pembawa tuah.'

Sekitar abad ke 17 kucing mula menjadi bahan perdagangan, dijual kepada pekedai-pekedai yang mengalami masalah kehadiran tikus. Masyarakat ketika itu percaya dengan kehadiran kucing dalam kedai makan, itu menandakan kedai makan itu boleh diyakini tahap kebersihannya.

kucing patung jepun

Patung kucing 'maneki-neko' juga cukup terkenal bukan saja di negara asalnya, bahkan di seluruh dunia kerana dipercayai membawa tuah kepada mereka yang mempamerkannya.

Oleh sebab itulah di Jepun boleh wujud pulau-pulau seperti Aoshima, di mana masyarakat memilih untuk meneruskan tradisi ini. Namun, bukan semua mampu menerimanya.

Penduduk pulau yang semakin berkurangan

penduduk pulau aoshima kucing jepung

Duduk dalam sebuah pulau membawa cabaran yang besar dari aspek karier dan logistik seseorang, tetapi jika sudah dikerumuni kucing 24 jam hari pun - mesti ada yang akan rimas juga kan?

Atas sebab itulah penduduk Aoshima semakin lama semakin berkurangan, daripada 900 orang ketika perang dunia kedua kini hanya tinggal sekitar 6 orang penduduk tetap - majoriti antara mereka sudah lanjut usia.

Keterhadan ini menjadikan Aoshima tidaklah layak diiktiraf sebuah destinasi pelancongan menarik, walaupun membawa tarikan sendiri. Tidak ada apa-apa mampu diusahakan penduduk di sana, tiada hotel untuk anda menginap, restoran untuk anda kunjungi.

Sekiranya anda ke sana, makanan dan minuman anda perlu sediakan sendiri terlebih dahulu.

Yang ada hanyalah kucing di merata-rata tempat. Tidak dapat dianggarkan jumlah sebenar kucing yang ada di sana, dengan angka 120 ke 210 disebutkan. Jumlah itu berjaya dikawal selepas beberapa ekor kucing jantan dapat dimandulkan walaupun mendapat tentangan penduduk setempat.

Tetapi kebimbangan akan berlakunya peningkatan jumlah populasi kucing yang besar, sehingga mengakibatkan sumber semulajadi di pulau tersebut kehabisan adalah isu yang sering timbul selain daripada isu ketiadaan lagi penduduk yang mahu menetap di sana - sekiranya yang ada meninggal dunia.

Jika anda diberikan peluang, mahukah anda duduk dalam sebuah pulau yang dipenuhi kucing-kucing comel menemani apa saja yang anda lakukan setiap masa? Nak buka pintu pun rasanya takut-takut, mana tahu ada yang menerpa.

Berapa lama lagi penghuni Aoshima dan gerombolan kucingnya mampu bertahan agaknya, sekiranya pulau tersebut tiada lagi kehadiran manusia?




Hakcipta iluminasi.com (2017)